Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 11

Idayu membuka mata perlahan-lahan. Lampu kalimantang yang terpasang di siling mengeluarkan cahaya yang terang menyilaukan mata. Berpinar-pinar matanya cuba untuk menyesuaikan dengan cahaya terang yang masuk terus menusuk ke dalam retina. Tak tahan dengan keadaan itu Idayu menutup matanya kembali. Kepalanya dirasakan begitu sakit sekali. Kedengaran pergerakan seseorang mundar mandir berhampiran dengannya.

“Kena sampuk ke dia bang...itulah... suka sangat pergi tepi jeram tu. Dekat Maghrib baru balik...,” kedengaran suara emak seperti cemas.

“Jah kata tadi dia ke rumah si Yam, hantarkah baju yang dikirim Salmah. Bila pulak masanya dia ke tepi jeram tu. Lagipun, mereka jumpa dia pengsan kat tepi pokok mangga belakang rumah Yam. Nasib baik pengsan kat situ. Kalau dibuatnya pengsan kat tepi jeram... siapa pun tak akan jumpa dia kat tempat sunyi macam tu...,” kedengaran pula suara Pak Dollah.

Dalam kesakitannya, Idayu cuba berfikir. Apa yang mereka bicarakan? Aku pengsan ? Kenapa ? Perlahan-lahan matanya dibuka. Kecil pada mulanya, melawan cahaya terang kalimantang yang menyilaukan. Dia menghela nafasnya perlahan. Cuba untuk mengingatkan kembali apa yang berlaku. Demi sahaja melihatkan Idayu membuka mata, Mak Su Jah cepat-cepat menghampirinya. Lantas dia duduk di birai katil Idayu. Kepala gadis itu diusap perlahan.

“Ayu....,”

Idayu diam sambil memandang kepada emaknya. Masih lagi bingung.

“Ayu ke mana tadi....? Kenapa pengsan....?”

“Ayu... pengsan..?” jawab Idayu lemah.

“Hemm... pengsan kat belakang rumah Mak Yam... nasib baik orang kampung nampak..., mereka yang bawa Ayu balik ke rumah. Kenapa... Ayu nampak apa-apa ke? Atau Ayu sakit ke...?”

Pak Dollah yang sekarang berdiri di sebelah katil memandang Idayu juga dengan wajah bimbang. “Jah... perlahan-pelahan... dia tengah lemah tu...,”

Mak Su Jah menghulurkan segelas air ke mulut Idayu.

“Nah minum ni sikit. Air zam-zam... biar segar sikit badan tu...,”

Idayu meneguk air yang dirasakan begitu pahit. Mengapa tekaknya terasa begini perit sekali? Mindanya masih cuba mengingati apa yang berlaku petang tadi.

“Ayu rehat dulu ye... ayah dengan mak nak pegi sembahyang Maghrib dulu. Kalau dah rasa segar sikit, bangun sembahyang. Waktu Maghrib dah tak banyak ni. Kalau rasa tak sihat, rehatlah dulu. Nanti kalau dah sihat, qadalah sembahyang ni,” Pak Dollah bersuara.

Malam ini Pak Dollah tidak sempat berjemaah di masjid. Kehilangan Idayu disedarinya ketika hampir masuk waktu Maghrib tadi. Hatinya jadi bimbang lantas mengambil keputusan untuk mencari anaknya itu. Sangkanya, Idayu ke jeram di belakang rumah. Tetapi apabila melihat Idayu dikendong pulang oleh orang kampung, perasaan bimbangnya menjadi semakin kalut.

Idayu hanya mengangguk lemah mendengarkan kata-kata Pak Dollah. Masih buntu dengan apa yang berlaku, dia memejamkan matanya rapat-rapat. Apa sebenarnya yang berlaku petang tadi. Ya, dia ingat, dia ke rumah Mak Yam untuk menghantar baju yang ditempah oleh Mak Yam dari Kak Salmah. Kebetulan baju itu dikirim oleh Kak Salmah kepadanya semasa dia mengambil bajunya sendiri yang telah siap dijahit. Satu persatu peristiwa yang berlaku petang itu terlayar di matanya.

****

“...kan dia tu anak haram.... anak luar nikah....,”
“...kan dia tu anak haram.... anak luar nikah....,”
“...kan dia tu anak haram.... anak luar nikah....,”

Kata-kata yang penuh dengan bisa itu berulang-ulang semula di layar ingatannya. Bagaikan mengejeknya, kembali merenggut tangkai hatinya, menusuk ke dalam jantung dan mengalir ke dalam urat sarafnya. Dan bagaikan bisa ular, kata-kata itu melumpuhkan segala kekuatan yang bersisa dalam dirinya. Menghancur lumatkan perasaannya.

Benarkah....? Benarkah begitu....? Mengapakah selama ini aku tidak pernah tahu? Ya, aku tahu aku cuma anak angkat pada emak dan ayah. Tapi, bila ditanya pada emak dan ayah tentang ibu dan bapa kandungku, mereka cuma mengatakan yang aku adalah anak yatim piatu. Kedua ibubapa kandungku telah meninggal dunia. Mengapa perlu mereka membohongiku? Ya Allah, dugaan apakah ini...? Mengapakah dalam kegembiraanku untuk melanjutkan pelajaran ini, aku dikejutkan dengan berita yang begitu memalukan begini?

