Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's



Ketika Mai tiba di rumah tengahari itu kereta Irfan sudah ada di hadapan rumahnya. Perlahan dia mengeluh. Apa lagi alasan yang harus dia berikan kepada lelaki ini? Pasti Irfan akan marah lagi seperti minggu lepas apabila dia pulang ke kampung Syamsul  tanpa memberitahu lelaki itu. Dan seperti yang dijangkakannya, air muka Irfan yang begitu keruh sekali menceritakan segala perasaan yang lelaki itu rasakan saat itu.

“Mai balik kampung dia lagi?” tanya Irfan apabila dia keluar untuk membuka pintu pagar rumah. 

Tanpa menghiraukan kemarahan lelaki itu, Mai membuka pintu pagar dan kembali semula ke dalam kereta untuk memandu masuk ke dalam kawasan rumahnya. Irfan mengelak ke tepi untuk memberi ruang kepada kereta Toyota Vios Mai masuk. Hatinya panas melihatkan sikap Mai yang sebegitu.

“Mai... abang tanya ni...,” bentaknya setelah Mai keluar dari keretanya. Mai mengeluh sambil berdiri tegak menghadapi bekas suaminya itu.

“Abang... Mai baru sampai ni... sekurang-kurangnya  biarlah Mai masukkan kereta dulu... lepas tu kita cakaplah...,” kata Mai perlahan. Mindanya masih lagi memikirkan alasan yang perlu dibuatnya kali ini.

“Abang cari Mai .... cuba telefon Mai... tapi tak dapat.... Mai pergi mana...? Honeymoon ya?” sindir Irfan dengan nada geram.

“Abang.... mak Syamsul  baru buat rawatan jantungnya minggu lepas. Dia baru aje keluar dari hospital semalam. Tak kanlah tak boleh kalau Mai pergi ziarah mak mertua sendiri?” kali ini Mai pula yang membentak.

Cepat-cepat Mai meninggalkan Irfan untuk masuk ke dalam rumah. Dia masih belum menunaikan solat Zohor sedangkan jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 3.00 petang. Apabila Mai membuka pintu utama dan Irfan menunggu seolah-olah ingin turut masuk ke dalam rumah, Mai kembali berdiri menghadapinya.

“Bang, Mai nak solat dulu. Abang tunggu kat luar ni ye kejap? Nanti Mai buatkan air. Abang dah makan? Kalau belum, ni ada nasi yang Mai beli tadi, kalau nak bolehlah abang makan nasi ni... Tapi... emm... kena tunggu Mai kat luar ni ok?”

Berubah muka Irfan mendengarkan kata-kata Mai itu.

“Bang... maaf... abang tak boleh masuk ke dalam... Kita bukan suami isteri lagi...,” ucap Mai seperti merayu. Mengharapkan lelaki itu faham akan maksudnya.

Irfan mengeluh keras sekali. Dia terpaksa akur dengan keadaan itu. Lantas dia bergerak ke kerusi kayu cengal yang terletak di luar rumah. Mai meletakkan bungkusan nasi yang dibelinya tadi di atas meja kecil di sisi kerusi tempat Irfan duduk. Suasana petang dengan angin yang bertiup membuatkan terasa hangat sekali untuk sesiapapun duduk di situ. Tetapi dia tiada pilihan lain. Tidak mungkin dia akan membenarkan Irfan masuk ke rumah yang pernah mereka kongsi satu ketika dulu. Terlalu banyak nostalgia indah untuk dikenang nanti. Dan yang pasti, mereka tidak sepatutnya pun dilihat bersama begini. Bagaimana perasaan Syamsul  nanti jika dia melihat isterinya berdua bersama lelaki begini. Walaupun  pernikahan ini hanya sementara, Mai tahu dia mesti menjaga maruahnya sebagai seorang isteri. Lantas kata-kata yang Syamsul ucapkan  pagi tadi kembali singgah di telinganya.

“Nanti Mai buatkan air ye bang...?” ucapnya perlahan.

Irfan hanya mengangguk. Cepat-cepat Mai masuk untuk menyediakan sejug air oren yang sejuk sekali. Sekurang-kurangnya mungkin ini mampu untuk menyejukkan hati Irfan selepas ini. Dia membawa keluar air itu bersama dua biji gelas serta  sudu dan garfu untuk Irfan menjamah nasi bungkusnya sementara menunggu dia solat.

“Abang makanlah ye... Mai pergi solat sekejap. Sekejap aje ya?” katanya kepada lelaki itu sambil menuangkan jus oren ke dalam gelas.

Irfan hanya diam. Lantas Mai meninggalkan lelaki itu dan menutup dan mengunci pintu geriji  rumah. Dia tidak mampu membayangkan seandainya Irfan masuk ke rumah apabila dia sedang solat. Keadaan Irfan amat teruk sekarang ini dan Mai tahu dia mungkin tergamak melakukan apa sahaja dalam keadaan marah begini. Pantas sekali dia naik ke tingkat atas untuk mandi dan solat sementara Irfan menunggu di luar.

Irfan mengetap bibirnya. Rahangnya bergerak-gerak akibat marah dengan keadaan ini. Sejak hari Jumaat dia mencari Mai di sekolah pada waktu dia sepatutnya pulang. Bila melihatkan Mai tiada di sekolah, dia datang ke rumah ini dan masih Mai tiada. Bila dia menelefon, Mai tidak menjawab telefon itu. Mai seolah-olah ingin menjauhkan diri. Sperti mahu melarikan diri darinya dan tidak lagi mahu menghubunginya semula. Mengapa dan kenapa? Apabila dia kembali semula ke rumah ini pada hari Sabtu, masih lagi Mai tiada. Dia cuba menghubungi salah seorang teman yang mengajar bersama dengan Mai, namun temannya itu tidak tahu ke mana Mai pergi. Hendak menghubungi orang lain, dia tidak mampu kerana tidak punya nombor untuk dihubungi. Dan dia sedar kini betapa dia tidak pernah menyimpan nombor telefon kawan-kawan sekolah Mai. Malah selama ini dia tidak pernah ambil tahu tentang keadaan kerja isterinya itu.

Selepas setengah jam Mai turun kembali untuk mendapatkan Irfan. Terasa sedikit segar tubuhnya selepas mandi dan solat. Sepanjang waktu dia mandi beribu alasan yang dia cuba reka di mindanya demi untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dirasakan bakal dipersoalkan oleh Irfan. Namun tidak satu pun dirasakan mampu untuk meyakinkan dirinya. Lantas dia membiarkan sahaja. Biarlah apa jua jawapan yang akan diberikan. Dan biarlah apa jua kemarahan yang akan dihamburkan kepadanya kerana menghilangkan diri sebegitu. Dia akan cuba berlagak sejujurnya.

Bila dia tiba di sisi Irfan didapati lelaki itu sedang merenung jauh ke tengah padang yang terbentang luas di hadapan rumah yang pernah mereka kongsi bersama. Rambutnya yang terjuntai ke dahi terbuai-buai ditiup angin petang yang masih hangat terasa mengelus  di pipi. Walau dalam keadaan resah sebegini lelaki ini masih lagi mampu menjaga perwatakannya yang sentiasa kemas bergaya. Buat Mai kadang kala tertanya, samada benarkah betul-betul ada gundah di hatinya.

“Abang tak makan?” tanya Mai perlahan sambil matanya tertumpu pada bungkusan nasi yang langsung tidak dibuka oleh IrfanAair oren yang telah dituangnya untuk Irfan tadi telah berbaki separuh.

“Abang tunggu Mai ...,” lirih suara itu bagaikan cuba untuk membelai hatinya. 

Mai senyum sambil matanya menjelajahi wajah tampan Irfan. Cuba menanggapi erti yang ingin di sampaikan. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Irfan tetapi bagaikan sudah tiada lagi keinginan yang sama di hatinya. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Pernah satu ketika dia mengangankan perkara yang sama. Sehingga sanggup membiarkan lelaki ini membuat keputusan buat dirinya.

“Makanlah..., tak payah tunggu Mai ,”

“Mai tak lapar?”

“Tak apa... abang makanlah.. nanti kalau lapar Mai boleh buat apa yang ada kat dapur tu..,” entah mengapa saat itu ingatannya kembali kepada saat di mana dia dan Syamsul  memasak murtabak mee segera. Terasa pecah liur mengingatkan juadah itu. Dan tak semena-mena masih terasa lagi hangat genggaman jari jemari kasar itu ketika ia cuba memanaskan jari-jemarinya awal pagi tadi. Lantas Mai memejamkan matanya. Cuba menghayati kembali keindahan yang dirasakan ketika bersama Syamsul  pagi tadi. Serasa seperti tidak ingin dia melepaskan rasa itu.

“Abang cari Mai sejak hari Jumaat lagi. Kenapa Mai tak jawab telefon abang?”

Mai diam. Dia sudah tahu, pasti soalan itulah yang akan ditanya oleh Irfan. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia membiarkan sahaja panggilan Irfan tidak terjawab sepanjang masa dia di rumah keluarga Syamsul. Sebenarnya dia tidak mahu diganggu. Dia ingin ketenangan sepanjang masa d sana. Sesuatu yang tidak pernah dirasakan selama ini. Tenang dan bahagia melayan kerenah anak-anak, debar yang menggila ketika melayan kerenah Syamsul  dan perasaan senang ketika mendngar usik-usikan dari Shuhaida buat dia ingin terus menjadi sebahagian dari mereka. Tidak mahu melepaskan perasaan bahagia itu biarpun sesaat cuma.

“Entah la bang... sibuk sikit dengan keluarga dia tu... anak dia yang kecil tu... asyik  ikut Mai ke sana ke mari je.... penat melayan soalan-soalan dia tau bang... tapi seronok..,” kata Mai. 

Tanpa sedar ada sinar bahagia di matanya dan sedikit pun perasaan itu tidak terlepas dari pandangan mata Irfan. Hatinya terasa makin tidak sedap dengan perkembangan terbaru ini.

“Berapa umur anak-anak dia tu?”

“Emmm... yang kakak tu sembilan tahun, yang adiknya enam tahun...,” jawab Mai dengan wajah yang ceria. 

“Mai seronok balik kampung dia?”

“Seronok bang... rumah mak dia tu kat tepi pantai. Dia sebenarnya tengah buat chalet kos rendah kat tapak rumah emaknya tu. Dah ada buah dua dalam pembinaan. Cuma tinggal kerja-kerja penyudahan je.. simenkan lantainya, pasang tingkap, dan wiring. Tapi terpaksa berhenti sebab modal tak cukup. Bila mak dia sakit, dia terpaksa gunakan duit simpanannya. Kesian dia bang...,” 

Dan sedikit pun Irfan tidak terlepas pandang kegembiraan Mai yang jelas terpancar di wajahnya. Buat dia rasa takut tiba-tiba.

“Mai gembira ye kat sana?”

“Ehem.... memang gembira...,” jawabnya ringkas. Mula memahami perasaan Irfan saat itu. Namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Itu yang dirasakan dan dia tidak mampu menipu perasaannya. Biarlah, biarlah seketika ini Irfan tersinggung dengan apa yang dirasakannya. Biarlah dia merasakan bagaimana tersinggungnya Mai dengan nasib yang menimpanya selama ini.

Irfan diam sambil meneguk perlahan air oren dari gelasnya. Bungkusan nasi yang sudah terhidang di hadapannya dijeling sahaja. Seleranya hilang saat itu. Biarpun sebentar tadi perutnya terasa lapar, namun kini dia bagaikan tidak berselera langsung.

“Hari minggu ni, mak dengan abah panggil kita balik. Mereka nak buat kenduri cukur jambul anak Pia,” tiba-tiba Irfan membuka cerita. 

Kata-kata yang membuatkan Mai tergamam. Perlahan dia mengetap bibirnya. Saat itu timbul rasa bersalah kerana masih lagi menyembunyikan status hubungan mereka kepada keluarga Irfan. Semua itu adalah atas dasar permintaan Irfan. Namun mampukah dia untuk terus berpura-pura. Mampukah rahsia ini terus disembunyikan dari pengetahuan kedua emak dan abah Irfan. Tambahan lagi dalam keadaan begini?

“Bang... macam mana ni... kalau balik rumah mak... nanti tak kan kita nak duduk sebilik,” sanggah Mai dalam keadaan luar sedar. Bila dapat melihat ada perubahan di wajah Irfan, barulah dia menyedari sikap terburu-burunya yang buat dia terlanjur kata.

Irfan memandang isterinya itu dengan penuh tanda tanya. “Kenapa Mai kata macam tu...?” katanya perlahan.
“Emmm...maksud Mai ... eemmm... kita kan bukan lagi suami isteri. Kalau balik rumah mak, mesti dia bagi kita tidur sebilik...,”

“Mai dah tak suka sebilik dengan abang?”

“Bang.... mana boleh... haram kan?”

Irfan memejamkan matanya. Jika itu alasan mengapa Mai tidak mahu bersama dengannya, dia tidak mampu berkata-apa-apa. Dia tahu berdosa tinggal sebilik dengan yang bukan muhrim. Apa-apa sahaja mampu berlaku antara mereka. Tambahan lagi dia amat rindu pada bekas isterinya ini.

“Insyaallah.... abang akan cuba tahan diri abang. Bila dengan Mai nanti abang akan cuba tahan godaan syaitan,”

“Tapi....,”

“Mai... mak dengan abah masih belum tahu hal kita. Kalau boleh kita sembunyikan dari mereka ye Mai?”

“Tapi bang... mana boleh....,” pantas Mai memberikan alasan.

“Kita terpaksa Mai... nanti mereka tahu rahsia kita,”

Mai bangun sambil memeluk tubuhnya. Dia tidak sanggup untuk berlakon sebegitu. Rambutnya yang masih separuh basah itu terbuai ditiup angin petang itu. Cuaca yang panas menyebabkan cepat sekali rambutnya kering. 

“Bang... mana boleh... kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi..,”

“Mai... kenapa cakap macam tu. Kita kan tengah nak baiki hubungan kita ni... nanti bila Syamsul  ceraikan Mai, kita akan dapat bersama semula...,” kata Irfan dengan penuh harapan. Dan seketika it Mai merasakan begitu bersalah sekali kerana hatinya cuba menafikan perkara itu.

“Harap Mai kotakan kata-kata Mai hari tu... Abang  dah tak larat lagi tunggu Mai ...,”

“Abang... boleh tak kalau kita tak balik...,”

“Nanti mak dengan abah mesti rasa pelik... Selalunya kita mesti balik kalau mereka nak buat kenduri macam ni,”

Mai mengeluh perlahan. Terasa begitu tidak berdaya saat itu. Antara janji dan harapan. Dia bagai tidak ingin untuk mengecewakan janjinya terhadap Irfan. Namun, dia juga tidak mampu untuk mengecewakan harapan Syamsul  terhadapnya untuk menjaga diri dan maruahnya sebagai seorang isteri.

“Apa kata kalau kita sewa kat hotel je. Tak perlu tidur kat rumah mak dan abah. Kita balik lewat sikit supaya semua bilik kat rumah mak dah ada penghuninya. Adik beradik abang semuanya balikkan?” tiba-tiba idea itu timbul. Dia sedikitpun tidak menyedari perasaan kecewa Irfan terhadap kata-kata itu.

“Mai macam dah tak suka sangat dengan abang. Sampaikan ... nak habiskan masa satu malam dengan abang pun dah tak mahu..,”  katanya.

“Abang... mana boleh... kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi...,” kata Mai separuh membentak. Cepat-cepat dia menjauhkan dirinya dari Irfan  yang entah bila sudah turut sama berdiri di sebelahnya. Begitu hampir sekali seolah-olah cuba untuk menggodanya.

“Kita bukannya nak buat apa. Kita cuma duduk berbual sudahlah. Kalau mengantuk Mai tidurlah atas katil. Abang boleh tidur atas kerusi atau atas karpet tepi katil tu,”

“Bang.... duduk berdua macam tu... kan ada yang ke tiga datang menggoda. Mai tak mahu. Kalau nak balik rumah mak, kita kena sewa kat hotel. Mai tak nak tidur kat rumah mak. Kalau tidak, Mai akan beritahu mak apa yang dah berlaku pada kita. Mai tak nak terus buat dosa bang..,”

Irfan terdiam mendengarkan ugutan itu. Hatinya begitu tersinggung dengan kata-kata Mai itu. Dia tahu hakikat sebenarnya hubungan mereka. Namun bila kata-kata sebegitu terhambur dari bibir Mai dia merasakan seperti hati Mai bagaikan sudah berubah. Mai bagaikan lebih senang bersama Syamsul  dan keluarganya. 

“Mai, abang takut sangat sekarang ni,”

Kata-kata itu membuatkan Mai berpaling ke arahnya. Mata mereka bertatapan tapi hanya tatap yang tidak memberikan apa-apa kesan lagi di hati Mai.

“Apa maksud abang?  Mai tak faham. Kenapa abang takut? Abang takutkan apa?”

“Abang takut Mai dah jatuh cinta pada dia. Dan abang takut Mai dah tak mahu kembali kepada abang,”

Terdiam bila mendengarkan itu. Ingin sekali dia  menidakkan perkataan Irfan itu. Ingin sekali dia meyakinkan Irfan bahawa hatinya tidak akan berubah. Namun dia sendiri tidak yakin dengan perasaannya. Dan dia sendiri takut untuk menghadapi kenyataan di masa hadapan. Dia juga tidak sanggup untuk melepaskan perasaan indah yang dirasakannya setiap kali dia mengenangkan Syamsul. Ah, dia keliru... sunggu dia keliru. 

“Mai ...,” dalam berbisik suara Irfan bagaikan merayu hatinya.

Mai berpaling ke arah lelaki itu.

“Mai jangan jatuh cinta pada dia ye?”

Mai menarik nafasnya. Dia hanya memandang ke wajah Irfan. Mengharapkan dia mampu untuk menjanjikan semua itu. Namun ternyata dia tidak mampu.
Bab 23

Bila Mai masuk ke bilik kira-kira sejam kemudian, kelihatan Syamsul  sudah pun lena. Dengkuran lelaki itu membuktikan lenanya sudah begitu nyenyak sekali.  Perlahan Mai menarik bantal yang sedang dipeluk oleh Syamsul  untuk tidur di ruang sempit antara katil dan almari. Ruang yang biasanya digunakan untuk menunaikan solat fardunya. Namun agak sukar untuk dia mengambil bantal yang ternyata sekali Syamsul  peluk dengan kemas dalam lenanya. Akhirnya dia beralah. Tidak mengapalah kalau dia terpaksa tidur berbantalkan lengannya sendiri, namun untuk mengejutkan Syamsul hanya untuk mengambil bantal itu, tidak akan dilakukannya sama sekali.

Mai mencari-cari kalau-kalau ada kain atau gebar yang boleh digunakan untuk alas tidurnya dari dalam almari. Dia tidak akan mampu untuk tidur di atas lantai kayu yang sejuk itu. Lalu dia mengambil tiga helai kain pelikat Syamsul  yang ditemuinya. Satu untuk dijadikan alas tidurnya dan satu lagi untuk dijadikan alas kepala. Dan satu lagi untuk dijadikan selimut. 


Hujan yang terus mencurah-curah di luar  bagaikan sedikit pun tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Kedingin malam itu terasa bagaikan menyerap  terus ke tulang hitamnya. Kain batik yang digunakan sebagai selimut untuk mengurangkan rasa sejuk pula bagaikan langsung tidak berfungsi. Sedikit pun tidak mampu memberikan kehangatan kepada tubuhnya.


Syamsul  menggeliat perlahan. Dari ekor matanya dia dapat melihat Mai mengerekot kesejukkan. Sengaja dibiarkan wanita itu dengan kedegilannya. Ruang tempat tidur di atas katil masih lagi luas di sebelahnya. Namun kedegilan Mai bagaikan mencabarnya. Biarlah... biar dia terus dengan kedegilannya jika itu yang dia mahu. Dia merasakan bahawa dia tidak perlu untuk mempelawa Mai tidur bersama di atas katil itu. Untuk apa kalau nanti Mai menolak mentah-mentah pelawaannya itu. Biarlah dia terus kesejukkan di situ, selagi dia mampu menahan rasa itu.



Melewati jam 12.00 tengah malam Mai tidak lagi mampu menahan kesejukkan. Perlahan dia bangkit dari perbaringannya dan mengambil tempat di sebelah Syamsul. Kalau dia diam-diam tidur di situ, mungkin Syamsul  tidak akan sedar, dia berkira-kira sendiri. Lantas perlahan dia menyelimutkan dirinya dan mula berdoa agar Syamsul  betul-betul nyenyak dan tidak akan menyedari kehadirannya di sisi hingga ke pagi. Sedikit pun dia tidak sedar ada senyum terukir di pinggir bibir suaminya itu. 


****


Telefon bimbitnya menjeritkan irama yang amat membingitkan telinga pada tepat jam 3.00 pagi. Namun serasa seperti tidak ingin dia bangkit dari lenanya yang baru seketika. Kehangatan yang dirasakan menyelubungi tubuhnya saat itu terasa bagaikan tidak mahu dilepaskannya. Namun, terpaksa juga dia akur jika tidak ingin terlepas dari menaiki kapalterbang pagi ini.   Dia cuba untuk mematikan bunyi alarm dari telefon itu namun tidak mampu rasanya melepaskan tubuhnya dari pelukan yang begitu kemas sekali. Pelukan yang memberikan kehangatan di dalam kedinginan dinihari itu. Dan suara yang bergumam di telinganya meminta supaya dia terus diam di situ akhirnya menyedarkan dia di mana dia berada. Dia dalam pelukan suaminya.


Dengan rasa yang cukup terkejut dan malu yang datang tiba-tiba, Mai menolak tubuh yang mendakapnya erat. Kehangatan yang dirasakan dalam dingin dinihari itu terasa tidak ingin dilepaskan. Namun malu meminggirkan semua rasa itu. Bila dia dapat meleraikan dakapan kemas Syamsul, cepat-cepat Mai melangkah bangun dari katil. Syamsul  masih lagi larut dalam lenanya. Terasa  lega di hati kerana sekurang-kurangnya Syamsul  tidak menyedari keadaan itu dan tidak akan menjadi bahan sindiran buat dirinya nanti.


Setelah mengejutkan Syamsul, Mai cepat-cepat meninggalkan bilik untuk mandi. Dingin pagi membuatkan dia tidak mampu menahan gigil apabila keluar dari bilik mandi. Mandi pun hanya sekejap cuma, sekadar untuk menyegarkan tubuhnya. Terlintas di hati bahawa nanti apabila kembali ke sini pada waktu cuti sekolah nanti dia akan membelikan sebuah pancuran air panas untuk kegunaan mereka di sini. Tentu Nabil dan Wawa akan suka kerana tidak lagi perlu mandi air sejuk di pagi hari untuk ke sekolah. Ini juga pastinya akan memberikan keselesaan buat emak mertuanya. Kalau dia yang sihat ini boleh kesejukkan sebegini bila mandi di pagi hari waktu musim tengkujuh ini, pastinya emak yang dalam keadaan tidak sihat merasa lebih tidak selesa lagi.


Kesejukkan yang dirasakannya bagaikan hilang entah ke mana bila keluar sahaja dari bilik mandi dia melihat Syamsul  sedang menunggu gilirannya. Nasib baik bilik air itu berada di dapur dan Shuhaida sudah juga bangun untuk menyediakan minuman panas untuk mereka sebelum bertolak pergi. Sekurang-kurangnya  Syamsul  tidak menyindir ataupun mengusiknya walaupun dia pasti ada niat di hati lelaki itu untuk melakukan itu.


Mungkin kerana kesejukkan, Syamsul  juga mengambil masa yang singkat sekali untuk menyiapkan diri. Selepas mengejutkan emak mertuanya untuk bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal, Mai dan Syamsul  terus menunggu Abang Derasid yang telah berjanji untuk mengambil mereka di rumah Syamsul. Nabil juga bangun seketika apabila Mai mencuim pipinya untuk mengucapkan selamat tinggal. Wawa pula hanya mendiamkan diri bila Mai melakukan perkara yang serupa kepadanya. Tapi Mai tahu yang anak gadis itu sebenarnya sedar dari lenanya ketika itu. Dengan janji akan kembali semasa cuti sekolah nanti, Mai meninggalkan mereka dengan perasaan yang sayu. Telah sekian lama dia tidak merasakan kebahagian sebegini, semenjak pemegian emak dan ayahnya dulu. Hubungan dia dengan keluarga Irfan juga tidak semesra ini satu masa dulu. Sejak berpisah juga, tiada khabar berita dari mereka. Sememangnya mereka tidak begitu rapat dan jarang pulang ke kampung. Sehinggakan walaupun sudah hampir enam bulan dia dan Irfan berpisah, berita perceraian mereka ini masih lagi mampu disembunyikan dari keluarga Irfan.
Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang, Mai terlena di tempat duduk belakang kereta Abang Derasid. Sesekali Syamsul  berpaling ke arah isterinya itu sambil melayan perbualan bersama Abang Derasid. Masih terasa hangat dakapan isterinya itu semasa sedang lena tadi. Walaupun hanya sebentar, dia tahu dia akan merindukan kehadiran Mai selama mereka akan berpisah nanti. 


Kira-kira jam 4.50 pagi kereta Abang Derasid memasukki kawasan pendaftaran masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Pengkalan Chepa. Mai yang telah dikejutkan dari lenanya oleh Syamsul,  terus keluar dari kereta di temani oleh Syamsul. Dan dengan pantas sekali Syamsul  memegang tangan Mai dan menariknya masuk ke dalam bangunan lapangan terbang itu untuk melarikan diri dari kesejukkan dinihari yang ditambah lagi dengan hujan yang masih turun mencurah-curah. Abang Derasid telah memberitahu yang dia akan menunggu Syamsul  di surau yang berdekatan sementara Syamsul  menunggu  Mai mendaftar dan masuk ke balai berlepas.


 Selesai mendaftar mereka duduk di ruang tepat duduk yang disediakan. Masing-masing cuba mengelak dari  bertembung pandangan. Mai menggosok kedua-dua belah tangannya untuk melegakan kesejukkan yang dirasakan. Pakaian tebalnya tidak mampu untuk menghilangkan rasa sejuk di jari jemarinya walaupun dia memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket.


Melihatkan Mai dalam kesejukkan, tangan Syamsul  pantas sekali memegang tangan isterinya sambil digosok-gosokkan di antara kedua-dua tangannya yang kasar. Perlakuan yang dilakukan itu sungguh berada di luar jangkaan Mai. Serasa bagaikan  tidak percaya apabila Syamsul  melakukan sebegitu kepadanya di khalayak ramai begini. Dan pada saat yang sama juga, satu rasa bahagia menyelinap di hatinya. Membuatkan dia bagaikan tidak ingin menaiki kapal terbang untuk kembali ke Kuala Lumpur. 


Mereka  terus juga diam dalam keadaan begitu apabila pengumuman dibuat mengatakan akan berlaku kelewatan bagi penerbangan pesawat Firefly ke Kuala Lumpur akibat dari hujan lebat. Masing-masing cuma hanya mahu menikmati perasaan indah yang mereka rasakan saat itu. Perpisahan bakal berlaku dan masing-masing tidak ingin mencalarkan perasaan masing-masing. Biarlah yang indah sahaja yang akan di bawa untuk mereka kenang sepanjang perpisahan nanti. 


Sepanjang masa itu Syamsul  mengenggam erat tangan lembut isterinya. Terasakan bagai tidak mahu melepaskan Mai pergi. Dan bila masuk waktu subuh, terus dia menarik tangan Mai untuk membawa Mai ke bilik solat. Terasa ingin sekali bersolat bersama tetapi ruang yang berlainan antara wanita dan lelaki membataskan keinginannya itu. Untuk ke surau yang berdekatan, dia bimbang kemungkinan penumpang akan dipanggil untuk memasukki balai berlepas. Selesai bersolat kira-kira jam 6.30 pagi, pengumuman dibuat untuk menjemput penumpang masuk ke balai berlepas kerana kapalterbang akan berlepas kira-kira jam 7.00 pagi. Mai tahu bahawa kelewatan ini akan menyebabkan dia terlewat ke sekolah nanti. Namun sedikit pun dia tidak hiraukan keadaan itu. Yang dirasakan kini ialah untuk terus bersama suaminya.

“Mai jaga diri ye? ... jaga maruah Mai sebagai seorang isteri ye...,” kata Syamsul  tiba-tiba ketika mereka berjalan perlahan ke balai berlepas.    

“Kenapa awak kata macam tu?” soal Mai yang terkejut dengan kata-kata yang diucapkan oleh Syamsul.


“Mai jauh kat sana. Apa-apa pun boleh jadi pada Mai. Abang kat sini jauh, tak mampu nak jaga Mai,” kata Syamsul  perlahan. Cukup perlahan hingga membuatkan Mai merasakan seperti mimpi. Samada kata-kata itu sememang diucapkan oleh suaminya itu atau hanya bisikan yang diangankannya. Sememangnya itulah kata-kata yang diharapkan untuk Syamsul  ucapkan di saat-saat begini. Namun, pandangan mata Syamsul  yang menusuk ke jantungnya itu membuat dia percaya, itu semua bukan anganan. Suatu perlakuan yang membawa getar di dadanya. Buat dia bagaikan tidak mampu bernafas untuk seketika dek kerana melayan debar di dada.

Sebelum Mai  dan meneruskan langkahnya masuk ke balai berlepas, dengan rasa berat hati dia menyalami dan mencium tangan Syamsul. Pertama kali melakukan itu, terasa syahdunya sebuah ikatan. Dan bila Syamsul  menggenggam erat jemarinya seketika sebelum melepaskannya, Mai tahu yang dia tidak ingin sesekali melepaskan ikatan ini. Sungguh dia tidak mengerti mengapa ini terjadi. 


“Telefon abang bila dah sampai nanti....,” bisik Syamsul  di telinganya.


Mai tidak mampu berkata apa-apa. Hanya genangan airmata yang membanjiri mata dan hatinya.


“Kalau boleh tiap-tiap malam abang... nak Mai ada sebelah abang... macam semalam.....,” bisik Syamsul  lagi. 


Dan saat itu Mai tahu bahawa dia telah jatuh cinta.


****


Sepanjang masa kapalterbang yang dinaiki Mai meredah hujan renyai menyelusuri landasan kapalterbang  Lapangan Terbang Sultan Ismail di pagi musim tengkujuh itu sedikit pun Mai tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia sedikit pun tidak menyedari apabila pramugari bertugas menunjukkan setiap peraturan keselamatan yang perlu diberikan perhatian oleh setiap penumpang dalam pernerbangan itu. Malah dia juga sedikit pun tidak merasakan kesan tekanan tinggi pada gegendang telinganya semasa kapalterbang mula bergerak meredah awan. Yang ternampak di matanya dan terdengar di telinganya ialah wajah serta suara Syamsul  semasa suaminya itu menyatakan perasaan lelaki itu terhadapnya sebelum dia berjalan masuk ke balai berlepas tadi.
Benarkah begitu? Benarkah apa yang disebutnya itu? Bermakna Syamsul  sebenarnya menyedari bahawa semalam dia menumpang sedikit kehangatan dari tubuh badan suaminya. Yang paling mengejutkan, Syamsul  mengatakan yang dia memerlukan Mai di sisinya. Namun mengapakah di sepanjang waktu mereka bersama pada hujung minggu ini Syamsul  kelihatan begitu sinis dan sombong sekali? Bagai ada sahaja salah dan silap yang telah dilakukannya. Dan ada ketikanya dia merasakan Syamsul  bagaikan begitu benci kepadanya. Buat dia terkadang terpinga-pinga dengan kata-kata dan sindiran Syamsul  terhadapnya. Sungguh dia tidak mengerti sekali.
Namun sekuntum senyuman terukir di bibir. Bergenang airmatanya apabila mengingatkan redup mata Syamsul  merenungnya tadi. Dia terlalu tergamam tadi bila mendengarkan kata-kata Syamsul  itu sehingga tidak mampu untuk berkata apa-apa. Yang dirasakan hanyalah selaut bahagia yang membanjiri samudera rasanya.



“Hei Mai .... asyik senyum seorang-seorang aje ni..... amboi....,”



Tersentak Mai apabila menungannya di kejutkan oleh satu suara. Kak Gee tersengeh-sengeh berdiri di sebelahnya. Di belakang Kak Gee, Cikgu Kamil juga turut tersenyum memandang padanya.


“Pengantin baru.... baru balik jumpa buah hati.... mestilah seronok...,” usik Cikgu Kamil. Kak Gee ketawa mengekek mendengarkan kata-kata itu. Merah padam muka Mai dibuatnya.


“Mai sampai pukul berapa tadi?” tanya Kak Gee.


“Dekat pukul 9.00 Kak Gee..,”


“Lewatnya?,”


“Emmm... flight delayed. Hujan lebat sangat kat sana awal pagi tadi...,” terang Mai secara ringkas.


“Hemmm... itulah, dengar berita tadi kawasan rendah dah mula naik air kat Kelantan,” sampuk Cikgu Kamil.


“Hujan tak berhenti-henti selama dua hari Mai kat sana. Adik ipar Mai kata dari hari Rabu lagi asyik hujan aje Cikgu Kamil...,” ceritanya lagi.


“Hujanlah best kan? Sejuk....,” bisik Kak Gee dengan matanya melirik tanda mengusik. Merah padam lagi rona di wajah Mai. Namun dia tidak memberi apa-apa komen. Hanya membiarkan sahaja Kak Gee mengusiknya. Matanya menjeling sekilas kepada Cikgu Kamil yang sudah kembali ke tempat duduknya. Nasib baik lelaki itu tidak mendengar apa yang dibisikkan oleh Kak Gee kepadanya. Jika tidak, tentu bertambah malu jadinya dia.


“Tak sangka musim tengkujuh kat sana hujan turun tak berhenti sampai macam tu sekali. Dari hari Sabtu pagi sampai ke pagi tadi, cuacanya mendung macam waktu Maghrib kak... hujan turun hampir sepanjang masa. Rumah Syamsul  kat tepi laut tu rasa macam nak melayang aje kalau masa angin kuat. Ombaknya tinggi... nak pergi dekatpun tak berani.  Jumaat petang tu je Mai sempat pergi tepi pantai. tapi tak berani pergi dekat sebab ombak besar...,” katanya untuk cuba mengubah topik. Kak Gee memang suka mengusik. Ada ketika usikannya agak keterlaluan. Dan Mai tahu, dia perlu membawa perbualan ini supaya tidak menyentuh soal yang tidak ingin dia sentuh.


“Macam mana ye mereka kat sana boleh tahan cuaca macam tu? Kalau akak dah mesti rimas. Tak boleh keluar rumah... mesti boringkan... sebab dok terperap aje musim hujan macam tu...?”


“Dah keadaannya kat sana macam tu kak..., apa boleh buatkan? Tapi pagi tadi, masa Mai nak balik sini, banyak Mai tengok kawasan rendah dah dinaiki air. Agaknya mesti nanti dah ada yang kena pindah ke pusat pemindahan banjir,”


“Dah adapun Mai ... masa akak makan kat kantin tadi, ada tengok kat tv. Dah ramai jugak mangsa yang kena pindah... di Terengganu pun sama...,”


“Em... tentu susahkan kak.... kena pindah macam tu. Lepas tu bila banjir dah surut, satu hal pulak kena bersihkan rumah. Tiap-tiap tahun mereka macam tu. ..,”


“Alah... mereka tu dah kalih Mai ... dah tak rasa susah lagi dah agaknya...,”


“Betul cakap Kak Gee tu. Alah bisa tegal biasa kan kak?” kata Mai sambil ketawa. Kak Gee turut sama ketawa. Gembira sekali dia melihat perubahan pada wajah Mai. Wajahnya kelihatan cukup ceria berbanding sebulan yang lalu ketika pertama kali Syamsul  meninggalkan Mai untuk pulang ke kampung.  Masih dia teringat bagaimana terujanya Mai untuk pulang ke kampung pada hari Jumaat yang lalu. Bagaikan tidak sabar nampaknya untuk kembali ke pangkuan suami dan keluarga. 


“Apa khabar mak mertua Mai tu? Dah ok?”


Mai diam seketika mendengarkan soalan itu. Bibirnya mengukir senyum tanpa sedar. Ya, satu masa dulu dia cukup tidak suka bila ditanya tentang keluarga Syamsul. Terasa bagai tidak tahu apa jawapan yang boleh diberikan. Tetapi kini, setelah dua kali dia di sana, terasa bagaikan sudah lama dia mengenali mereka. Dengan keletah Nabil yang manja, Wawa yang dingin terhadapnya, emak mertuanya yang selalu senyum walaupun dalam keadaan lemah, Shuhaida yang begitu mesra mengusiknya dan Syamsul .... yang... kini merajai segenap ruang dalam hatinya. Ah... sungguh dia bahagia dengan suasana itu.


“Alhamdulillah kak.... rawatan tu berjaya. Lepas doktor masukkan tiub tu dalam salur darah dia, ada masalah juga sikit sebab dia demam. Tapi nasib baik dia ok. Sekarang ni dah balik ke rumah dah. Kalau ikutkan hati Mai nak sangat ambil mc sebab nak temankan dia. Tapi sebab tahun ni dah banyak sangat ambil mc sebab tension masa Mai dengan abang Irfan berpisah dulu... tak eloklah pulak kan? Lagipun cuti sekolah dah dekat..,” katanya sambil senyum. Kak Gee turut sama tersenyum.


“Cuti nanti Mai balik ke sana ke?”


“Haah... Mai nak balik ke sana. Nak habiskan masa cuti kat sana..,” ujar Mai dengan begitu yakin sekali. Hatinya merasa cukup teruja saat itu. Kegembiraan tergambar di wajahnya. Matanya bersinar riang bila mengenangkan anak-anak Syamsul dan keriangan itu sedikit pun tidak terlepas dari pandangan mata Kak Gee.


“Gembira akak tengok Mai happy macam ni... dah lama Mai asyik bersedih aje.. Mungkin sekarang Mai dah jumpa kebahagiaan Mai kan?”


Terdiam Mai mendengarkan kata-kata Kak Gee itu. Hatinya jadi terjerut kembali. Adakah kebahagiaan ini yang di carinya? Atau.. mungkinkah ini juga hanya sementara baginya? Sesaat bahagia yang dirindukan selama ini?



Bab 22



Suasana pagi itu terasa dingin sekali. Hujan yang turun mencurah-curah sejak semalam membuatkan suasana begitu gelap walaupun jam di dinding sudah menunjukkan ke pukul 8 pagi. Sepatutnya Syamsul bertolak ke hospital sejak awal pagi lagi. Tetapi disebabkan hujan yang turun tanpa henti, suaminya itu masih lagi tidak dapat ke sana. Tentu basah nanti bila sampai di hospital jika dia menaiki motosikalnya.

Semalam, selepas ditinggalkan sendirian di bilik, Mai tidak habis-habis memikirkan tentang bagaimana caranya untuk dia mengelakkan dari terpaksa sebilik bersama Syamsul apabila emak mertuanya dan Shuhaida balik nanti. Malam tadi mungkin dia mampu melepaskan diri bila Syamsul  memilih untuk tidur di luar bilik bersama Nabil. Tapi bagaimana nanti bila emak mertuanya dan Shuhaida ada nanti? Alasan apakah yang boleh dibuatnya untuk mengelakkan diri dari sebilik dengan lelaki itu. Mungkinkah dia boleh menawarkan diri untuk menemani emak mertuanya? Dia terfikir sendiri. Ya, alasan itulah yang akan digunakannya nanti untuk mengelakkan dia dari terpaksa menghabiskan malam itu sebilik bersama Syamsul. Sesuatu keadaan yang tidak sama sekali diinginkannya saat ini kerana dia sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku sekiranya mereka tidur sebilik nanti. Dia tidak mampu untuk mempercayai Syamsul sebagaimana dia tidak mampu untuk mempercayai dirinya sendiri.

Bila waktu mula menghampiri jam 9.00 pagi, Syamsul sudah mula resah. Dia sepatutnya sudah ke hospital sekarang, tetapi hujan yang turun mencurah-curah di pertengahan bulan November itu bagaikan menjanjikan suasana yang tidak sesuai untuk sesiapapun juga untuk menunggang motosikal walau ke mana jua destinasi mereka. Namun bagaimana jika hanya itu sahaja kenderaan yang dia ada?

“Aku kena pergi jugak ni...” keluhnya perlahan. Matanya liar memandang ke luar tingkap rumah. Cuba menebak cuaca yang kelihatannya seperti langsung tidak mahu berpihak kepadanya.

“Tapi hujan ni awak ....,”

“Aku tau... nampak pun memang macam hujan tu..,” katanya dengan nada sinis. Kata-kata Syamsul yang bagaikan sindiran itu buat Mai mengetap bibirnya menahan kemarahan. Namun dibiarkannya sahaja sindiran itu berlalu bersama hujan yang bagaikan tidak mahu berhenti.

“Ada tak sesiapa yang kita boleh minta tolong... maksud saya, kita upah sesiapa yang ada kereta untuk pergi ambil mak?”

Syamsul  memandang ke wajah Mai. Ingin sekali dia bertanya mengapa wanita manis ini begitu mengambil berat sedangkan selama ini dia tidak pernah menunjukkan minat terhadap keluarganya. Mengapa tiba-tiba begini? Tuluskah atau hanya satu permainan darinya?

“Kenapa awak tengok saya macam tu?”

Syamsul  terus memandang ke dalam mata Mai. Cuba mencari keikhlasan di situ. Yang terlihat hanya cahaya indah yang merenungnya kembali. Lantas Syamsul  melarikan anak matanya ke arah lain. Wajah selamba itu menyebabkan sesuatu berlaku di jantungnya sekali lagi. Ahhh.. dia tidak boleh biarkan itu berlaku kepadanya.... Tidak bolehhh...

“Kenapa....? Sejak bila pulak aku tak boleh tengok muka isteri aku?” sindirnya lagi.

Kata-kata itu buat Mai mendengus marah. Dia tidak mampu lagi menerima sindiran demi sindiran sebegini.

“Awak... tolonglah... saya serius ni...,”

Syamsul diam mendengarkan keluhan Mai. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu menyindir begitu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia perlu buat Mai marah. Atau mungkin kerana sikap Mai itu membuatkan dia merasakan sakit hati bila mengenangkan bagaimana wanita berwajah manis ini akan meninggalkan mereka nanti. Tentu banyak hati yang akan terluka nanti. Dia pasti dengan hakikat itu.

Tanpa menghiraukan kata-kata Mai, Syamsul  mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula mendail satu nombor. Dia kemudian diam menanti jawapan dari hujung talian.

“Hello Kak Yah... Assalamualaikum,” katanya sambil bangun sambil terhencot-hencot meninggalkan Mai yang sama-sama duduk di pangkin dapur tempat keluarga Syamsul menjamu selera.  Kakinya yang pendek sebelah menyebabkan dia tidak mampu membetulkan langkahnya sehingga ke akhir hayatnya nanti. Itu kecacatan kekal yang tidak mungkin akan mampu dia hindari akibat dari kemalanagn lima tahun yang lalu. Suasana sejuk seperti pagi ini sememangnya menjadi masalah baginya. Sengal di pahanya membuatkan dia tidak mampu untuk berjalan dengan selesa. Sesuatu yang perlu ditanggungnya hingga ke akhir hayatnya akibat dari kemalangan itu. Betul kata orang, luka mungkin tidak lagi berdarah, namun parutnya kekal selagi hayat ada. Sakitnya masih terus menyeksakan biarpun hadirnya sekali sekala sahaja.

Mai memandang Syamsul  berlalu meninggalkannya. Dia perasan dengan keadaan Syamsul  yang terhencot-hencot luar dari keadaan biasanya. Hatinya jadi tertanya... sakitkah suaminya itu? Selalunya langkahnya tidaklah seteruk itu walaupun terhencot-hencot. Seketika kemudian Syamsul  kembali menghampirinya. Masih lagi terhencot-hencot seperti tadi. Riak wajahnya menggambarkan rasa tidak selesa.

“Awak sakit ke?” sepatah Mai bertanya. Namun diam yang menjawab sapaannya itu. Ah ... sungguh dia tidak mengerti sikap lelaki ini. Makin dia cuba untuk  memperbaiki keadaan di antara mereka, makin Syamsul  bersikap acuh tidak acuh kepadanya.  Sungguh dia tidak mengerti.

“Syam ...?” katanya geram. Terasa sakit hatinya melihatkan perilaku suaminya itu.

“Apa... apa kau kesah... aku sakit ke... aku sihat ke... suka hati akulah. Sejak bila pulak kau ambil berat pasal semua tu? Jangan cakap kau nak jadi isteri yang solehah pulak... tak perlu berlakon depan mata aku.,” ucap Syamsul  dengan nada marah.

Tersentap hati Mai mendengarkan kata-kata itu. Sungguh dia tidak mengerti mengapa Syamsul  harus marah kepadanya. Bagaikan diramas perasaannya saat itu. Apa salahnya kali ini sehinggakan Syamsul  berkata begitu kepadanya.

“Sampai hati awak kata macam tu. Niat saya baik... kalau sakit, mungkin saya boleh bantu. Tak apalah kalau macam tu. Mungkin saya ni penyibuk... Maaf...,” ucapnya dalam nada merajuk.

Cepat-cepat dia bangun dan meninggalkan Syamsul  yang masih termangu berhampiran tingkap dapur. Perlahan Syamsul  memejamkan matanya. Dia tahu yang dia sudah membuat satu lagi kesilapan. Dia mengeluh perlahan, melepaskan sesak di dada. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia merasakan ada kemarahan yang memenuhi ruang rasanya saat itu. Sungguh dia tidak mengerti...



****

Kereta Abang Derasid bergerak perlahan meninggalkan kawasan rumah kecil itu. Rupa-rupanya Syamsul  menelefon sepupunya Kak Mariah untuk meminta bantuan mereka untuk menghantarnya ke hospital dan mengambil emaknya sekiranya sudah dibenarkan pulang nanti. Kebetulan hari ini Abang Derasid yang bekerja sebagai nelayan tidak turun  ke laut kerana hujan dan laut yang bergelora. Maka dia bersedia untuk membantu. Biarpun keretanya hanyalah kereta usang, namun sudah cukup bagi mereka untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain terutamanya dalam keadaan hujan sebegini. Pada mulanya Mai teringin juga untuk turut sama menjemput emak mertuanya, tetapi memandangkan tiada yang akan tinggal bersama Nabil dan Wawa, maka dia membatalkan niatnya itu. Dan dalam hatinya menetapkan tekad, cuti sekolah nanti dia akan pulang membawa keretanya. Harapannya itu akan memudahkan semua pihak bila ada keperluan untuk mereka ke mana-mana nanti. Sejak pagi Wawa cuba mengelakkan diri darinya. Mai tahu dia tidak mampu untuk memenangi hati anak tirinya itu buat masa ini. Tetapi entah mengapa hatinya terpanggil untuk berbuat sesuatu supaya tiada salah faham pada diri Wawa terhadapnya. Jika Wawa menyangka yang dia akan mengambil tempat umminya, maka dia silap. Jika perkahwinan ini kekal lebih lama dari yang dia harapkan, dia perlu pastikan Wawa akan dapat menerimanya sekurang-kurangnya sebagai kawan.

Tengahari itu Mai cuba mengambil hati anak-anak tirinya dengan memasak makanan tengahari. Sudah sekian lama dia tidak memasak. Sejak berkahwin dengan Syamsul, selalu lelaki itu yang memasak makanan tengahari sebelum dia keluar ke restoren. Dan bila dia pulang dari sekolah sering ada sahaja makanan yang sudah terhidang di meja makan. Dia cuma perlu memanaskannya sahaja. Tapi hari ini dia tahu dia perlu menyediakan sesuatu untuk mereka. Dan hidangannya itu perlulah sesuai dimakan oleh emak mertuanya nanti.

Bila melihat di dalam peti ais di dapur, Mai mendapati terdapat ayam dan beberapa rencah yang sesuai digunakan untuk memasak sup ayam. Lalu dia mengambil keputusan untuk menyediakan hidangan itu buat mereka. Sambil itu dia juga menyediakan sedikit bubur nasi untuk emak mertuanya. Sebenarnya dia tidak begitu pasti apa jenis hidangan yan sesuai untuk pesakit jantung. Tapi dia tahu bahawa sup ayam selalunya di sediakan untuk juadah bagi pasakit-pesakit di hospital. Dan kerjanya jadi lebih menyeronokkan apabila Nabil datang ke dapur untuk ‘membantu’. Dengan kata lain, anak kecil itu sebenarnya lebih berperanan untuk menemaninya dengan pelbagai soalan-soalan yang ada ketikanya tidak mampu untuk dia menjawab. Tapi tetap dia merasa begitu gembira sekali kerana dapat melayan kerenah anak kecil itu. Cuma yang membuatkan dia sedikit terkilan adalah dengan sikap Wawa yang masih terus tidak menghiraukannya. Dan dia berjanji pada dirinya, keadaan tegang antara dia dengan Wawa perlu dia selesaikan. Dia suka anak itu dan dia rasakan mereka boleh jadi kawan yang baik sekiranya Wawa mampu menerima dirinya seadanya. Bukan sebagai pengganti umminya, tetapi sebagai seorang ibu yang sepatut dihormatinya. Hakikat itu membuatkan Mai merasa sedikit terkilan. Mampukah dia terus menjadi ibu kepada kedua anak ini sedangkan dia sendiri telah menetapkan syarat kepada Syamsul bahawa penikahan mereka ini tidak akan kekal lama. Mai mengeluh lagi bila mengingatkan keadaan itu. Keadaan yang dia sendiri tetapkan demi untuk kembali kepada Irfan.



****



Syamsul, Shuhaida dan emak mereka tiba di rumah kira-kira jam 4.00 petang itu. Cepat-cepat Mai membawa emak mertuanya merehatkan diri di dalam biliknya yang telah dikemas rapi sebelum itu. Selepas memasak dan makan tengahari bersama Nabil, dia telah membersihkan bilik emak mertuanya supaya sesuai untuk digunakan. Bilik yang telah agak lama ditinggalkan sejak orang tua itu dimasukkan ke hospital kira-kira sebulan yang lalu, dikemas sebersih-bersihnya dibantu oleh Nabil. Wawa hanya memerhatikan dari jauh sahaja aktiviti kedua ibu dan anak itu dengan ekor matanya. Ada juga dia mempelawa Wawa untuk turut sama. Tetapi anak gadis itu hanya diam tanpa mengendahkan pelawaannya.

Kepulangan emak mertuanya turut disambut oleh jiran-jiran yang tidak berkesempatan untuk mengunjunginya di hospital sebelum ini. Entah dari mana mereka tahu akan kepulangan ini pun Mai sendiri tidak pasti. Mungkin dari Kak Mariah yang telah mengetahuinya selepas mereka meminta bantuan untuk menggunakan kereta suaminya untuk membawa pulang emak mertuanya itu pagi tadi. Sehingga ke maghrib, tidak putus-putus tetamu yang hadir mengunjungi orang tua itu. Dan dikesempatan itu juga, masing-masing mengambil peluang untuk berkenalan degan menantu barunya. Pada mulanya Mai merasa tidak selesa. Tetapi, setelah mendapati dirinya seolah-olah diterima oleh ahli keluarga Syamsul, terbit rasa bahagia di hati.  Ingin  sekali rasanya dia untuk terus membiarkan rasa itu kekal berada di hatinya.

***

“Mak... malam ni Mai tidur dengan mak ye?” ucapnya perlahan kepada emak mertuanya.

“Eh... mana boleh.... tak kan akak nak tidur dengan mak. Apa kata abang nanti...,” usik Shuhaida yang memasang telinganya yang bagaikan telinga lintah.

“Ida....,” lirih suara Mai dek kerana malu akibat diusik sebegitu. Merona merah di pipinya  dengan usikan Shuhaida.

Mereka baru sahaja berkumpul di ruang tamu rumah kecil itu setelah selesai menjamu selera dengan masakan yang dimasak oleh Mai tengahari tadi. Gembira sungguh hatinya apabila melihatkan semua begitu berselera sekali menjamah sup ayam yang dimasaknya. Malah emak juga mampu menghabiskan semangkuk bubur nasi bersama dengan sup tersebut. Berbaloi rasanya penat lelahnya menyediakan masakan tersebut tadi. Wawa juga makan dengan berselera walaupun tidak sedikit pun memberikan apa-apa komen tentang masakannya. Cuma Syamsul  sahaja yang dengan   agak sinis mengatakan sup itu sedikit masin. Tapi kenyataannya itu disanggah oleh Shuhaida membuatkan Mai yakin Syamsul  hanya ingin menyakitkan hatinya sahaja dengan kata-katanya itu.

“Iye kak..., mana boleh... hari tu, masa ustazah cerita bab nikah kahwin kat surau lama tu... dia kata haram para isteri meninggalkan tempat tidur suaminya tanpa izin. Usahkan tinggalkan...,berpaling belakangkan suami masa tidur pun dah berdosa katanya”

Dan kata-kata itu bagaikan belati yang cukup tajam yang menoreh luka di hati Mai. Betapa selama ini, itulah yang dia lakukan kepada Syamsul. Membiarkan Syamsul  tidur sendirian, makan sendirian dan hidup sendirian di rumahnya. Dia sendiri tidak mengerti mengapa Syamsul  bertahan dengan sikap buruknya itu. Kalaulah lelaki lain, sudah pasti semua ini akan dijadikan alasan untuk menyalahkan dirinya. Menjadikan semua ini sebagai  punca perbalahan yang pastinya akan tercetus antara mereka.  Tetapi tidak dengan Syamsul, lelaki itu masih lagi sanggup menjaga maruahnya sebagai seorang wanita sedangkan dia memberi syarat-syarat yang keterlaluan dalam hubungan mereka. Semua syarat itu dia sendiri yang tetapkan hanya kerana menurut kata Irfan yang terlalu menjaga egonya sediri. Hinggakan sering dia hilang pertimbangan dalam membuat keputusan.

“Tak apalah Ida, biar kak Mai kau tu yang temankan mak. Lagipun pagi esok kami nak kena keluar awal. Kapalterbang pukul 6.15 pagi. Kena daftar masuk pukul 5.00 pagi, maknanya pukul 4.00 dah kena bertolak. Nak sampai ke airport, ambil masa sejam jugak.  Memang kena bangun awal tu...,” sindir Syamsul  dari tempat dia duduk bersama anak-anaknya di hadapan television.

“Ala abang ni.... kalau macam tu macam mana nak lepaskan rindu...,” kata Shuhaida dalam nada gurau. Ketawanya pecah memeriahkan suasana. Kemudian dia menyambung, “Eh... lupa.. tak apa... nanti Kak Mai balik masa cuti nanti... bolehla abang lepaskan rindu puas-puaskan?” dan Shuhaida ketawa lagi.

“Ida ni...,” kata Mai terkejut dengan usikan adik iparnya itu. Terjerit gadis itu bila jari jemari Mai singgah di pehanya.

Syamsul  turut tertawa bersama adiknya. Makcik Nisah juga senyum lemah sambil memandang kepada anak-anaknya. Sesungguhnya dia cukup gembira dengan keadaan ini. Sudah lama dia tidak mengalami kegembiraan sebegini. Sangat lama, sejak kematian Suhaila  lima tahun yang lalu.

“Tak apalah Mai..., Mai tidurlah kat dalam. Mak tak apa. Lagipun Wawa dengan Nabil pun nak tidur dengan mak juga. Mai pergilah tidur kat dalam... nanti penat... susah pulak nak bangun pagi esok....,” kata Makcik Nisah perlahan.

Dari ekor matanya Mai dapat melihat Wawa bangun dengan cepat sekali menuju ke biliknya. Mungkin meluat bila mendengarkan perhatian semua orang terhadap ibu tirinya itu.  Perlakuan Wawa itu tidak lepas juga dari ekor mata Syamsul. Dia mengeluh perlahan memikirkan sikap anaknya itu. Sedikitpun dia tidak menyalahkan Wawa kerana bersikap begitu. Anak itu masih belum mengerti tentang kehidupan. Dan tiada sesiapapun yang boleh buat dia mengerti saat ini seandainya dia sendiri tidak mahu membuka ruang dalam dirinya untuk semua itu.

“Pagi esok Abang Derasid nak tolong hantar engkau ke airport. Janji dengan dia dalam pukul 3.30  ... kau ok tak?” tanya Syamsul kepada Mai setelah beberapa ketika semua diam.

“Eh... abang... kenapa panggil kak Mai.... kau....? Teruknya....,” komen Shuhaida dengan nada cukup terkejut. Mai dan Syamsul  jadi terdiam. Ah ...          satu alasan lagi yang terpaksa mereka cipta. “Tak baik tau panggil isteri dengan panggilan macam tu... panggillah yang manja-manja sikit....          ,” sambungnya lagi.

“Oklah mak nenek.....,” kata Syamsul,  sekadar untuk menutup bicara adiknya itu.

Sebentar kemudian dia bangun dan mula melangkah ke bilik.

“Elok tidur sekarang. Nanti nak kena bangun awal,” dengan selamba dia bersuara kepada Mai. Mtanya bagaikan menyampaikan sesuatu kepada isterinya. Menyatakan bahawa malam ini tiada peluang untuk Mai melepaskan diri dari tidur sebilik dengannya. Dan bersama senyum sinis, dia menyambung kata-kata,  “mak, Syam tidur dulu ye...?”

Bila melihatkan emak mertuanya mengangguk, Mai tahu dia tidak boleh lepaskan dirinya lagi. Malam ini, dia terpaksa berada sebilik dengan Syamsul.

Popular Posts