Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 7
Satu demi satu pakaian Abang Izwan aku susun dalam almari. Tertanya dalam hati, berapa lama dia akan bersama denganku. Melihatkan bilangan pakaian yang dibawa, aku meneka mungkin seminggu. Setahu aku mengikut sunnah Rasulullah sallallhualaihiwassallam, seseorang lelaki yang menikahi seorang gadis, giliran malam pertama mereka adalah selama tujuh hari. Manakala  jika dia menikahi seorang  janda, gilirannya adalah tiga hari. Selepas pada itu lelaki itu perlulah memastikan gilirannya adalah adil untuk kedua-dua isterinya. Aku pasti tidak akan mampu bertanya padanya tentang perkara ini. Jika dia ingin memberitahuku nanti aku hanya mampu mendengar. Yang nyata aku akan pastikan bahawa dia tidak akan lupa akan gilirannya untuk Kak Reen bila tiba masanya nanti.
Selepas mengemaskan pakaiannya, aku mencapai baju kotor yang telah terkumpul di dalam bakul yang sedia ada di dalam bilik itu. Aku perlu mencucinya malam ini juga. Kenduri di pihaknya akan diadakan esok. Katanya majlis yang akan diadakan di rumahnya itu juga ringkas. Aku akur dengan kenyataannya itu.  Mungkin untuk menjaga hati Kak Reen. Siapalah aku, cuma isteri kedua yang mungkin tidak layak untuk diraikan dengan meriah. Pernah dulu aku mengangankan, jika berkahwin aku akan adakan satu majlis perkahwinan yang gilang-gemilang. Yang  akan terkesan di hati setiap yang mengunjunginya. Walaupun waktu itu langsung tidak pernah terlintas di hati ini siapa gerangan pengantin lelakinya.  Pergilah... pergi semua angan-anganku. Jangan datang lagi jika hanya untuk membawa duka di hati.

Mengenangkan Kak Reen hatiku sebak lagi. Mataku liar mencari di mana letaknya telefon bimbitku. Akhirnya aku temui ia di atas meja solek. Perlahan-lahan aku meletakkan kembali bakul yang berisi kain kotor yang sejak tadi dalam genggamanku. Aku menghampiri telefon itu dengan rasa yang cukup serba-salah. Perlukah aku menghubunginya? Perlukah aku memberitahunya yang kami telah selamat diijabkabulkan?  Bila aku kenangkan kesungguhannya untuk menyatukan kami, aku jadi serba-salah. Mungkinkah  hatinya akan terguris jika aku tidak menghubunginya dan terus mendiamkan diri begini?  Tapi jika aku hubunginya pula, aku yakin hatinya tetap akan terguris juga.

Pintu  bilikku terkuak perlahan. Hatiku yang sejak tadi gundah mengenangkan Kak Reen jadi semakin resah bila susuk tubuh Abang Izwan aku lihat berdiri di muka pintu. Perlahan dia masuk dan menutup pintu bilik. Debaran di dadaku makin kencang. Hilang segala rasa gundah dek mengenangkan Kak Reen sebentar tadi. Timbul pula resah yang membadai hati kerana perlu berdepan dengan lelaki ini. Itulah pertama kali aku bersendirian dengannya dalam suasana yang penuh privacy. Sungguh aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan. Dia senyum sambil memadangku dari atas ke bawah. Matanya yang disimbah rasa bahagia terus tertancap pada bakul kain kotor di sisi kakiku dan telefon bimbit di tanganku. Perlahan dia meghampiri diriku yang ternyata kini sudah tidak mampu untuk bergerak.

“Tengah buat apa ni?” dia bertanya perlahan. Telefon ditanganku diambil dan diletakkannya kembali ke meja solek.

“Nak telefon siapa?  Atau ada yang call....? Nak ganggu kita?” Bibirnya terus menguntum senyum nakal. Mengusikku dalam diam. Aku cuma menggelengkan kepalaku.

“Ni... bakul kain ni kenapa pula ada kat sini?” tanya dia lagi.

“Unie ingat... nak basuh kain tadi...,” ucapku perlahan.

Dia senyum. Mungkin dapat merasakan keresahan hatiku saat itu. Tanganku  diraihnya, lantas menarikku untuk sama-sama duduk di sofa yang terletak  bertentangan dengan katil.

“Tak sabar ye nak buat kerja rumah ...?”

Meleret  suaranya berkata-kata. Aku diam, bibirku bagaikan beku saat itu. Hanya debar di hati yang ku dengarkan. Dup dap dup dap, membawa resah ke seluruh tubuhku. Renungannya yang tajam menggoda itu terus-terusan membuatkan aku serba salah. Tak pasti apa yang patut aku lakukan.

“Kerja-kerja tu boleh tunggu. Malam ni... Unie  milik abang sorang tau...,” bisiknya di telingaku.

Aku menelan air liur. Takut rasanya mendengarkan kata-katanya yang begitu menyakinkan itu. Ah... kalaulah Kak Reen tidak wujud antara kami, pastinya akulah orang yang paling bahagia saat itu. Namun, aku akur. Aku tidak akan mampu buang Kak Reen jauh dari menghantui hubungan ini. Bukankah Kak Reen yang menzahirkan hubungan ini. Tak mungkin aku akan membuang jauh dia dari hidup kami.

Jejarinya beralih perlahan, menyentuh pipiku. Dia menundukkan wajahnya agar muka kami bertetangan. Aku menelan air liur lagi, belum bersedia untuk membiarkan dia melakukan sesuatu yang pasti diinginkannya saat itu. Aku memalingkan wajahku dari tatapannya. Lantas menekup kedua-dua tanganku ke muka. Perasaan malu bersulam dengan rasa gundah. Mungkin saat ini wajahku sudah mula merona merah kerana kurasakan bagaikan darah tersirap naik ke muka. Panas sekali wajahku kurasakan saat itu..

“Hei, kenapa ni...?” lembut bicaranya.

“Emmm... Unie ... rasa bersalah pada Kak Reen,” bisikku meluahkan gundah di hati.

Dia mengeluh. Mungkinkah dia marah mendengarkan kata-kataku itu? Perlahan-lahan dia memegang kedua-dua tanganku. Menjauhkannya dari wajahku dan membuatkan aku berpaling semula padanya. Mataku kembali menatap ke dalam matanya. Cuba menyelami hatinya.

“Unie ... sepatutnya malam ni milik kita. Sepatutnya kita cuba untuk menyelami rasa bahagia yang ada dalam hati kita sekarang. Boleh tak kalau kita jangan fikirkan pasal orang lain sekarang. Hanya  kita berdua aje...?”

“Tapi... macamana Unie nak rasa bahagia ... kalau kat sana Kak Reen bersedih. Macamana nak gembira atas kesedihan dia bang? Unie tak tahu apa yang Unie rasa sekarang.  Gembira ke ... bahagia ke... Cuma yang Unie tahu, sekarang ni Unie rasa bersalah sangat...,”

“Jangan fikirkan apa-apa... tengok dalam mata abang ni. Unie kena percaya pada abang. Sebenarnya Allah bagi kita dugaan ni sebab nakkan kita gembirakan?   Dia kita semua bahagia, Unie, abang dan Kak Reen...,”

Aku diam lagi. Hanya mampu untuk menatap ke dalam matanya. Ingin sekali aku mempercayai kata-katanya 
itu. Tapi, saat itu aku rasakan semuanya bagaikan mustahil untukku. Abang Izwan lantas mengucup lembut kedua belah mataku. Mengambil kesempatan ke atas kebingungan yang aku rasakan saat itu. Kemudian dia menarikku ke dalam pelukannya. Terasa hangat sekali pelukannya itu.  Damai terasa hatiku bila didakap mesra begitu. Malu masih lagi menghambat di hati. Debarnya bukan sedikit. Menyebabkan aku jadi lemah dan terus membiarkan Abang Izwan membelaiku. Hanyut dalam lautan rasa yang cukup membolak-balikkan perasaan ini. Antara serba-salah dengan rindu.

“Dah lama abang nantikan saat ini Unie. Sebelas tahun ... sejak kita di sekolah lagi. Selama tu abang selalu pasang angan-angan untuk bersama Unie macam ni.  Jangan sia-siakan penantian abang Unie, please...,”

Mendengarkan kata-katanya itu aku jadi pasrah dengan keadaan. Lantas perlahan aku merebahkan kepalaku ke dadanya. Menzahirkan rasa cinta yang selama ini terpendam jauh di dalam hati. Mengharapkan cinta itu mampu untuk menyiram subur rasa bahagia yang diharapkan. Dan semuga bahagia itu mampu menyelubungi rasa gundah yang tidak sudah-sudah melanda hati.



****

Kenduri di rumah ibu mertuaku juga seringkas majlis perkahwinanku di rumah Mak Long semalam. Tetamu yang dijemput cumalah di kalangan ahli keluarga dan jiran terdekat. Mungkin sekadar mengambil syarat untuk menghebahkan tentang pernikahan ini. Sepanjang waktu itu aku merasakan cukup tersinggung dengan sikap ahli keluarga Abang Izwan. Mereka seperti tidak menginginkan  kehadiranku di situ. Emak Abang Izwan yang kini emak mertuaku pula seolah-olah cuba menghindarkan diri dari berada dekat denganku. Mungkin dia juga tidak mampu menerima hakikat bahawa anaknya kini sudah memadukan Kak Reen, menantu kesayangannya. Hanya Abang Izwan dan ayahnya sahaja yang kelihatan cuba untuk memeriahkan suasana.

Selepas majlis petang itu, aku terus masuk ke bilik untuk menunaikan solat Asar. Abang Izwan masih lagi leka melayan teman-temannya di halaman rumah. Selesai solat Asar, jam sudah menunujukkan ke pukul 6.00 petang. Aku keluar semula ke halaman lantas menghampiri suamiku. Semasa berjalan menghampirinya, perhatian mereka tertumpu kepadaku. Entah apa yang mereka perkatakan kepada Abang Izwan saat itu. Kelihatan masing-masing tersenyum mengusik.  Kalaulah aku ikutkan rasa malu, pasti aku tidak akan menghampiri mereka. Tapi ada tanggungjawab untuk aku mengingatkan dia tentang solatnya yang belum tertunai.

“Abang... belum solat lagikan?” aku bertanya dengan nada suara yang aku kawal. Tak mahu kedengaran seperti menghalau tetamunya. Dia lantas merenung jam di tangan.

“Haah la... belum solat lagi...,” katanya kepada teman-temannya. “kau orang dah solat ke belum?”

“Dah... kami singgah kat masjid depan tu masa datang tadi,” kata Zaidi teman sekerjanya. “Pergilah... dah lewat ni. Jom Taufik, Azam, kita beransur... ,”

“Eh duduklah dulu... takkan dah nak balik. Kau orang borak dulu, lepas solat aku datang balik.... Jarang dapat borak macam ni,” kata Abang Izwan bila melihatkan ketiga-kiga kawannya mula bangun untuk beredar.

“Lain kalilah Wan. Dah petang ni.... lewat nanti kang, marah pulak yang kat rumah tu,” kata Taufik.
Entah mengapa, hatiku bagaikan terusik dengan kata-kata Taufik. Nada suaranya bagaikan ingin mengatakan sesuatu di sebalik kata-kata itu. Bukan aku tidak sedar  tentang hakikat bahawa semua teman-teman Abang Izwan datang sendirian. Tidak seorang pun yang datang dengan isteri atau pasangan masing-masing.  Yang pastinya semua isteri mereka tentunya tidak mahu hadir ke majlis ini kerana hakikat perkahwinan ini yang merupakan perkahwinan kedua Abang Izwan.  Amat jarang sekali ada seorang isteri yang merestui suaminya yang beristeri lebih dari satu. Maka pastinya kebanyakkan isteri akan cuba menghindar majlis sebegini untuk menunjukkan protes. Sama seperti teman-teman sekerjaku. Sebahagian kecil sahaja yang hadir menunjukkan diri. Itupun yang benar-benar rapat denganku. Dengan hati yang tersinggung aku terpaksa menerima hakikat ini. Bukankah aku yang menempah semua ini dengan menerima pujuk rayu Kak Reen untuk menerima Abang Izwan?
“Betul tu Wan..., dah lewat ni. Kau cuti berapa lama?” kata Azam pula.
“Seminggu, insyaallah Isnin depan aku masuk kerja balik,”

“Ok Wan, selamatlah ye.... semoga kekal hingga ke anak cucu,” kata Taufik sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Abang Izwan.

“Eh... apa pulak hingga ke anak cucu... Hingga ke akhir hayatlah...,” sampuk Zaidi pula  menyebabkan pecah tawa di antara empat sahabat itu. Dia turut menghulurkan salam untuk Abang Izwan.

“Jadi... Wan... Munirah...., kami beredar dulu ye...,” kata Azam sambil mula beredar.

Aku cuma menganggukkan kepala sambil tersenyum bagi menyahut sapaannya itu. Sebelum beredar, sempat dia membisikkan sesuatu ke telinga Abang Izwan. Entah apa yang dibisikkan hinggakan kata-katanya sekali lagi membawa tawa ke bibir Abang Izwan. Gema tawanya itu mengundang  perhatian dari tetamu yang hadir. Semua mata tetamu ayah dan emak mertuaku memandang pada kami yang sedang berdiri berhampiran dengan pintu pagar.


0 comments:

Post a Comment

Popular Posts