Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 22
Semalam…… yang kini ku tinggalkan pergi......

Aisya Maisarah binti Muhammad Izwan, itulah nama indah yang kami berikan kepadanya. Hadirnya di sisi memberikan seribu makna untuk diriku yang kini bergelar ibu. Setiap waktu tidur dan jagaku jadi lebih bererti. Sungguh tidak aku mampu untuk menggambarkan betapa bahagianya hidupku waktu itu.
Betapa Allah maha besar mengurniakan nikmat ini kepada ku. Kehadirannya membuka mata setiap yang ada di sisi tentang betapa aku ini ujud di dunia selama ini. Kak Reen, Mak Ngah, malah keluarga di sebelah Abang Izwan kini sudah dapat menerima diriku ini. Untuk sekian kalinya aku jadi perhatian pada mereka semua. Kini aku tahu betapa indahnya jika diri ini disayangi sepenuh hati, dirindui setiap masa dan dicintai setengah mati.
Abang Izwan, jadi terlalu  obses terhadap Sarah. Juga terhadap  diriku ini. Sesaat pun jika boleh dia tidak ingin meninggalkan kami. Hari-harinya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kami. Sewaktu aku dalam pantang bersalin, awal pagi sebelum ke tempat kerja, dia sudah bersamaku walaupun sepatutnya waktu itu dia memenuhi giliran Kak Reen. Petangnya pasti dia akan singgah ke rumahku sebelum dia pulang ke rumah Kak Reen.
Ada sahaja alasan yang menyebabkan dia berbuat begitu. Tambahan lagi dengan keadaanku yang tidak mampu untuk kemana-mana, katanya dia terpaksa memenuhi semua keperluanku waktu itu. Pernah aku suarakan kebimbangan hatiku dengan sikapnya ini. Pernah aku bertegas supaya dia tidak melakukan sesuatu yang akan menyinggung hati Kak Reen.
Tapi, jawapannya tetap sama, “Kak Reen faham,” katanya. Dan mungkin waktu itu aku terlalu terbuai dengan kebahagiaan yang baru kami kecapi menyebabkan aku jadi leka. Aku jadi lupa bahawa ada hati yang terluka dengan sikap kami itu. Aku terlalu mempercayai kata-kata Abang Izwan bahawa Kak Reen juga turut gembira dengan kehadiran anak kecil kami.
Keadaan ini dikuatkan lagi dengan kehadiran Kak Reen saban hari minggu di rumahku. Setiap hujung minggu, dia bagaikan mengambil alih tugasku untuk menjaga Sarah. Dia pasti akan datang ke rumahku untuk bermain dengan sikecil itu. Waktu  Sarah jaga, dialah yang menguruskan semua keperluan Sarah. Dia yang memandikan Sarah, menukar lampin Sarah, memakaikan pakaian Sarah dan menidurkannya.
Waktu tidur Sarah  pula, dialah yang memenuhi keperluanku dan Abang Izwan. Dia akan memasak untuk kami dan menjaga sepenuhnya permakananku. ‘biar sesuai dengan makanan untuk orang berpantang’ , katanya. Cuma hanya satu sahaja yang tidak mampu dilakukannya.
Setiap kali aku menyusukan Sarah, ada pandangan sayu yang merenungku. Matanya seolah-olah berkata, dia ingin sekali berada di tempatku dan merasakan kenikmatan menyusukan bayi sekecil itu. Waktu itu, bila melihatkan kesayuan itu pernah terdetik di hati ini sekiranya aku mampu, aku sanggup melahirkan seorang lagi bayi untuk diserahkan kepadanya. Pasti dia mampu menjadi ibu yang baik kepada anak-anakku.
“Kak Reen, tak payahlah buat semua ni. Kak Pah kan dah ada,” tegurku suatu hari Ahad ketika dia membawa masuk pakaian kering yang telah diangkat dari ampaian. Sejak pagi dia sudah berada di rumahku. Datang bersama Abang Izwan yang sepatutnya berada di rumahnya hari itu.
