Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 10

Keputusan peperiksaan yang diterima dari tangan pengetua sekolahnya ditatap penuh debar. Dengan tangan yang terketar-ketar matanya melatari dada kertas slip peperiksaan tersebut. Dibacanya satu persatu keputusan yang diperolehinya.

“Tahniah Idayu ...,” ucap Cikgu Mustapha, pengetua sekolahnya sambil tersenyum.

Memang itulah ucapan yang diberikan untuk semua pelajar yang lulus, samada cemerlang maupun sekadar cukup makan. Idayu jadi terkedu, memandang kepada Cikgu Mustapha. Senyum lega terpamer di wajahnya. Biarpun keputusannya tidaklah begitu cemerlang, sekurang-kurangnya dia mendapat kelulusan penuh. Semua matapelajarannya lulus, tak ada satupun yang gagal. Sekurang-kurangnya Hairi tak boleh jadikan kegagalannya sebagai alasan untuk mempercepatkan tarikh pernikahan mereka. Bibirnya tersenyum lagi. Menara gading yang dulu dalam angannya kini sudah berpindah ke dalam impiannya. Tak sabar rasa hatinya untuk pulang segera menyampaikan berita ini kepada emak dan ayah.

Setelah beberapa lama berkongsi kegembiraan bersama teman-teman, dia keluar ke pintu pagar sekolah untuk menunggu Pak Dollah. Langsung dia tidak menceritakan pada teman-teman yang dia sudah bertunang. Tak mahu mengundang pertanyaan-pertanyaan yang membawa gusar di hati. Nasib baiklah sekolahnya jauh dari kampungnya, sekurang-kurangnya berita pertunangannya tidaklah tersebar di sekolah. Teman-teman juga tiada yang tinggal sekampung, memudahkan lagi dia menyembunyikan berita pertunangannya. Bukan hendak disembunyikan, tapi tak mahu dihujani pelbagai persoalan. Lagipun hanya setakat bertunang sahaja, tak perlulah dihebahkan. Lainlah kalau akan berkahwin nanti.

Cepat-cepat langkahnya dilajukan kerana sudah berjanji dengan Pak Dollah yang mereka akan bertemu di pintu pagar sekolah pada jam 12.00 tengahari. Setiba di situ, dia mencari kelibat Pak Dollah dan motosikalnya. Ayahnya masih belum tiba nampaknya.
Sedang dia termanggu-manggu sendiri, sebuah kereta Kancil perlahan-lahan berhenti di sebelahnya. Demi sahaja berpaling pada pemandu yang keluar dari perut kereta, perasaan gundahnya kembali menerpa. Abang Hairi..... ah...katanya akan datang petang nanti...., dia berbisik sendiri. Senyum di bibir Hairi menambah debar di hati.

“Mari.. abang hantar balik..,”

Hai, macamana dia tahu sekolah aku kat sini..., detik hati Idayu. Dia memandang kiri dan kanan, memastikan yang tiada mata yang sedang memandang mereka. Kalaupun ada teman-teman yang sama-sama datang mengambil keputusan peperiksaan masing-masing kelihatan sibuk membincangkan mengenai keputusan itu bersama teman-teman lain atau ibubapa mereka. Lantas, tanpa berlengah Idayu melangkah memasuki kereta, cuba lari dari pandangan mata di sekelilingnya. Hairi agak terperanjat dengan tingkah Idayu. Sangkanya Idayu akan menolak, seperti biasa. Tapi, kini mudah saja gadis itu menerima pelawaannya. Bibirnya mengukir senyum bahagia.

“Macamana keputusannya...?” dia bertanya penuh minat.

“Emm OK..,” sepatah dari Idayu.

“OK macamana tu... Ayu boleh sambung belajar ke atau.... kita boleh....kahwin...,”

Idayu menghela nafasnya dan menjeling ke arah Hairi. Hatinya tak keruan bila terpandangkan senyuman Hairi yang bergitu memukau hati gadisnya. Hairi terus senyum sambil memandu kereta menjauhi kawasan sekolah.

“Sebelum datang tadi, abang telefon mak Ayu, dia cakap Ayu masih kat sekolah.
Jadi... abang tawarkan diri untuk datang ambil Ayu. Nasib baik dia bagi. Kebetulan ada kematian kat kampung, ayah Ayu kena pergi tolong uruskan,” jelas Hairi tentang kehadirannya yang pastinya memeranjatkan Idayu. Ah.. satu kebetulan yang membahagiakan...

Idayu diam tanpa kata. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan sebenarnya. Lagu riang dihatinya menambah debar. Setiap kali bersama, walaupun hanya di talian telefon, lagu riang ini akan bergema memenuhi seluruh ruang rasa. Cintakah dia pada lelaki ini? Hubungan merka yang baru berusia kira-kira dua bulan lebih ini begitu cepat dirasakan berlalu. Apa sepatutnya reaksi yang perlu ditunjukkan jika perasaan cinta itu yang dirasakan. Apakah dia sepatutnya berbicara dengan suara yang lembut manja untuk meluahkan rasa itu? Atau adakah dengan lentuk tubuh yang mengada-ngada seperti yang banyak dilihatnya dalam cerita-cerita dalam drama di televisyen. Ah... geli geleman rasanya jika perlakuan itulah yang patut ditunjukkan. Dan adakah Hairi suka perlakuan sebegitu? Tidak....bukan itu yang akan aku lakukan. Tapi bagaimana...? hatinya tertanya sendiri.

“Macamana keputusan tu... ,” pertanyaan Hairi menyedarkan dia dari lamunan yang panjang.

“Nantilah... sampai rumah...,” jawab Idayu ringkas.

“Abang ingat nak bawak Ayu pergi kat air terjun Lata Tembakah dulu. Tempat tu dalam perjalanan balik ke rumah kan?” kata Hairi penuh harap walau dia pasti, Idayu akan menolak.

Wajah Idayu yang tiba-tiba cemas mengiakan segala apa yang disangkakanya itu. Tersenyum sendiri dengan sikap gadis ini. Cukup menjaga tatasusilanya. Bahagia meresap ke dalam hati Hairi. Dia pasti kini, Idayu memang seorang yang begitu menjaga dirinya, bertepatan dangan cita-citanya untuk jadi seorang isteri yang solehah untuk suaminya. Dan Hairi bahagia kerana dialah lelaki yang bertuah itu.

“Tak nak lah... kita balik terus. Mak mesti tengah tunggu ni. Nanti dia marah kalau kita singgah tempat lain...,” Idayu bertingkah. Sesuatu yang memang telah diduga oleh Hairi.

Perjalanan mereka yang agak panjang itu disulami dengan usikan-usikan mesra Hairi. Dan Idayu dengan gaya selamba yang biasa ditunjukkannya kepada lelaki itu lebih banyak mendengar, tersenyum dan menjawab dengan kata-kata yang cukup ringkas. Terdetik di hati Hairi adakah gadis in sebenarnya tidak suka padanya dan tidak sudi menerima cintanya hinggakan begini rupa perlakuannya. Terlalu dingin terhadapnya. Tapi seketika kemudian dia membuang tanggapan itu jauh-jauh. Idayu seorang yang terdidik dalam adab sopannya. Tentunya dia menjaga kesopanan dirinya ketika ini. Bukan kerana tidak suka. Ya... dia akan pastikan gadis ini akan jatuh cinta padanya. Secepat mungkin.

****

Setiba mereka di rumah, Idayu terus mendapatkan Mak Su Jah. Slip keputusan peperiksaannya dihulurkan kepada emaknya. Setelah ditatapnya seketika, Mak Su Jah menghulurkannya kembali kepada Idayu.

“Tak retilah mak nak tengok...,”

Hairi yang kini berada berhampiran Idayu menyambut slip keputusan peperiksaan itu. Dia menatap keputusan yang terpamer di dada kertas kecil itu. Tersenyum seketika, Idayu lulus semua matapelajaran. Terlintas di hatinya tentang perancangan yang difikirkan sejak beberapa hari lalu untuk mendekatkan mereka berdua.

“Kut ye pun marilah duduk dulu...,”

Mereka bertiga mengekori Mak Su Jah ke ruang tamu. Duduk sambil menunggu Hairi meneliti keputusan ini. Hati Idayu bagaikan tak sabar untuk mendengar pandangan bakal doktor itu dengan keputusannya. Banggakah dia dengan keputusan ku ini? Atau mencemuhkah di hatinya kerana keputusan yang tidak seberapa ini?

“Macamana Hairi ? Boleh ke Ayu masuk U dengan keputusan dia tu..?”

Mak Su Jah bertanya akhirnya setelah dilihatnya Hairi seperti tidak mahu cepat-cepat bersuara.

“Boleh makcik. Keputusannya baik.... walaupun tak cemerlang,”

Lega hati Mak Su Jah mendengarkan kata-kata Hairi. Sekurang-kurangnya angan-angan Idayu boleh menjadi kenyataan.

“Ayu minat kursus apa ye....?” pertanyaan itu Hairi tujukan kepada Idayu.

Idayu yang diam sejak tadi, mengelengkan kepalanya. Tak tahu keputusan apa yang patut diambilnya. Senyum penuh makna yang dilemparkan oleh Hairi kepadanya menambah debar di dada. Dia faham dengan senyuman itu. Hairi mengusiknya lagi. Harap-harap janganlah dia mengusikku tentang isteri solehah di depan mak. Malu.....

“Begini lah....abang cadangkan.. Ayu ambil kursus kejururawatan. Kat USM ada kursus tu,” cepat saja cadangan itu diluahkannya. Ya, kalau Idayu belajar di HUSM nanti, bolehlah mereka berdekatan. Kalau nasib baik, Pak Dollah mungkin akan cadangkan mereka bernikah sebab dah duduk berdekatan. Boleh mengelakkan fitnah. Hati Hairi berlagu riang. Bahagia di hati menantikan saat itu tiba.

“Hemm jadi misi.... bagus jugak cadangan tu ... macamana Ayu?”

Terdiam Idayu berkira-kira sendiri. Kenapa Hairi mencadangkan kursus itu? Mengapa bukan kursus lain, cikgu ke, doktor ke, akauntan ke....

“Saja saya cadangkan kursus tu sebab nanti , lepas dah banyak pengalaman jadi doktor, bila dah setabil kewangan, saya ingat nak buka klinik persendirian. Bolehlah nanti Ayu kerja bersama saya aje masa tu nanti...,” luah Hairi.

Dia mahu tujuannya jelas, dia mahu Idayu dan emaknya tahu betapa seriusnya dia dalam hubungan mereka ini. Dan dia pasti, tak mahu Idayu bekerja untuk orang lain. Hanya untuk dia.... untuk dia sahaja.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts