Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 21

Sebaik sahaja masuk waktu maghrib, Mai mandi dan menunaikan solat sendirian. Dia merasa agak hairan kerana tidak ada sedikit pun kelihatan kelibat Shuhaida mau pun Syamsul  di rumah. Sepetang dia terlalu asyik bersama Nabil di tepi pantai sehinggakan tidak sedar waktu yang berlalu. Bila dia dan Nabil pulang ke rumah, kedua-duanya sudah tidak ada. Yang ada hanyalah Najwa yang seperti minggu lepas, cuba untuk mengelakkan diri darinya. Mahu ditanya kemana ayahnya pun terasa malas bila melihatkan muncungnya yang begitu panjang. Bukan Mai tidak berani tetapi malas untuk melayan kerenah anak itu dalam keadaan yang sebegitu. Dan anak gadis itu seperti biasa hanya memandangnya dari ekor mata sahaja. Bagaikan begitu membenci akan kehadirannya. Dia dapat merasakan bahawa Najwa bagaikan menyimpan dendam di hati terhadapnya. Sesuatu yang membuatkan Mai merasa begitu bingung sekali.

Duduk di hadapan television bersama Nabil di sebelahnya malam itu membuatkan timbul pula satu perasaan bahagia di hatinya. Pertanyaan demi pertanyaan dari Nabil berkenaan dengan  rancangan television yang tersiar malam itu membuatkan Mai merasakan satu lagi pengalaman baru dalam hidupnya. Kelengkapan television yang begitu asas sekali dan tanpa kemudahan astro, menyebabkan siaran  yang mampu ditonton adalah amat terhad sekali. Namun, siaran yang jarang sekali dia tonton di rumahnya di Shah Alam bagaikan menggamit minatnya untuk dia terus menonton bersama Nabil di saat ini. Dan kali ini, dia langsung tidak merasakan dia membuat keputusan yang silap untuk kembali semula ke kampung kecil ini. Dan,  tanpa ragu lagi dia pasti akan kembali untuk menghabiskan percutian akhir tahunnya selama lebih sebulan di sini nanti.

Cuti sekolah akan bermula dua minggu sahaja lagi. Selama tempoh itu nanti dia akan pastikan dia akan menggunakan setiap saat di sini nanti sebaiknya. Dia mungkin tidak akan mengalami situasi sebenar berada di kampung sebegini di tahun-tahun akan datang apabila dia dan Irfan dapat kembali bersama. Mengingatkan hakikat itu membuatkan Mai merasakan lebih baik untuk dia tidak memikirkan perkara itu buat masa ini. Sekarang, yang dia inginkan  hanyalah untuk menikmati saat-saat yang ada. Saat manis bersama Nabil, bersama alam semulajadi yang cukup indah... dan bersama Syamsul  yang penuh dengan misteri.

Tangannya mengelus buku catatan yang diberikan oleh Shuhaida sebaik sahaja dia sampai petang tadi. Buku catatan lama yang kemas tersimpan itu mengandungi sajak-sajak yang di tulis oleh Syamsul. Dia hanya mampu mengamatinya secara sepintas lalu petang tadi sebelum Nabil sibuk mengajaknya ke tepi pantai. Dan sekarang, masih lagi Nabil cuba untuk mendapatkan perhatiannya hinggakan dia masih lagi tidak mampu menghayati kandungan buku catatan kecil yang ditulis dengan tulisan yang kemas dan rapi sebegitu. Dalam diam dia berjanji pada dirinya untuk membacanya nanti sebelum melelapkan mata. Sungguh hatinya cukup teruja untuk membaca sesuatu yang ditulis oleh lelaki yang penuh dengan misteri itu.

Matanya menjeling ke arah Najwa yang kelihatan begitu asyik menyiapkan kerja sekolahnya di satu sudut ruang itu. Mata anak gadis itu sesekali menjeling ke arah television yang sedang terpasang. Dia tahu, dari perlakuannya itu, Najwa juga terasa ingin menonton rancangan yang disiarkan. Tetapi mungkin disebabkan kehadirannya di situ membuatkan   bagai ada protes dalam hati Najwa untuk bersamanya menikmati saat indah yang dikongsi bersama dengan Nabil.

“Nabil ... nanti Nabil tanya Kak Wawa .. ayah dengan Su Ida pergi ke mana ye?” bisiknya kepada anak kecil di sebelahnya.

“Kak Wawa... ayah ngan Chu Ida pergi mana...?” lantas suara Nabil bergema kuat sekali bertanyakan kepada kakaknya. Menjeritkan kata-kata itu dari tempat duduknya di sebelah Mai.

“Nabil... kenapa jerit macam ni... kan ummi suruh pergi tanya perlahan-perlahan....,” ucap Mai perlahan sambil matanya menjeling kepada Wawa. Nabil terus bangun dan berlari mendapatkan kakaknya.

“Kak Wawa, ayah ngan Chu Ida pergi mana?” ulang Nabil kepada kakaknya. Wawa yang dari tadi kelihatan tidak mampu menumpukan perhatiannya kepada kerja sekolahnya memandang ke wajah adiknya dengan bibir yang muncung. Ada tanda marah di situ.

“Kenapa ni kacau akak nak buat kerja sekolah. Pergilah tengok tv tu...,” tengkingnya dengan suara yang begitu keras sekali. Terkejut Mai dengan perlakuan yang dipamerkan secara tiba-tiba itu. Najwa  memuntahkan amarahnya kepada Nabil atas tanda protesnya terhadap Mai sebenarnya. Berlanjutan dengan itu tercetus pergaduhan antara mereka berdua.

“Nabil tanya je... tak boleh ke?” jerit Nabil kembali. Buat Mai makin terpinga-pinga. Dia tidak pernah mengalami situasi sebegini. Di sekolah dia biasa menghadapi masalah pergaduhan kecil di antara anak muridnya. Namun situasi pergaduhan tanpa sebab sebegini amat asing baginya.

“Mengacau je...,” bentak Najwa. Kata-kata itu ternyata membuatkan Nabil marah. Lantas dia mengambil pensel Najwa dan melemparkan kepada kakaknya dengan marah. Saat itu Mai sedar bahawa dia perlu melakukan sesuatu untuk meleraikan pergaduhan ini. Cepat-cepat dia bangun apabila melihatkan Najwa bangun untuk melakukan sesuatu kepada adiknya. Dan belum sempat dia melakukan apa-apa, tamparan jejari Najwa telah singgah di pipi adiknya. Tangisan kesakitan dari Nabil bergema begitu kuat sekali membuatkan Mai dengan pantas sekali mendapatkan anak kecil itu. Lantas dia memeluk Nabil sebelum sempat dia bertindak untuk membalas perbuatan kakaknya itu.

“Dah.... dah... Nabil jangan macam ni... mari.. mari kita pergi duduk kat sana...,” pujuk Mai untuk meredakan keadaan.

Terasa amat bersalah kerana dia yang meminta Nabil untuk bertanyakan soalannya tadi. Sedikit pun dia tidak menyangka ia akan menimbulkan situasi sebegini. Terasa cukup marah pada Najwa atas tindakannya yang keterlaluan itu. tetapi dia membiarkan sahaja amarah anak gadis itu. Dia perlu memujuk Nabil saat itu.

“Kakak... kakak buat Nabil ... kakak jahat...,”

“Syhhh... jangan cakap macam tu....,”

“Habis... kenapa Nabil kacau akak buat kerja... nak tengok tv.. tengok je lah.... benci betul...,” ucap Najwa, memotong kata-kata Mai dengan keadaan marah.

“Nabil tanya aje... ummi suruh tanya pasal ayah....,” kata Nabil.

“Ok... ok... dah... dah...,” kata Mai perlahan sekadar untuk meredakan kemarahan kedua anak-anak itu.

“Ummi? Siapa ummi .... siapa? Dia bukan ummi kita... ummi kita dah mati.... dah mati...,” jerit Najwa.

“Najwa.....,” bagai halilintar suara lelaki itu bergema dari arah pintu. Syamsul yang datangnya entah dari mana segera mendapatkan Najwa dan tanpa mampu di sekat, jari jemarinya singgah di pipi anak gadisnya. Terpana semua yang ada. Sungguh  Mai terkejut dengan keadaan itu. Terlalu leka dia memujuk Nabil sehinggakan sedikit pun dia tidak menyedari kepulangan suaminya itu.

“Syam ....,” ucap Mai sambil tangannya memegang tangan suaminya.

“Kenapa Wawa cakap macam tu?” herdik Syamsul  tanpa menghiraukan panggilan Mai yang bertujuan untuk meredakan keadaan.

“Memang... dia bukan ummi Wawa ... ummi Wawa dah mati.... Wawa tak nak dia jadi ummi Wawa.. tak nak...,” jeritnya kepada ayahnya.

“ Wawa ...,”

“Wawa benci ayah... benci...,” jeritnya lagi. Syamsul  menggenggam jari-jemarinya. Terasa ingin sekali dia menampar pipi itu sekali lagi.

Najwa terus menangis dan melarikan dirinya ke dalam bilik yang dikongsinya bersama Shuhaida. Kuat sekali dia menghempas pintu. Sakit di pipinya dirasakan tidak seberapa dibandingkan dengan sakit di hatinya saat itu. Ternyata ayahnya  lebih mementingkan emak tirinya dari dia. Benci sungguh hatinya menerima hakikat itu. Sejak mengahwini perempuan itu, perhatian ayah tidak lagi tertumpu kepada mereka. Ayah jarang pulang ke kampung lagi. Kalau dulu, ayah akan balik dua minggu sekali. Tapi sejak berkahwin lebih dua bulan yang lalu, hanya sekali ayahnya balik iaitu sebulan yang lalu. Kalau bukan kerana Tok Wannya sakit sekarang ini, pastinya ayahnya masih lagi leka dengan isteri barunya. Sakit sungguh hatinya saat itu.

****

Syamsul merenung jauh di kegelapan malam. Deruan ombak yang sayup kedengaran begitu keras menghempas pantai bagaikan mengocak badai gelora di hatinya. Tiap patah kata-kata Wawa sebentar tadi mengusik perasaannya. Dia akur dengan keadaan ini. Wawa tidak dapat menerima Mai. Dia juga dapat melihat betapa terusiknya hati Mai bila Wawa menjeritkan kata-kata itu tadi. Hinggakan tanpa sedar dia menampar pipi anaknya. Dia sendiri tidak sedar akan perlakuannya itu. Selama ini dia jarang sekali meletakkan jarinya ke tubuh Wawa. Apa tidaknya, anaknya itu tidak pernah membuatkan dia marah. Namun sikap Wawa yang begitu biadap sebentar tadi mambuatkan dia tidak mampu menahan perasaan marahnya. Akhirnya hinggaplah tamparannya di pipi Wawa.  Nasib baik Mai menghalangnya dari melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.

 “Syam ....,” tiba-tiba kedengaran namanya diseru dengan nada yang sedikit kuat. Terlalu asyik Syamsul  dengan menungannya hinggakan dia tidak menyedari kehadiran Mai di sisinya.  Dia menarik nafas sambil berpaling kepada suara lembut itu. Lantas hatinya terus bergetar bila menyedari Mai berdiri terlalu hampir dengannya sehinggakan tubuh mereka bersentuhan. Dia mengangkat keningnya demi untuk menutup perasaannya saat itu.

“Mai nak minta maaf...,” ucap Mai perlahan. Kata-kata yang membawa kerut di kening Syamsul.

“Kenapa pulak?”

“Emm... tadi... Mai yang sebabkan Wawa marah.... Mai tak sangka dia tak sukakan Mai sampai macam tu sekali...,”

“Dia tak sepatutnya cakap biadap macam tu. Aku tak ajar anak aku biadap..,” kata Syamsul  dengan nada yang masih geram.

“Tapi, awak tak patut pukul dia macam tu..,”

Tingkah  Mai buat dahi Syamsul  makin berkerut. Isterinya ini masih lagi ingin membela Wawa walaupun ternyata dirinya dibenci oleh anaknya. Mengapa Mai masih melakukan sebegitu? Semata-mata kerana hendak memenangi hati Wawakah atau untuk memenangi hati dia? Tapi untuk apa?

“Habis.. nak biarkan aje...? Biar dia terus jadi budak biadap macam tu..,”

“Memangla tak baik dia cakap macam tu... tapi bukan ke lebih baik kalau kita cakap elok-elok dengan dia. Saya tak pernah terniat nak ambil alih tempat ummi dia. Saya....,”

“Hahhh... tak payah awak ingatkan kenapa kita kahwin. Saya tahu semuanya kerana Irfan kan? Jadi, awak nak terus terang kat Wawa yang awak nanti akan minta cerai dengan saya? Yang kita ni kahwin olok-olok saja. Awak ingat dia faham semua ni?” kata Syamsul  dengan nada sinis sekali.

“Bukan itu maksud saya...,”

“Habis... apa maksud engkau?”

Kelu Mai seketika. Terdiam dia dalam mengatur bicara. Syamsul  dalam keadaan tertekan. Sudahlah kerisauan tentang keadaan emaknya baru sahaja reda, kini dia dibebani lagi dengan masalah anaknya itu. Mai tahu dan mengerti perasaan suaminya itu. namun sikap degil lelaki ini bagaikan tidak mampu untuk dia tangani. Terpaksa dia berkira-kira dengan setiap patah kata yang perlu diluahkannya supaya tidak lagi menjadi bahan sindiran lelaki ini. Untuk tidak membuatkan keadaan jadi lebih tegang, dia cuba menceriakan suasana. Tersenyum lembut sambil menatap wajah suaminya.

“Emm.. biarlah... nanti biar saya cakap dengan dia. Saya tak nak dia terus kecil hati dengan saya,”

“Kau nak cakap apa?”

“Adalah...,” ucap Mai sambil mengangkat bahunya. Menimbulkan keadaan yang sungguh santai antara mereka. Buat seketika hati Syamsul  bagaikan terhibur dengan perilaku Mai yang tanpa disedarinya kelihatan sebegitu manja.

“Esok pukul berapa nak ambil mak?” ucap Mai cuba menukar topik.

Syamsul  diam seketika. Untuk membawa emak keluar dari hospital, pastinya akan memakan belanja lagi. Walaupun kos perubatan ditanggung oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, dia tidak pasti bagaimana pula keadaannya dengan kos-kos lain semasa emaknya di hospital. Adakah akan mencukupi nanti dengan wang yang ada di tangannya. Sudah lebih dua minggu dia tidak bekerja. Dan selama ini wang simpanannya sudah makin luak sedikit demi sedikit.

“Pagi... aku pergi... nanti kalau mak dah boleh keluar wad, Ida bawak dia balik dengan teksi,”

 “Eh... haah ye... mana Ida?” tanya Mai dengan rasa hairan.

Saat itu baru Mai teringat kembali kepada Shuhaida. Punca yang menyebabkan berlaku pergaduhan antara Wawa dan Nabil sehinggakan Wawa merajuk membawa diri ke dalam bilik. Dan sehinggakan dia terpaksa memujuk Nabil dari tangisnya sehinggakan anak kecil itu terlena di pangkuannya.

“Malam ni dia temankan mak. Dia suruh aku balik malam ni... lepaskan rindu pada engkau..,”

Terkesima Mai dibuatnya. Dan untuk seketika debaran hatinya memalu di dada. Sungguh dia tidak menyangka Syamsul  akan berkata begitu. Dengan segera darah menyerbu ke muka. Buat wajah lembut itu kelihatan indah dalam tatap mata suaminya.

“Aa.... emmm...,”

“Hem... kenapa gamam.... bukan ke itu yang sepatutnya... dah lama berpisah. Tentunya rindukan?”

Mai terdiam lagi. Mula memuncungkan bibirnya tanpa sedar.

“Buatlah muncung macam tu... nanti aku cium kang...,” makin galak Syamsul  mengusik.

“Hah... awak ni...,”

Lantas Mai terus masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Syamsul  keseorangan untuk terus menikmati bunyi deruan ombak yang begitu gemersik sekali di bawa angin malam ke telinganya. Dingin yang terasa dek hujan yang turun seketika tadi bagaikan memberikan  kesegaran buat hatinya. Untuk seketika waktu, bersama Mai tadi dia jadi lupa dengan keresahan yang dialaminya sebelum ini. Ternyata Mai mampu membuatkan resahnya hilang seketika bila bersama. Usikan-usikan dan sindiran-sindiran yang dilafazkannya mampu membuatkan Mai merengus geram. Dan saat sebegitu bagaikan membawa satu rasa bahagia di hati, bila wajah itu berlalu dengan muncung dan juga rajuk yang bagaikan minta untuk dipujuk. Mai ... oh Mai .... begitu mudah sekali untuk diduga hatinya. Dan Syamsul tersenyum kembali.

****

Mai jadi resah. Dia memandang di sekelilingnya. Bagaimana nanti jika Syamsul  ingin tidur di biliknya. Bilik itu agak sempit dan hanya memuatkan sebuah katil dan almari usang. Hanya terdapat ruang yang amat sempit antara keduanya. Ruang yang hanya mampu menempatkan sehelai sejadah untuk bersolat. Dia sepatutnya memberi ruang milik Syamsul ini kepada suaminya untuk merehatkan diri kerana dia yang hanya menumpang di sini.

Dalam keadaan resahnya itu, pintu bilik terkuak dari luar tanpa diketuk. Makin kuat debaran di hati Mai. Makin dia merasa resah apabila Syamsul  menghampirinya.

“Huh.... takut ke?” tegur Syamsul  sambil matanya memandang ke wajah Mai yang resah sambil  duduk di birai katil.

“Mana ada...,” sepontan kata-kata itu keluar dari bibir Mai. Lantas menjemput tawa di bibir Syamsul. Masih lagi wanita ini cuba untuk menafikan sesuatu yang begitu telus di pandangan mata.

Syamsul  membuka pintu almarinya dan mengeluarkan pakaiannya. Sambil berlalu ke tempat kain tualanya tersidai di sudut bilik, dia terus ketawa.

“Macam mana nanti ye....?” dia bertanya dengan suara yang leweh.

Mai diam, cuba untuk memahami maksud soalan itu. Dahinya berkerut memandang ke wajah Syamsul. Namun apa yang diharapkan tidak juga tiba. Syamsul  tidak meneruskan kata-kata itu. Buat  dia jadi makin tertanya-tanya maksud kata-kata Syamsul.

“Macam mana apa...?” akhirnya terkaluar soalan itu dari bibirnya. Tidak mampu lagi untuk cuba menyelesaikan teka-teki yang sememangnya tidak berpihak kepadanya.

Syamsul  senyum. Ah... masih lagi begitu telus isterinya ini. Tiap persoalan pasti tidak mampu dia biarkan berlalu tanpa jawab. Syamsul terus tersenyum sambil berlalu ke pintu bilik. Dia suka dengan keadaan itu... suka sekali.

Sambil  menolak pintu bilik untuk keluar, persoalan di minda Mai terjawab apabila bagaikan menyindir, Syamsul  berkata, “sekarang ni... bila sebilik dengan aku sekejap macam ni pun kau dah takut. Macam mana nanti ye, sebulan kau nak sebilik dengan aku....?” dengan kata-kata itu Syamsul  keluar sambil terus ketawa perlahan.

Terkedu Mai mendengarkan kata-kata itu. Langsung dia tidak terfikirkan soal itu bila dia menyatakan bahawa dia akan berada di sini sepanjang cuti sekolah nanti. Lalu bagaimana? Hatinya dikocak debaran yang makin menggila. Membuatkan seluruh tubuhnya menggeletar saat itu.

10 comments:

Anonymous said...

Menarik jln ceritanya... Unik dan membuatkan ku ingin mengetahui what's next....

blinkalltheday said...

alahai..comel je mai yer..blur gitu..sambung lagi kak..

Unknown said...

menggigil seluruh badanlah kalau dah sebulan dok serumah..
haha.
rindunya dgn cerita ni kak laila...
huhu

Anonymous said...

Salam Ramadhan Al-Mubarak. Thanks for the new n3. Syahdunya! Tersentap hati akak bila membaca '... apabila dia dan Irfan dapat kembali bersama'. Janganlah pisahkan Syamsul dan Mai! Bila dan bersama sebulan nanti harapnya adalah sinar kasih yang akan menjalar buat mereka...

Lieynaim mohd noor said...

kak laila.. lama tgu n3 nie.. best.. walaupun shamsul dingin dgn mai dia ttp ambil berat..hehhheeh.. nak lagi

has_1309 said...

Laila, terima kasih. Akhirnya saya dapat juga tgk ada 2 n3 dlm masa sebulan.

'Sesaat cukup bagiku' ini mmg mencabar minda awk, terlalu byk yg perlu difikirkan terutama sekali bagaimana olahan jln cerita yang memerlukan awk fokus semasa menulisnya. Syabas kerana berjaya, saya harap n3 baru nnt Mai dah tahu perasaan dia sebenarnya kat Syamsul.

Laila Hanni said...

thanks Has.. memang mencabar. bulan puasa pulak malam tak leh nak berkarya.weekend je ada masa sikit.nampaknya kena tunggu lepas raya baru blh pulun balik...

Laila Hanni said...

wassalam .... :)

Anonymous said...

yeay, akhirnya kak Laila tunaikan permintaan kitorang untuk menambah n3 baru setiap bulannya, tak delah angau menunggu n3 baru bulan hadapan, hehe. thanks k Laila, ^_^. nice n3, dan jangan pisahkan May ngan Syamsul ye, sayang diorang, hehe.

muda13

Anonymous said...

saya suka watak Syam ni...dia xdelah benci sgt kat Mai. mcm merajuk sikit. hehe..Mai pon cute jer..siap muncung2 mulut lg..

Post a Comment

Popular Posts