Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 5

Mak Ngah merenung wajah Kak Reen dengan penuh rasa marah. Sama-sama tidak menyangka itu keputusan yang diambilnya dalam menangani kemelut dalam perhubungan kami ini. Mengapa begini cepat Kak Reen mengalah? Tidakkah dia tahu dia punya hak dalam sebuah perkahwinan. Tidakkah dia tahu bahawa mengikut syarat berpoligami di Malaysia, si suami tidak boleh berpoligami tanpa izin dari isterinya. Mengapakah dengan begitu mudah dia mengizinkan Abang Izwan mengambil kesempatan dari kekurangan dirinya?

“Reen tak boleh terus mengalah macam ni. Kan dah ditetapkan syarat-syarat yang mesti suami dipenuhi sebelum dia dibenarkan berkahwin lagi satu. Sekurang-kurangnya Reen periksalah dulu syarat-syarat tu. Manalah tahu ada syarat yang tidak dia tak ada,” kata Mak Ngah.

“Reen dah periksa mak. Apa daya yang ada pada Reen? Reen mandul mak, mandul. Doktor dah sahkan dua tahun yang lalu. Itu alasan utama dia untuk kahwin dengan Unie....”

“Tak boleh ke Kak Reen pergi periksa balik? Sahkan semula? Get a second openion. Mungkin doktor tu buat silap Kak Reen.,”

“Unie please, don’t be rediculous ok?” kata Kak Reen sambil memandangku dengan perasaan tak percaya. Dia diam seketika. Matanya dilarikan semula dari wajahku. Mungkin tidak sanggup menatap wajah yang menyiksa batinnya saat ini. Aku mengetap bibir menahan sebak. Kak Reen berhak untuk rasa benci dan sakit hati padaku. Aku yang saat ini, tanpa ku sedari, rupa-rupanya sedang merampas kasih Abang Izwan darinya.

“Kak Reen dah tak sanggup lagi nak lalui semua tu. Dulu, Kak Reen terpaksa sebab nak tahu. Sekarang .... kalau diminta lalui semua tu balik, akak dah tak sanggup Unie,” katanya sambil menggelengkan kepada. Mak Ngah turut sama menggelengkan kepalanya.
Mungkin dia tidak mahu lagi melalui prosedur rawatan yang memalukan dirinya itu. Melihatkan resahnya itu aku jadi cukup simpati padanya. Ini satu-satunya ketentuan Allah yang tidak mampu untuk dia sangkal lagi. Wanita manalah yang sanggup untuk menerima hakikat yang dirinya mandul. Kalau aku berada di tempatnya pasti aku juga akan cukup sedih dengan kegagalan ini.

“Kalau ikutkan undang-undang kat negera kita ni pun, itu salah satu syarat utama yang dia boleh jadikan alasan untuk dapatkan kebenaran untuk kahwin lain mak. Lagipun syarat lain semua dia ada. Dia mampu, zahir dan batin. Dia mampu beri layanan sama rata kepada isteri-isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak,” kata Kak Reen dengan nada suara yang lemah. Lemah kerana sedikit pun dia tidak berupaya untuk menolak hakikat bahawa Abang Izwan layak untuk berkahwin lain mengikut syarak dan juga undang-undang di Malaysia.

“Tapi kak, Unie... boleh tolak. Unie boleh kata Unie tak setuju kak...,”

“Tolonglah Unie. Akak rayu pada Unie. Terima ajelah Abang Wan. Akak kenal Unie. Kalau Unie tak nak, dia mungkin akan kahwin juga dengan orang lain. Dengan siapa pun dia kahwin, hati akak ni memang tetap akan terluka. Akak tetap akan sedih. Jadi biarlah orang yang dia akan kahwini tu yang dia memang betul-betul suka..., sekurang-kurangnya berbaloilah kalau dia sakitkan hati akak ni...,”

Pada pendengaranku suaranya menggambarkan yang dia sedang berjauh hati. Sedihku tak dapat aku bendung lagi. Perlahan-lahan airmata di pipi jatuh berjuraian. Kesihan pada Kak Reen. Ini pengorbanan yang terpaksa dia lakukan demi untuk menzahirkan kehendak hati seorang suami. Sungguh aku kagum dengan pengorbanannya. Dalam hati aku berdoa semoga Allah mencucuri rahmat kepadanya. Dia isteri yang solehah. Cuma, aku cukup-cukup berharap supaya Abang Izwan menghargai pengorbanannya itu.

Bagaimana pula dengan aku? Bukankah aku juga terpaksa berkorban? Mana mungkin aku mampu menolak permintaan Kak Reen ini? Sudah terlalu banyak budi dan jasa yang diberikan untukku oleh Mak Ngah dan Kak Reen sekeluarga. Sejak dari kecil aku dijaga mereka dengan penuh kasih sayang. Tidak sedikit pun aku dibezakan dari anak-anaknya yang lain. Sejak kematian Pak Ngah tiga tahun yang lalu, aku masih terus dianggap seperti anaknya. Walaupun sebenarnya pertalian darahku adalah dengan Pak Ngah, abang kepada arwah ayahku.

Kalau ditanya sejujur-jujurnya, sungguh aku tak mahu menerima hubungan itu. Aku juga ingin punya masa depan yang lebih meyakinkan. Aku juga punya harapan untuk bahagia dengan orang yang tercinta. Mungkin masih ada rasa cinta untuk Abang Izwan di hati ini. Namun cukupkah cinta yang sudah lama ku pendam itu untuk aku korban masa hadapan dan kabahagiaanku? Poligami bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditangani. Mampukah aku bahagia dalam sebuah kehidupan berpoligami? Aku manusia biasa, begitu juga dengan Kak Reen. Kami punya kelemahan masing-masing. Pastinya akan ada hari-hari di mana kami akan tersinggung dengan sikap Abang Izwan. Pastinya akan ada hari-hari di mana Abang Izwan tidak mampu untuk berlaku adil. Dan pastinya situasi begini mampu menggugat perasaan kami sebagai isteri-isterinya. Lantas membawa kekeruhan dalam hubungan kami yang sememangnya baik selama ini.

“Unie takut satu hari nanti, hubungan kita ...jadi tak baik kak. Bukan senang bermadu ni kak,”

Kak Reen ketawa sinis. Ah... mampu lagi dia ketawa dalam saat-saat begini.

“Siapa kata bermadu ni senang, indah..... terutamanya untuk kita orang perempuan. Kalau tidak tak kan lah Allah janjikan payung Siti Fatimah dalam syurga nanti kan?” katanya dengan nada sayu.

Aku Cuma mengetap bibir. Serba-salah jadinya. Perlahan Kak Reen menyapu airmata di pipiku. Ah... sungguh tabah hatinya. Kalaulah aku mampu untuk setabah itu.


****


“Kau dah gila ke Unie,”

Aku diam. Ya, mungkin.

“Kau tau tak bermadu ni bukannya senang. Sebut aje mudah.... tapi nak laluinya tak semudah kita menyebutnya. Aku taulah.... mak aku dulu bermadu. Bukannya satu tapi dua...,” marah Suzana ada sebab rupa-rupanya. Baru aku tahu kini yang dia punya dua orang emak tiri.

“Wow... hebatnya bapak engkau... madu tiga ye. Macam P. Ramlee tu?” tanyaku dengan nada bergurau.

“Eh... engkau ni boleh buat bergurau pulak benda macam ni. Hari kau berguraulah. Nanti, bila dah kahwin esok baru kau tahu macamana sakitnya hati kalau suami tak adil,”

Senyum di bibirku mati di situ. Ya, aku tahu itu. Siapa yang tak tahu tentang hakikat itu. Sering seseorang lelaki akan berkata mereka akan berlaku adil apabila punya lebih dari satu isteri. Namun hakikat yang sebenarnya selalunya tidak begitu. Hati dan perasaan manusia punya banyak kelemahan. Dan yang jelas setiap manusia ada kekurangannya. Sejak Kak Reen merayu aku untuk menjadi isteri Abang Izwan, sudah banyak buku-buku yang ku baca mengenai poligami. Salah satunya telah manyatakan tentang terjemahan ayat suci Al-Quran, surah An-Nisaa’, ayat 129 yang berbunyi :

“Dan kamu sekali-kali tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri (mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung kepada yang kamu cintai sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri dari kecurangan maka sesungguhnya allah maha pengampun lagi maha penyanyang”

Menurut buku tersebut, ayat ini ditafsirkan oleh Ibnu Katsir Rahimahullah bahawa manusia tidak akan mampu bersikap adil di antara isteri-isteri dari seua segi. Keadilan di segi zahirnya mungkin dapat dipenuhi, tapi bagaimana dengan batinnya. Terutamanya dalam menangani masaalah perasaan. Pastinya akan ada perbezaan dalam rasa cinta, kasih dan sayang. Mampukah Abang Izwan membahagikan rasa cintanya dan kasih sayangnya secara adil sedangkan dalam Al-Quran sendiri menyatakan itu tidak mungkin akan berlaku? Dan jika sekarang ucapan cintanya sudah begitu polos diucapkan padaku, bagaimana pula nanti perasaannya selepas kami berkahwin? Malah dia juga sanggup menzahirkan perasaan itu di mata Kak Reen. Tidak mungkin hati Kak Reen tidak terguris dengan pengakuan polosnya itu. Bukankah perlakuan sebegini yang kelak akan membawa rasa cemburu di hati Kak Reen. Jika rasa cemburu itu terus dibaja pastinya satu hari nanti, sengketa antara kami akan tercetus. Ah... aku tidak mampu untuk memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku.

“Kenapa engkau diam Unie, baru nak fikir tentang masalah yang kau akan hadapi?” kata Suzana mengejutkan aku dari lamunan.

Aku mengeluh perlahan. Memandang tepat ke dalam mata Suzana.

“Aku tak mampu Suzana nak tolak permintaan Kak Reen tu. Dia dengan Mak Ngah selama ni terlalu baik dengan aku. Tak sanggup aku kecewakan mereka,”

“Walaupun hati kau yang akan terluka nanti,”

“Suzana, cuba kau fikir, antara aku dengan Kak Reen, siapa yang lebih terluka, terguris hatinya. Siapa Su?”

Aku menarik nafas panjang. Merenung keluar jendela bilikku. Namun saat itu satu apa pun tidak kelihatan di mataku. Yang ku lihat hanyalah rasa sedih dan gundah yang tergambar di wajah Kak Reen setiap kali kami bertemu.

“Abang Wan tak pernah kesahkan perasaan Kak Reen. Yang dia tahu hanya dia nakkan aku. Siap berterus terang lagi dengan Kak Reen. Sampaikan Kak Reen salah faham pada aku hari tu kau tahu...,”

Suzana menggelengkan kepalanya mendengarkan penerangan dariku. Mungkin dia juga tidak dapat menerima kenyataan ini.

“Daring dia ye... Kalaulah dia bukan suami sesiapa, akupun nak lelaki daring macam tu. Yang sanggup berterus terang macam tu,”

“Itulah Su, aku pun macam tu. Tapi, hakikatnya dia tu suami orang...,”

“Dan dia bakal jadi suami kau jugak,”

Aku diam. Suzana juga diam. Lama kami begitu. Tenggelam dalam perasaan masing-masing. Dia dengan rasa kagumnya dengan sikap polos Abang Izwan. Manakala aku pula dengan rasa serba-salah yang terus memenuhi segenap ruang dalam hati.

“Mulanya Kak Reen cakap, dia nak minta cerai dengan Abang Wan. Tapi Abang Wan tak nak ceraikan dia. Abang Wan kata Kak Reen tu tanggungjawab dia. Sampai bila-bila pun dia tak akan ceraikan Kak Reen. Dia sayang pada Kak Reen. Cuma sekarang dia nak kan anak dari benih dia sendiri. Dan dia nak aku yang melahirkan zuriat untuknya. Macamana Su, kalau aku pun tak boleh berikan dia anak? Mungkin ke dia akan cari yang lain?”

“Hemmm yang tu kau kena tanya dia lah... Orang lain mana tahu. Kalau kau dah nekad nak memenuhi kehendak Kak Reen kau tu, kau kenalah terima benda tu semua. Berkorban konon. Aku tak fahamlah cara kau berkorban. Hinggakan kau sanggup nak share semua ni. Kau sendiri kan tau tak ada masalah sebenarnya yang boleh diselesaikan dengan berpoligami. Mendatangkan masalah adalah...,”

Aku menelan air liur yang terasa begitu pahit sekali. Sejenak aku terdiam mendengarkan kata-katanya itu. Ya Allah, tunjukkan aku jalan kebenaran. Jalan mana yang aku perlu pilih? Demi kebahagiaan masa depanku, masa depan Kak Reen dan masa depan Abang Izwan, tunjukkanlah ya Allah.

2 comments:

aqilah said...

best.....apapun, akak follow...............

Leo Simpson said...

Thanks for shariing this

Post a Comment

Popular Posts