 “Tak apalah Unie, Kak Pah boleh buat benda lain. Biarlah akak buat yang ini, bukannya susahpun. Lipat kain aje,” katanya sambil duduk di sebelahku dan mula melipat pakaian-pakaian kecil Sarah.
Batu tungku yang telah dipanaskan oleh Kak Pah sebentar tadi aku letakkan di celah pehaku. Cuba mendapatkan kepanasannya untuk melegakan rasa ngilu di dalam urat saraf di kakiku. Sesuatu yang pertama kali aku alami dalam hidupku. Patutlah seorang ibu diberikan cuti rehat panjang setelah bersalin. Proses penyembuhan selepas melahirkan seorang zuriat rupa-rupanya memakan satu jangkamasa yang panjang. 
Emak mertuaku menceritakan waktu dia berpantang selepas bersalin dulu-dulu, dia dipaksa tidur di atas sebuah pangkin.  Di bawah pangkin itu pula emaknya meletakkan sebuah dapur arang. Tujuannya adalah untuk memanaskan tubuh ibu yang baru lepas bersalin. Salah satu proses tradisional yang dapat membantu penyembuhan ibu yang dalam pantang.  Bersalai  namanya.  
Abang Izwan dalam guraunya pernah menawarkan untuk menyediakan bara seperti yang disarankan oleh emaknya, namun aku menolak.  Mungkin bertungku sudah cukup untukku. Kaedah ini juga mampu memberikan kepanasan yang melegakan rasa lenguh dan ngilu di kakiku.
Sarah yang sedang lena di atas tilam kecil di sebelahku aku tatap seketika. Bimbang kalau-kalau ada nyamuk, lalat atau serangga yang lain mengganggu tidurnya. Lantas perlahan-lahan aku letakkan serkup iaitu kelambu kecil bayi yang baru sahaja dihadiahkan oleh teman sekerja yang datang melawatku pagi tadi.
“Kak... tak menyusahkan akak ke, datang tolong Unie kat sini?” aku bertanya perlahan. Aku turut sama melipat pakaian yang telah kering itu.
Kak Reen memandang ke wajahku seketika. Wajahnya sedikit berubah. Tersinggungkah dia  dengan kata-kataku itu tadi.
“Unie tak suka ke akak datang macam ni?”
“Ehhh tak...tak... jangan sangka macam tu. Unie seronok sangat akak datang temankan Unie. Cuma... Unie tak nak menyusahkan Kak Reen. Kak Reen kan kerja, hari minggu macam nilah nak buat kerja-kerja rumah..., nak rehat... kan?,” kataku perlahan. Cuba menyusun kata supaya tidak menyinggung perasaannya.
“Akak seronok datang ke sini. Boleh tengok Sarah. Lagipun kat rumah tu bukannya ada benda nak buat pun. Nak kemas rumah, bukannya ada yang sepahkan pun. Nak lipat kain, bukannya banyak pun. Hari lain boleh buat,” ucapnya perlahan.
Aku senyum mendengarkan kata-katanya itu. Ah ... bertuah sungguh aku mempunyai madu yang sebaik ini. Dalam hati aku panjatkan rasa syukur pada Illahi. Aku berdoa semuga keadaan sebegini akan dikekalkanNya hinggalah ke akhir hayatku. Sungguh, aku bahagia kini. Punya suami yang cukup menyayangi dan punya madu yang cukup memahami. Tiada apa lagi yang aku pinta selain dari nikmat ini. Alhamdulillah... syukur padaMu Ya Illahi.

****

Surat yang aku terima sebentar tadi aku tatap dengan perasaan serba-salah. Hari pertama aku memulakan kerja selepas dua bulan cuti bersalin, surat tawaran itu tiba di pangkuanku. Kali ini aku bagaikan tidak mampu lagi untuk berfikir apa yang patut aku lakukan. Untuk terus menolak, aku tidak mampu kerana menurut Professor Ahmad, itu akan menjejaskan peluangku di masa akan datang. Mungkin aku boleh disenarai hitamkan jika aku menolak tawaran kali ini kerana ia dia telah menyokong permohonanku untuk mendapatkan tempat itu.
Ah... buntu jadinya. Sungguh aku lupa untuk menarik balik permohonan ini dulu. Waktu itu aku terlalu buntu dengan apa yang berlaku.  Bagaimana mungkin aku nyatakan semua ini kepada Abang Izwan. Mungkinkah dia akan marah lagi kepadaku bila dia mendengar berita ini?
Tidak mahu lagi rasanya aku melihat riak marah di wajahnya dan mendengar sindiran pedas dari bibirnya. Cukuplah sekali aku mencabar keegoannya. Cukuplah sekali dia berbuat endah tak endah padaku dan tidak menegurku selama sepuluh hari disebabkan perkara itu. Tapi, aku cuku teruja dengan peluang ini dan bimbang jika aku terlepas peluang ini. Lantas tanpa ragu-ragu, Kak Reen menjadi tempat aku mengadu.
“Habis nanti Sarah macamana? Kalau pergi ke sana, berapa tahun?”
“Unie ingat nak bawa sekali. Tak apa kan kak? Tapi, itu kalau Abang Izwan setujulah. Kalau tidak, ..tak payah pergilah. Sebab tulah Unie nak minta akak tolong beritahu dia. Mungkin dia dengar sikit cakap akak.  Boleh ye kak...?,”
Kak Reen merenung ke wajahku. Mungkin dia terkejut melihatkan aku merayu sebegitu. Nampak sangat aku memang terlalu ingin menerima tawaran itu. Sesungguhnya aku memang inginkan tawaran tersebut.
“Akak tak beranilah Unie, hari tu pun dia marah bila akak pujuk dia supaya maafkan Unie. Rasanya kali ni, kalau kita sebut lagi tentang tu, kita kena marah lagi nanti. Unie kan tau abang tu macamana. Cakap dia aje yang kita kena ikut. Cakap kita, langsung dia tak nak dengar,”
Kata-katanya yang lembut itu bagaikan membawa rasa kecewa di hati. Ya, memang benar itulah yang dapat aku rasakan dalam tempoh setahun kami bersama. Memang katanya cinta, tapi ada ketikanya sikapnya cukup menyakitkan hati. Dulu aku sering menyangka bila sahaja sebuah ikatan perkahwinan dimetrai, hidup akan jadi sentiasa indah dan bahagia.
Namun setelah menjalani kehidupan berumahtangga, barulah aku tahu bahawa hidup ini tidak selalunya indah. Akan ada ketikanya dugaan yang datang melanda. Dugaan yang sering mencabar kesabaran dalam diri. Namun dugaan itulah sebenarnya yang mendewasakan ku dalam banyak hal. Memberikan aku semangat baru untuk terus menyuburkan lagi kasih sayang dalam ikatan perkahwinan kami.
Kak Reen memegang tangaku. Pipi Sarah yang sedang menyusu di ribaanku diusapnya lembut. Bayiku yang baru berusia dua bulan  itu direnungnya dengan pandangan yang cukup sayu. Entah apa yang difikirkannya hinggakan lama sekali dia terdiam memandang pada bayiku itu. Tiba-iba matanya kembali ke wajahku. Merenung jauh ke dalam mataku.
“Kalau Unie pergi bawa Sarah, sedihlah akak. Apa akak nak buat kat sini sorang-sorang, kalau Unie tinggalkan Sarah dengan akak, macamana?,” jawabnya dengan nada mengharap.
Terharu aku jadinya melihatkan kesedihan yang tergambar jelas di wajahnya. Aku hanya diam mendengarkan kata-katanya itu. Mana  mungkin aku mampu meninggalkan Sarah di sini. Mana mungkin aku mampu untuk pergi tanpa Sarah. Aku terlalu sayangkan anakku itu. Tiada kata-kata yang mampu aku ucapkan untuk menggambarkan rasa kasihku itu. Lagipun dia masih lagi menyusu badan. Aku tidak akan lepaskan susuanku ini sehingga sekurang-kurangnya satu tahun usianya. Aku ingin menyusukan anakku sendiri. Walaupun aku terpaksa bersusah payah sedikit, aku tidak akan lepaskan nikmat yang satu itu. Tidak !!!
Seminggu aku rahsiakan perkara itu dari Abang Izwan. Aku tidak mahu dia marah lagi padaku. Setiap malam aku lakukan istikharah untuk memohon petunjuk dari Allah swt. Terasa amat tertekan sekali bila ada yang bertanyakan apakah jawapanku, terutamanya dari Prof Ahmad. Setiap kali terserempak dia pasti meminta aku berfikir dengan baik supaya tidak rugi di masa akan datang. Tempoh yang diberikan untuk aku memberikan jawapan juga sudah hampir tamat. Namun keberanian untuk aku menghadapi Abang Izwan masih lagi belum aku temui.
Hari minggu yang seterusnya Abang Izwan habiskan masanya di rumah Kak Reen. Kak Reen sudah agak jarang datang ke rumahku pada hari minggu. Kalau pun datang, tidaklah sepanjang hari seperti yang dia lakukan dulu semasa aku berada dalam pantang. Ada waktunya dia merayu supaya aku membenarkan dia membawa pulang Sarah ke rumahnya.
Namun itu tidak sekali-kali aku benarkan. Aku beralasan bahawa Sarah masih lagi menyusu badan. Pastinya susah nanti jika Sarah menangis di waktu malam kerana mahukan susuku. Entah mengapa, aku bagaikan tidak mahu berkongsi kasih Sarah antara kami. Cukup hanya berkongsi kasih Abang Izwan sahaja. Pada saat  itu aku mahu Sarah menjadi milikku sepenuhnya. Ah... terlalu tamakkah diri ini? 
Hari Isnin yang seterusnya Abang Izwan pulang ke rumahku. Entah mengapa kelihatan dia sedikit terganggu. Tidak ceria seperti selalu. Dia diam membisu tanpa sepatah kata untukku. Cuma dengan Sarah dia mampu bermesra. Bayiku yang kini menginjak ke tiga bulan usianya sudah pandai tersenyum bila diagah. Bahagia sekali bila melihatkan senyumannya yang polos. Yang begitu tulus dihulurkan setiap kali aku berbual dengannya.
Malah dia juga sudah pandai menegurku dengan bahasa bayinya. Tiada apa yang lebih membahagiakan diri ini setiap kali berbicara tanpa kata dengannya. Oh.. sungguh aku bahagia menjadi seorang ibu. Nikmat yang Allah berikan setelah sembilan bulan aku menderita mengandungkannya.
Selepas makan malam, aku duduk di sofa sambil menyusukan Sarah. Abang Izwan duduk di sebelahku sambil tangannya mengusap lembut di pipi Sarah. Sesekali jejari nakalnya mengusap bahu dan dadaku yang terdedah kerana memberi ruang untuk Sarah selesa semasa menyusu.  Hati sedikit resah dengan sikapnya yang diam sejak dari tadi. Patutkah aku bertanya tentang punca keresahannya itu  ataupun mendiamkan diri sahaja. Bimbang juga di hati ini sekiranya aku bertanya, akan membawa kemarahan kepadanya.
Dia jarang berkongsi masalah pejabat denganku. Sering bila dia bermasalah, dia hanya mendiamkan diri begitu. Dan aku juga tidak berani bertanya lebih-lebih akan masalah yang menganggunya. Jika dia ingin ceritakan, aku akan menjadi pendengar yang baik. Dan jika dia memerlukan pandangan, barulah aku bersuara. Tidak lebih dari ltu.
Menungnya yang panjang terus-terusan membawa resah di hatiku. Aku menatap wajahnya. Lantas aku mencium pipinya yang berada begitu dekat denganku. Sarah yang masih lagi menyusu, aku pandang seketika. Aku menarik nafasku dan cuba meminjam sedikit keberanian dari bayiku itu untuk berkata sesuatu pada Abang Izwan.
“Kenapa bang... ada masalah kat tempat kerja ke...?” ucapku dengan nada yang lembut sekali.
Ingin aku merawat resah di hatinya walaupun saat itu aku juga resah bila mengenangkan masalahku sendiri. Lama dia diam, seakan-akan teragak-agak untuk bersuara. Aku melentukkan kapalaku ke bahunya. Tangan kiriku menyentuh tangannya yang santai berada di pehaku. Cuba untuk membuang segala resah yang ada di hatinya. Lama kemudian barulah dia bersuara.
“Unie betul-betul nak pergi tinggalkan abang?”
Berderau darahku mendengarkan kata-katanya itu. Tiba-tiba aku rasakan bagaikan mahu pengsan di situ. Ah... dia sudah tahu. Akhirnya dia tahu juga. Pasti Kak Reen yang memberitahunya. Pasti perkara itulah yang membawa resah di hatinya. Aku jadi bungkam mendengarkan kata-kata yang keluar dari bibirnya. Apa jawapan yang aku harus berikan?
“Kalau Unie pergi bawa Sarah, apa nak jadi dengan abang kat sini?”
Kata-katanya membuatkan aku tertunduk. Ah ... antara cinta dan cita-cita... mana yang patut aku pilih?
“Unie sanggup tinggalkan abang kat sini?” soalnya menduga hati ku.
“Kalau abang tak bagi, Unie tak akan pergi,” ucapku perlahan.
“Itu cita-cita Unie kan? Sejak dari dulu,”
“Tak apa bang. Insyaallah, kalau ada rezeki, lain kali ada lagi tawaran macam tu,” 
Dia diam seketika. Aku nekad kini, melihatkan keresahannya itu aku sedar apa keputusan yang sepatutnya aku ambil. Aku tidak akan menerima tawaran itu. Ya, esok aku akan menemui Prof Ahmad untuk memberitahunya tentang perkara itu. Aku tidak sanggup untuk meninggalkan cinta dan kebahagiaan yang aku kecapi saat ini hanya untuk cita-citaku itu. Biarlah.... Mungkin aku akan mendapat keberkatan kerana membahagiakan dia.
“Kalau Unie nak pergi... pergilah,”
Aku memandang tepat ke dalam matanya. Terkejut dengan apa yang aku dengar dari bibirnya. Diakah yang berkata begitu? Diakah yang melafazkan kata-kata itu? Hampir tidak percaya aku mendengarnya. Dia memandang kepadaku kembali. Ada riak sedih di matanya. Riak yang membuatkan rasa bersalahku datang lagi.
“Tak apalah bang... Unie tak nak tinggalkan abang. Kalau abang tak restu, Unie, tak sanggup. Nanti abang ... tak redha pulak dengan Unie. Berdosakan bang...?”
“Pergilah... itu cita-cita Unie sejak dari dulu lagi. Bila kita kahwin, semua tu jadi macam mimpi pada Unie. Sekarang Unie dah dapat peluang tu, pergilah. Abang izinkan, abang redha Unie pergi. Tapi... untuk cari ilmu aje tau. Jangan ada niat lain dalam hati tu,” sebak sekali suara itu kedengaran di telingaku. Menyebabkan aku merasa makin bersalah untuk menerima tawaran itu dan meninggalkannya di sini.
“Betul ni? Abang tak marah kalau Unie pergi?”
Dia menganggukkan kepalanya tanda setuju. Dalam serba salah, hatiku berlagu riang. Senyum mula mekar di bibirku. Pastinya Kak Reen yang memujuknya supaya memberikan persetujuan. Ah... terima kasih Kak Reen, aku berbisik dalam hati.
“Tapi ingat.... jangan ada niat lain... Niat nak cari ilmu aje. Kalau tidak, abang tak redha,” katanya seolah-olah mengugutku manja. Mungkin kerana melihat senyuman yang mekar di bibirku.
“Abang ni... ada pulak macam tu.... Nak cari ilmu aje lah ni.... Nak buat apa lagi selain daripada tu?”
“Manalah tau, kut-kut ada niat lain....,”
“Niat apa pulak?”
Dia mengangkat bahu sambil mencebirkan bibirnya. Riak sayu masih lagi tergambar di wajahnya. Aku jadi terus serba-salah. Bagaikan ada sesuatu makna yang tidak aku fahami.
“Ada satu lagi syaratnya,” katanya serius.
“Apa...?”

1 comments:

AZBK said...

:)

Post a Comment

Popular Posts