Airmatanya yang mengalir deras dibiarkan jatuh satu persatu ke atas bantal tidurnya. Tangisan yang sebentar tadi perlahan, kini menjadi sedu sedan yang meruntun hati. Segala impian dan harapannya dirasakan musnah. Kelam semuanya. Aku anak luar nikah. Bagaimanakah nanti penerimaan dunia terhadapku bila semua tahu. Selama ini, ayah dan emak menyembunyikan segalanya. Tapi, tindakan Mak Yam membuka semua rahsia ini, bagaikan memberitahu dunia keaiban diri ini. Amanah yang diberikan ayah untuk Pak Mat telah dimusnahkan. Mengapa perlu mereka bercerita tentang perkara ini. Kerana dengki? Sakit Hati? Tapi apa yang telah aku lakukan pada mereka? Tak pernah rasanya diri ini menyakitkan hati sesiapa? Mengapa...?

“Ayu... kenapa ni...,” suara emaknya mengejutkannya dari lamunan. Mengembalikan dirinya ke alam nyata. Lantas disekanya airmata yang meniti di tubir mata.. Dia memandang Mak Su Jah dengan penuh rasa kecil hati. Kenapa mak....? Kenapa dirahsiakan semua ini? Kenapa mak tak terus terang tentang siapa Ayu sebenarnya...?, hatinya berdetik sendiri.

Kesedihan Idayu bagaikan dapat dirasakan oleh Mak Su Jah. Dia memandang Idayu dengan penuh tanda tanya. Meletakkan punggungnya di sebelah anaknya yang masih mengiring di perbaringannya. Lantas diusap-usap rambut Idayu. Apa yang menyedihkan hati anaknya ini? Baru sahaja dua minggu yang lalu dia menerima surat mengatakan dia layak untuk mengikuti kursus Diploma Kejururawatan di UiTM Shah Alam. Dia perlu melapurkan diri dalam masa seminggu lagi. Semua persiapan awal telah dibuat. Keperluannya telah dibeli. Tinggal dua atau tiga benda yang kurang pentingnya sahaja yang masih belum dibeli. Hairi banyak membantu untuk mendapatkan keperluan-keperluan Idayu semasa belajar itu nanti. Malah Hairi juga banyak menghabiskan masanya menemani mereka berdua untuk membeli keperluan-keperluaan Idayu walaupun ditolak keras oleh Idayu. Hanya setelah Hairi meminta izin Pak Dollah dan Mak Su Jah, barulah Idayu terpaksa menurut permintaan Hairi. Itupun dengan syarat, emaknya mesti turut serta dan mereka hanya pergi ke bandar Jerteh sahaja. Tak mahu dia pergi lebih jauh dari itu. Walaupun kelihatan agak kecewa, Hairi menurut sahaja permintaan Idayu. Mak Su Jah tahu, anak muda itu sanggup lakukan apa sahaja asalkan dia dapat keluar bersama Idayu.

“Ayu...,” gundah Mak Su Jah melihatkan airmata di pipi Idayu. Disekanya perlahan-lahan.

Idayu diam.

“Kenapa ni... sakit ke.., cakaplah pada mak...”

Idayu menggeleng-gelengkan kepala. Tak tahu apa yang harus dikatakan. Tak pasti apa pertanyaan yang harus diluahkan kepada wanita di hadapannya. Wanita yang selama ini menjadi tulang belakangnya. Yang membesarkannya dengan penuh kasih dan sayang. Yang telah mendidiknya menjadi seorang anak yang baik. Yang tidak pernah mengeluarkan kata-kata nista dalam memberikan tunjuk ajar. Yang sentiasa memimpinnya untuk menjadi anak yang soleh dan yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya. Tapi, wanita ini jugalah yang merahsiakan segala-galanya. Dan kini apabila rahsia ini terbongkar, ia telah merobek sekeping hati yang selama ini amat mempercayainya.

“Ayah...?”

“Pergi masjid... bila nampak Ayu baik sikit tadi, dia kata nak pergi masjid... sekejap lagi, dia balik,” ucap Mak Su Jah. Serentak dengan itu, azan Isyak berkumandang di udara. Membelah malam yang sedikit dingin. Sedingin hati Idayu ketika ini.

“Kenapa mak.....,”

Mak Su Jah terpinga-pinga tidak mengerti dengan pertanyaan Idayu.

“Kenapa selama ni mak sembunyikan dari Ayu...,”

“Sembunyikan apa Ayu...., cuba cakap pada mak...,” entah mengapa hati Mak Su Jah terdetak ketika itu. Apa maksud Idayu?

“Kenapa selama ni mak tak cakap yang.... Ayu ni.... anak luar nikah...?”

Demi mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut Idayu, Mak Su Jah terpana. Terkejut besar lantas mambuatkan dia terdiam. Siapa yang memberitahu Idayu tentang rahsia ini? Apa yang perlu dikatakannya pada anaknya ini. Ya Allah... rahsia yang selama ini tersimpan kukuh dalam peti ingatannya dan Pak Dollah telah terbogkar. Siapa yang membongkarnya ?

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts