Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 8

Pagi Isnin berikutnya Pak Soh dan Mak Dah datang bertandang. Mereka berdua dengan gembiranya menyampaikan hasrat hati Hairi untuk merisik anak gadis Pak Dollah dan Mak Su Jah. Idayu jadi terkesima setelah diberitahu oleh emaknya, selepas kedua-dua jirannya itu berlalu pergi. Bila ditanya ibubapa Hairi meminta supaya jawapan diberikan secepat mungkin kerana, rombongan peminangan akan datang menyusul pula selepas ini.

Sungguh-sungguh Idayu tidak menyangka Hairi begitu serius dengan kata-katanya tempohari. Dalam hatinya masih tertanya-tanya tentang ketulusan hati lelaki itu, Hairi telah membuktikannya dengan tindakan yang begitu drastik. Dan tanpa mampu untuk berfikir panjang dan tanpa mampu untuk mengelak dari persoalan-persoalan yang ditanya oleh emaknya, Idayu mengambil keputusan untuk hanya menyerahkan semunya kepada emak dan ayahnya.

Malam itu Idayu mendapat panggilan telefon dari Hairi ketika ayahnya ke masjid. Dia pasti tentunya Hairi memilih waktu itu kerana bimbang dimarahi oleh Pak Dollah kerana begitu berani menelefon anak gadisnya. Dalam serba salah, Idayu menyambut gagang telefon yang dihulurkan oleh emaknya.

“Cakap sekejap aje tau... nanti ayah balik ... marah pulak dia tengok Ayu melayan orang lelaki..,” pesan Mak Su Jah kepada anak gadisnya itu. Idayu hanya mengangguk lesu.

“Assalamualaikum...,”

Kedengaran suara Hairi begitu gemersik sekali dalam telefon. Lambat-lambat Idayu menjawab salam itu. Sunyi seketika, bungkam untuk bersuara.

“Ayu dah fikirkan jawapannya..?” tanya Hairi tanpa berlengah lagi. Tak disangka-sangkanya Hairi begini tergesa-gesa meminta jawapannya.

“Ayu..ayu nak belajar lagi...,”

“Tak apalah.. kita bertunang dulu... Ayu belajarlah.. nanti dah sedia.. kita kahwin..,”

“Ayu.. Ayu ....,”

“I love you so much Ayu...I can’t bare to loose you...,”

Hatinya berlagu riang mendengar ayat-ayat itu walaupun hanya separuh sahaja kata-kata Hairi itu yang difahaminya. Ah, setulus ini lelaki ini menghulurkan kata cinta. Mengapa mesti ada lagi keraguan di hati sedangkan dia setulus ini meluahkan rasa hati.

“Ayu...abang tak sanggup kehilangan Ayu..,” luah Hairi lagi apabila tiada sebarang reaksi lahir dari bibir Idayu. Ya, dirasakannya lebih senang begini. Berbicara tanpa melihat wajah masing-masing. Dapat meluahkan rasa hati tanpa segan silu.

“Tapi... tak ke semuanya ni... berlaku cepat sangat... Ayu rasa... macam terburu-buru,”

“Apa yang terburu-burunya. Kita tunang dulu. Lepas ni... kita belajarlah bercinta... boleh...?” suara Hairi jadi semakin romantis.

“Tapi...tak ke terlalu awal.... kita belum kenal...,”

“Lepas ni kita kenallah...,”Hairi terus memujuk.

“Kenapa terburu-buru sangat..,”

“Abang .. takut orang lain sambar Ayu. Kita jauh. Apa-apa pun boleh jadi pada Ayu.
Kalau kita bertunang, sekurang-kurangnya orang tau yang Ayu ni dah dijanjikan untuk abang. Tak adalah yang akan ganggu Ayu nanti,”

“Emm ...,” Idayu tak mampu untuk mematahkan kata-kata Hairi.

Tak sangka sungguh sejauh itu tanggapan Hairi dengan hubungan mereka. Sejauh itu dia mengharapkan hubungan ini dan tak mahu kehilangan Idayu. Tidakkah terlalu awal untuk dia berperasaan begitu? Bukankah mereka baru saja berkenalan? Tekad hati yang diluahkan oleh Hairi membuatkan Idayu rasa terharu.

“Ayu, abang tak akan halang Ayu kalau Ayu nak belajar. Nanti.. kita sama-sama belajar. Abang pun tak habis belajar lagi. Bila kita dah betul-betul sedia nanti, kita kahwinlah. Sementara tu kita dapat kenal antara satu sama lain. Abang sebenarnya dah buntu. Bila jauh macam ni, abang tak tahan rindu pada Ayu. Kalau abang tak dapat cakap dengan Ayu... tak dengar suara Ayu.. abang tak dapat tumpu nak belajar. Abang...cukup rindu pada Ayu... Kalau kita tak ada apa-apa hubungan, mak dan ayah Ayu mesti marah kalau abang asyik telefon Ayu aje. Mesti dia orang fikir yang bukan-bukan. Kalau kita bertunang, sekurang-kurangnya tak adalah sebab untuk mereka marah jika abang selalu telefonAyu. ”

“Emmm... hanya sebab tu ke a..abang nak kita bertunang?”

Hairi tertawa bahagia ketika itu, pertama kali dia mendengar Idayu memanggilnya dengan panggilan abang. Manja sekali kedengaran di telinganya.

“Ah... akhirnya. Ayu panggil dengan panggilan yang abang nak dengar..,”

Idayu jadi serba salah. Malu.

“Tak. Bukan itu sebabnya. Abang nak bertunang sebab abang sayang pada Ayu. Abang nak Ayu jadi milik abang. Hak abang sorang saja...,”

Idayu menahan nafas mendegar kata-kata iklas dari bibir Hairi. Ah, begitu yakin kata-kata itu dilafazkan.

“Janganlah... ikutkan hati sangat... nanti... diri kita yang susah. A...a...abang ...,”

“Abang tak kira, selagi Ayu tak terima, hari-hari abang akan telefon Ayu kat rumah. Kalau ayah Ayu marah, abang tak kisah. Lantaklah. Hari tu nak bagi telefon, tak nak. Kalau tak tentu Ayu boleh cakap dari dalam bilik. Taklah ayah Ayu tau nanti...,”

“Tak baik macam tu. Kalau Ayu ambil telefon abang ayah mesti akan tahu jugak akhirnya. Nanti, lagi dia marah. Dah lah ye..kita berhenti kat sini dulu. Nanti kalau ayah balik tengok kita macam ni... Ayu... kena marah dengan ayah...,”

“Biarlah... biar ayah marah... selagi Ayu tak terima pinangan abang... abang akan
terus telefon Ayu. Tiap-tiap malam,” luah Hairi dengan bersungguh-sungguh.

“Kalau ayah marah abang..?”

“Tak pe... abang akan telefon jugak... biar sampai ayah Ayu tau... betapa abang cintakan Ayu..”

“Huh... abang ni... menyusahkan Ayu lah.... kita berenti dululah... nanti ayah balik dari masjid... marah pulak.., Ayu.. letak dulu ye... assalamualaikum,”

Tanpa banyak bicara, Idayu terus meletakkan telefon. Matanya beralih seketika pada emaknya yang sejak dari tadi asyik memerhatikan gelagatnya itu. Takut-takut dia meninggalkan meja telefon.

“Ayu... bila cakap dengan lelaki dalam telefon, jangan lembutkan suara macam tu. Berdosa... suara kita ni aurat tau. Kita tak boleh bercakap dengan nada lembut macam tu. Orang lelaki ni, dengar suara manja orang perempuan pun, dah boleh fikir macam-macam,” nasihat emaknya itu menyebabkan langkah Idayu terhenti seketika.

“Baik mak..,” jawabnya ringkas sambil mengangguk perlahan. Terasa malu sendiri. Sempat lagi rupanya emak mendengar perbualan antara mereka, detik hatinya. Ah,
malu... malu...

“Hairi cakap apa tu..?”

Idayu jadi teragak-agak. Mahu diceritakan kepada emaknya tetapi terasa malu. Kalau tak diceritakan nanti, lain pula tanggapan emak nanti.

“Emm.. dia... dia... minta Ayu bagi keputusan cepat-cepat. Dia... nak... Ayu terima dia.”

“Habis Ayu jawab apa?”

“Ayu beritau dia yang Ayu nak belajar dulu. Tapi... dia tetap nak bertunang jugak..,”
Mak Su Jah tersenyum sambil mengeluh perlahan.

“Itulah yang emak dia cakap pada mak masa dia telefon hari tu. Hairi nak bertunang sebab tak nak Ayu disambar orang lain. Dia kata nak chup Ayu cepat-cepat. Ayu rasa macamana..?”

Soalan emaknya membuatkan Idayu terdiam. Lama dia berfikir sendiri.

“Entahlah mak..,”

“Ayu suka pada dia?”

Pertanyaan Mak Su Jah itu membuatkan Idayu jadi bertambah malu. Tak sanggup membicarakan apa yang tersimpul dalam hatinya dengan emaknya ini. Mak Su Jah juga terdiam melihatkan keadaan Idayu yang serba salah itu.

“Ayu rasa, Ayu boleh bahagia dengan dia?”

“Ayu.. tak tau mak,”

“Sebenarnya macamana dia boleh kenal Ayu ye?”

“A....a...,” alamak, macamana nak jawab ni ? Tak sanggup rasanya membuka rahsia tentang surat-surat cinta yang dihantar kepadanya. Pertemuan di tepi jeram belakang rumah juga biarlah jadi rahsia. Kalau dibuka rahsia itu, pasti mengamuk ayahnya nanti. Tidak sanggup dia menanggung risiko itu. Akhirnya soalan itu dibiarkan tanpa jawapan.

Dan seperti yang diucapkan, setiap malam Hairi akan menelefon Idayu untuk mendengar suaranya. Saban hari, selama sebulan telefon dari Hairi mengganggu hidupnya. Ada ketika terasa rimas. Namun ada ketikanya terselit rasa bahagia. Dan sesekali jika Hairi lambat menelefon, terasa resah jiwanya. Rindukah dia pada lelaki itu?
Melihatkan sikap Hairi yang sudah angau itu, mama dan abahnya juga sentiasa menghubungi Pak Dollah dan Mak Su Jah. Akhirnya tanpa banyak bicara lagi Pak Dollah memberikan kata putus. Mereka ditunangkan setelah genap sebulan dari tarikh Pak Soh dan Mak Dah datang merisik. Majlis pertunangan yang diadakan ringkas sekali, hanya dihadiri oleh keluarga terdekat. Abang dan kakak Hairi bersama keluarga masing-masing turut hadir sama ketika itu. Di saat cincin pertunangan disarungkan ke jari manis Idayu oleh mamanya, Hairilah orang yang paling bahagia. Dan mengharapkan kebahagiaan itu akan kekal sehingga ke akhirnya. Penuh harapan Hairi menanti. Dan penuh debaran, hati Idayu disapa rasa bahagia.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts