Bab 31
Tiada saat yang lebih indah
selain dari saat diri dicintai dan mencintai. Tidak pernah dia tahu akan
ujudnya perasaan sebegini. Terlalu indah hinggakan ada ketikanya terasa amat
takut sekali sekiranya keindahan ini akan berakhir dalam sekelip mata. Ada
ketikanya tidak mampu dia bayangkan apa yang bakal berlaku di masa hadapan. Dia
tahu ada perkara yang masih belum selesai antara dia dan Irfan. Dan dia tahu
Syamsul juga sedar akan hakikat itu.
Mereka masih perlu berdepan dengan satu situasi yang tidak mampu untuk mereka
bayangkan. Namun di saat ini, masing-masing hanya mendiamkan diri tentang hal
tersebut. Di saat ini mereka hanya ingin mengecapi indah rasa yang baru sahaja
bertaut di perdu hati. Jika mampu tidak ingin rasanya semua ini di nodai
walaupun hanya dengan setitis gundah yang mampu mencalit resah di hati mereka.
Di awal kepulangannya dua
minggu yang lalu, hampir saban masa dia dihantui oleh panggilan telefon dari
Irfan. Dia cuba mengelak dari menjawab. Malas sekali untuk memikirkan
alasan-alasan yang perlu diberikan kepada lelaki itu. Hinggalah akhirnya dia
menutup terus telefonnya. Buat masa ini dia tidak perlukan telefon itu lagi.
Dia hanya perlukan Syamsul dan yang pastinya suaminya itu kini ada di sisinya.
Biarlah kalau Irfan marah, dia sudah tidak hiraukan itu semua lagi.
Makcik Nisah pula semakin kuat
dari sehari ke sehari. Kalau di awal kepulangannya tempohari, emak mertuanya
itu lebih suka untuk menghabiskan masanya di rumah, kini dia sudah ingin keluar
samada mengikuti Mai ke warung, ataupun ke mana sahaja yang Mai bawa. Kalau
dulu dia hanya memerhatikan sahaja setiap aktiviti anak-anak dan cucu-cucunya,
kini dia mampu untuk turut sama menyertai. Dan terasa begitu lengkap sekali
kegembiraan yang dirasakan Mai saat ini.
Berada di dalam keluarga itu,
hatinya cukup merasa bahagia. Sering senyum dan tawa menyulami tutur bicara
antara mereka. Nabil masih terus menjadi penenang hati yang mampu membuatkan
segala senyum dan tawanya makin bermakna. Bukan hanya satu gurisan di bibir
tanpa sebarang perasaan, seperti yang dirasakan sebelum ini. Cuma yang
membimbangkan hanyalah sikap Wawa yang bagaikan sering ingin menyakitkan
hatinya. Terutamanya bila anak gadis itu melihat kemesraan antara dia, Syamsul
dan Nabil.
Pening juga bila dia
memikirkan cara paling baik untuk
memenangi hati Wawa. Setiap sapaannya seperti tidak diendahkan. Hadiah yang
dibeli tempohari juga masih lagi tidak digunakan oleh Wawa. Masih lagi terletak
elok di atas almari biliknya tanpa diusik. Telah beberapa kali dia mengajak
Wawa untuk turut serta bersamanya pergi bersiar-siar dengan keretanya bersama
Nabil, namun setiap pelawaan itu ditolak mentah-mentah oleh anak gadis itu. Namun
dia yakin, pasti suatu hari nanti dia akan memenangi hati anak itu. dia akan
berusaha untuk itu.
Pagi itu cuaca cerah setelah
hujan turun tak henti-henti selama dua hari. Sepanjang dia di sini, barulah dia
fahami apa erti musim tengkujuh. Hujan adakalanya turun tanpa henti selama
berhari-hari. Dan keesokkan harinya, cuaca boleh jadi cerah seperti biasa.
Adakalanya pula, tidak menentu, hinggakan terpaksa sentiasa bersedia untuk apa
juga keadaan. Berumah di tepi pantai pula, buat dia mengerti betapa kuatnya
angin yang bertiup di musim begini. Ada kalanya bagaikan terasa satu rumah
seperti bergoyang. Ada ketika, tikar getah
di lantai rumah bagaikan terangkat dek pukulan angin yang datang dari
celahan lantai. Pohon-pohon kelapa dan rhu pula meliuk lentok. Deruan angin
kedengaran bagaikan menyeru....
memanggil.... terutamanya di waktu malam. Adakalanya kedengaran seperti
suara tangisan seorang gadis. Saat begitu, bagai ada rasa takut yang menjentik
tangkai hatinya. Mujurlah Syamsul
sentiasa menenangkan ketakutan yang dirasakannya di saat-saat begitu.
Dan adakalanya dia diusik dengan gurauan-gurauan yang begitu membahagiakan.
Sungguh dia merasa seperti berada di dalam suatu keindahan yang tidak mampu
digambarkannya. Walaupun hanya berteduh di pondok usang dan hanya makan nasi
berlaukkan ikan pekasam, ulam dan budu.
Cuaca yang cerah pagi itu
dipergunakannya sebaik mungkin. Kain basuhan yang sudah berhari-hari tidak
kering, terus di jemur di halaman. Tali rafia diikat dari satu pokok kelapa ke
pokok yang lain untuk memuatkan jemuran yang begitu banyak. Ketika gerimis
datang secara tiba-tiba, berlarilah dia dan Nabil untuk mengangkat mana-mana
kain yang sudah kering. Dan bila matahari kembali mengintai di balik awan,
cepat-cepat dia dan Nabil menjemur
kembali mana-mana kain yang masih lembab. Semua ini dilakukan dengan tawa hilai
yang bagaikan tidak mahu lekang dari bibir mereka. Perlakuan mesra yang
mengundang senyum di bibir Makcik Nisah dan Shuhaida, manakala menerbitkan
cemuh di wajah Najwa.
Ketawa mereka terhenti apabila
motosikal Syamsul perlahan-lahan masuk
ke kawasan halaman rumah. Masing-masing memandang lelaki itu dengan wajah
terkejut. Selalunya dia sudah di warung di saat-saat begini untuk memulakan
jualan. Mai pula telah mengambil keputusan untuk tidak ke warung hari ini demi
untuk memastikan kain basuhan selama empat hari itu kering. Dan seperti biasa,
Shuhaida dan Nabil tidak akan ke warung jika Mai tidak ke sana.
Wajah ceria Syamsul disambut dengan senyuman paling manis yang
boleh di berikan oleh Mai. Cepat-cepat dia memimpin tangan Nabil untuk
menghampiri Syamsul yang telah
memarkirkan motosikalnya di bawah sutuh rumah yang hanya mempu memuatkan
bahagian bonet depan kereta Mai sahaja. Mata Mai mengintai di dalam raga
motosikal, mencari jika ada apa-apa yang dibawa pulang oleh suaminya itu. Namun
kosong. Lantas hatinya jadi tertanya,
mengapa Syamsul tidak ke warung.
“Bang..?” tegur manjanya
bersahut senyum dari bibir suaminya. Biarpun hanya senyuman, sudah cukup buat
hatinya melonjak bahagia.
“Kenapa abang balik, ada
tertinggal apa-apa ke?” cepat sekali Shuhaida menyampuk sebelum Syamsul sempat berkata apa-apa.
“Taklah Ida, hari ni Pak Soh
tak sembelih lembu. Semalam dia kemalangan, masuk hospital. Jadi dia tak jual
dagingla hari ni. Abang pun malas nak pergi cari kat tempat lain, hari ni tak
payah menjuallah. Ada kerja sikit... nak pergi bank,”
“Eh... teruk ke Pak Soh
tu? Kemalangan dengan apa... sampaikan
masuk hospital tu..?” pantas lagi Shuhaida bertanya.
“Ida... kut ye pun bagilah
abang kau tu naik dulu. Bertubi-tubi soalannya...,” kata Makcik Nisah.
Kata-kata itu buat Shuhaida tertawa perlahan sambil menggigit jarinya yang
halus dan runcing. Dan kata-kata itu juga membuatkan dia bagaikan kelu
seketika. Dia hanya memandang Syamsul
melabuhkan punggungnya di anak tangga paling atas.
Syamsul menarik tangan Mai yang berdiri diam di
sisinya. Lantas Mai duduk di sebelah suaminya di atas tangga kayu yang agak
sempit itu. Dan dengan pantas sekali Nabil mencelah duduk di antara keduanya.
Syamsul tidak berkata apa-apa, cuma jari
jemarinya mengelus lembut di rambut Nabil yang duduk antara dia dan Mai.
“Pak Soh accident masa balik
masjid semalam. Macam mana entah boleh terbabas masuk longkang. Tiga jari kanan
dia patah. Itu yang tak boleh nak sembelih lembu pagi ni...,”
“Oh.... teruk ke?” tanya Makcik
Nisah.
“Taklah teruk sangat mak. Patah
jari je. Tapi Mak Dah cakap mungkin kena bedah sikit. Lepas tu kena simen,”
“Habis tu, tak menjuallah Syam
dua tiga hari ni...?”
“Tak la mak... hari ni je...
esok boleh pergi tempah daging kat tempat lain. Hari ni nak ajak Mai pergi bank
sekejap,”
“Nak ikut.....,” pantas sekali
Nabil menyampuk. Reaksi sepontannya itu buat semua tergelak. Sangka mereka
Nabil tidak menumpukan perbualan mereka kerana terlalu asyik dengan kucing
kesayangannya yang berada di ribaannya sejak tadi.
“Eh... malasla bawak Nabil...
nanti tak sempat sampai dah sibuk cakap lapar... ajak singgah makan,” kata
Syamsul sambil tangannya mengusap kasar rambut anaknya itu. Dan mereka ketawa
lagi dengan kata-kata itu. Tambah meriah lagi gelak tawa mereka bila Nabil
merengus manja, minta dibawa bersama.
“Buat apa nak pergi bank bang?”
tanya Mai stelah ketawa mereka reda. Matanya tepat memandang ke wajah suaminya. Semua mata turut
sama memandang ke wajah Syamsul. Masing-masing turut sama tertanya mengapa
tiba-tiba sahaja Syamsul mahu mengajak
Mai ke bank.
“Abang nak pulangkan duit Mai
yang Mai bagi pinjam untuk bayar rawatan mak hari tu. Dah lama abang minta nombor
akaun Mai, tapi Mai tak nak bagi. Hari ni... abang nak bawa sekali dengan
tuannya. Susah sangat nak bagi nombor dia tu,” rungut Syamsul.
“Abang... kan Mai dah cakap,
Mai nak abang guna duit tu... buat berniaga...,”
“Bukan sebab... nak langsaikan
hutang?” tanya Syamsul, ambil mengangkat keningnya. Masih ada nada ragu di
situ. Dan perlahan sekali kata-kata itu dilafazkan. Dia tidak mahu Shuhaida dan
emaknya mendengar usikan itu.
“Abang...,” rengek Mai sambil
jari halusnya singgah bersama satu cubitan di peha Syamsul. Syamsul menggosok tempat cubitan itu singgah sambil
wajahnya menyeringai kesakitan.
“Mai dah cakap kan.... mana ada
hutang. Cuma Mai nak abang anggap itu satu sedekah buat abang dari Mai. Duit
tu, kalau tersimpan macam tu, bukannya bertambah pun...”
“Tapi, abang tak nak guna duit
tu.., Itu duit Mai,”
“ Mai bagi abang, Mai nak abang
guna duit tu...,” katanya dengan lebih tegas lagi, cuba meyakinkan bahawa dia
benar-benar serius. “Mak... tengok abang ni, Mai dah cakap banyak kali, Mai nak
dia guna duit tu buat berniaga. Asyik-asyik sebut pasal hutang...,” kata Mai
kepada emak mertuanya yang duduk di beranda.
“Siapa yang berhutang? Mai ada
hutang dengan Syamsul ke? Hutang apa?”
tanya Makcik Nisah dengan penuh tanda tanya.
“Haah... tak logik akak
berhutang dengan abang. Mana dia ada duit nak bagi hutang pada akak...,” sampuk
Shuhaida.
Mai bagaikan terkedu saat itu.
Adakah dia tersilap cakap sehingga akan terdedah rahsia perkahwinan mereka?
Matanya singgah di wajah Syamsul untuk
mengharapkan bantuan dari suaminya itu.
“Hutang sebab kahwin dangan dia
la tu... kalau tak... mesti sekarang ni... dok seorang-seorang kat rumah dia kat Shah Alam tu. Tak ada
Nabil, tak ada emak... tak ada Shuhaida... tak ada Wawa... dan.... ,”
“Tak ada ayah..... ,” sampuk
Nabil sambil tertawa manja. Buat yang
lain turut sama tertawa kecuali Najwa.
Dalam tawanya Mai menarik nafas
perlahan. Kata-kata Syamsul tu benar
sekali, namun masih mampu menyembunyikan punca perkahwinan mereka yang sebenar.
Masih lagi mampu lelaki ini menjaga maruahnya dari tercemar akibat dari
silapnya sendiri, akibat mengharapkan untuk kembali bersama bekas suaminya.
Kesilapan paling besar yang pernah dilakukan, selain dari bertindak secara
terburu-buru sehingga dia diceraikan oleh Irfan tempohari.
“Bang, sekarang ni, depan
mak... depan Ida... Mai nak mereka jadi saksi. Mai nak minta abang buat sesuatu
dengan duit tu. Mai nak minta abang supaya gunakan duit tu, untuk modal abang
berniaga. Abang boleh buka restoren dan tambah perniagaan abang. Atau mungkin
abang boleh siapkan chalet abang tu...,” kata Mai dengan nada yang lebih
serius. Dia mahu Syamsul tahu yang dia
bersungguh-sungguh dalam hal ini. Bukan sekadar melepaskkan batuk di tangga.
“Tapi duit tu banyak Mai, dua
puluh ribu ringgit... Kalau letak dalam ASB mesti duit tu bertambah. Tak payah
susah-susah, penat-penat nak berniaga...,"
“Betul kata Syam tu Mai,”
sampuk emaknya.
“Mak... Mai nak bantu abang.
Bila lagi, kalau tak sekarang. Mai tahu, abang perlukan duit untuk mulakan
perniagaan. Warung kecil tu memang boleh tampung sara hidup kita semua, tapi
kalau nak berjaya, abang kena kumpul lagi banyak modal. Kalau abang ambil duit
tu, mesti abang boleh besarkan lagi modal berniaga. Untung lagi cepat, dan satu
hari nanti, boleh buat modal asas untuk resort yang abang angan-angankan tu,”
jawab Mai panjang lebar.
Dalam hatinya Syamsul mengiakan kata-kata Mai itu, namun dia tidak
mahu menyebutnya terang-terang. Telah sekian lama dia cuba mengumpul modal.
Apabila emaknya sakit tempohari, semua
wang simpanannya itu telah digunakan. Demi untuk mendapatkan semula
kesihatan emaknya, dia sanggup. Wang boleh dicari, namun kasih sayang seorang
ibu, tak akan mampu ditukar ganti.
“Mai ikhlas bang...,” ulang Mai
dengan nada yang agak perlahan. Terasa sedikit kecil hati kerana Syamsul tidak mahu menerima keikhlasannya.
“Mai... bukannya abang tak nak
terima duit tu. Tapi abang tak nak terhutang budi,”
“Bang... apa pulak terhutang
budinya. Mai kan isteri abang. Kalau bukan Mai yang tolong abang, siapa lagi
yang patut buat macam tu. Kalau abang nak, biar Mai yang kawal modal tu. Buat
permulaan ni, kita cuma besarkan atau baiki warung tu. Kalau boleh kita bayar
harga warung tu dari Maksu Jah. Lepas tu, banyakkan makanan yang boleh kita jual. Kalau tak
sempat, kita ajak siapa-siapa yang boleh masak satu-satu makanan yang special,
macam nasi lemak ke, nasi ayam ke, atau makanan lain. Biar ada yang buat
makanan lain yang lebih cepat dijual. Tapi kena lah pastikan semuanya sedap.
Abang teruskanlah buat masakan panas selain dari sup tu semua. Nanti semua tu
boleh bagi pilihan pada pelanggan, kalau mereka tak nak tunggu masakan
panas...,”
Mata Syamsul dan emaknya saling bertatapan. Dalam diam
mereka sama-sama mengkagumi idea yang diberikan oleh Mai. Sememangnya itulah
yang ingin dilakukan oleh Syamsul. Namun dia belum cukup modal untuk melakukan
semua itu. Dalam senyum yang menguntum di bibir, Syamsul memaut bahu Mai.
“Kita ye....? Mai macam yakin
je........?” katanya dalam gurauan.
Mai terdiam seketika. Untuk
seketika dia bagaikan tidak faham apa yang ingin disampaikan oleh Syamsul dengan kata-kata itu. Namun bila senyuman
suaminya itu makin mekar, dia juga turut tersenyum mula memahami. Lantas dia
mengangguk laju.
“Emmm.... kita.... semua kita.
Masa cuti sekolah ni, kita sama-sama bantu. Nanti, abang carilah siapa-siapa
yang pandai masak makanan sampingan yang Mai sebut tadi. Kita ajak dia orang
sama-sama jual makanan masing-masing kat warung tu. Kita mintalah sikit sewa
ruang dari mereka...,”
“Mai ni kan... macam pandai
baca je apa yang ada dalam fikiran abang..,” kata Syamsul sambil terus tersenyum.
“Alah abang ni.... memanglah,
kan Kak Mai tu isteri abang. Mestilah sehati sejiwa...,” sampuk Shuhaida dalam
gurauannya. Kata-kata itu disambut dengan senyum dari Syamsul dan emak mereka. Masing-masing bahagia kerana
ada yang sanggup menghulurkan bantuan. Ketawa riang menyambut gurauan demi
gurauan selepas itu. Tanpa mereka sedar ada mata yang menjeling iri dengan
kegembiraan yang dikongsi, ada bibir yang terjuih mencemuh dengan idea yang
diberikan oleh Mai itu dan ada hati yang sungguh sakit kerana sekali lagi ibu
tirinya itu mendapat perhatian sepenuhnya dari ayahnya. Sungguh dia geram
dengan keadaan itu.
****
Sudah seminggu Nabil demam. Mai
sudah pun membawanya ke klinik, namun masih demamnya belum kebah. Dalam keadaan
Mai dan Syamsul sibuk menguruskan aktiviti
pembesaran ruang makan untuk warung yang kini disewa dari pemiliknya, Maksu
Jah, sungguh keadaan Nabil itu terasa amat menyusahkan hati mereka. Tambahan
lagi anak kecil itu tidak mahu hanya duduk diam di rumah walaupun dalam keadaan
dirinya yang tidak begitu sihat. Ke mana sahaja Mai pergi pasti dia akan ikut
sama.
Petang itu Mai terpaksa ke
bandar Kota Bharu untuk membeli keperluan-keperluan di warung. Kebetulan
Syamsul tidak dapat ikut serta kerana
sibuk dengan perniagaannya. Lalu Mai
pergi ditemani oleh Shuhaida dan Nabil. Puas dia meminta supaya Nabil tinggal
sahaja di rumah kerana keadan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Namun anak
kecil itu tetap degil, ingin turut serta.
“Nabil... mana boleh pergi.
Nabil kan demam, nanti lambat baik..,” marah Najwa terhadap adiknya.
“Nak pergi jugak... nak pergi
jugak... nak pergi jugak...,” kata Nabil separuh mengemuk. Dihentak-hentakkan
kakinya ke lantai.
“Nabil, dengar la cakap umi...
ye? Nanti bila Nabil dah sihat, umi bawak Nabil dengan kak Wawa jalan-jalan...
ok?”
“Tak nak... nak ikut jugak...,”
kata Nabil yang sudah mula menangis. Hiba hati Mai melihatkan itu.
“Ok... ok... kita pergi...
tapi, Nabil kena dengar cakap umi ye?”
Kata-kata itu buat Nabil
berhenti menangis dengan tiba-tiba. Wajahnya terus ceria, menggambarkan
kegembiraan yang dirasakan kerana dapat turut serta.
“Su Ida.. Nabil tak boleh
pergi... dia demam tu...,’ kata Wawa dalam keadaan marah kepada Su Idanya.
Seringkali begitu, bila ada rasa tidak puas hati , dia akan menyuarakannya
kepada Shuhaida, bukan terus kepada Mai.
“Habis, dah dia degil nak
ikut...? Kalau tak bawa kang, mengamuk pulak. Tinggal kat rumah nanti, bergaduh
pulak dengan Wawa... Tak apalah, biar dia ikut...,” kata Shuhaida.
“Tapi Su Ida, Nabil tu kan
senang kena sawan kalau demam. Nanti kalau masa tengah beli barang dia kena...
macam mana?”
Shuhaida terdiam seketika
mendengarkan kata-kata Najwa. Ada benarnya kata-kata anak gadis itu. Dan pada
saat yang sama Mai juga agak terkejut dengan maklumat terbaru ini.
“Nabil senang kena sawan kalau
demam?” dia bertanya secara sepontan.
“Haah kak... tapi sekarang ni
dah lama dia tak kena. Kalau demam, suhu badan dia naik tiba-tiba dan lepas tu
boleh jadi sawan,”
“Selalu ke dia kena?,”
“Dulu selalu jugak. Sekarang ni
dah lama tak kena.,”
“Tak bahaya ke?” tanya Mai
ingin tahu.
“Emmm.... bahaya jugak kata
doktor. Kalau boleh kita kena elakkan,,”
“Macam mana?”
“Kalau demam, tak boleh biarkan
suhu badan dia naik mendadak. Nanti sawan tu datang...,” kata Shuhaida. “Ida
pun tak pandai sangat kak, tapi pernah tengok, dulu kalau dia kena, mak selalu mandikan dia sebab nak sejukkan
badan dia. Lepas mandikan baru okay...,”
Mai terdiam seketika. Patutkah
dia membawa Nabil untuk urusan yang memerlukan mereka ke sana kemari dalam
suasana yang tidak mampu diduga. Sekejap hujan turun, dan sekejap pula matahari
akan menyelar di ubun kepala.
“Nabil.. Nabil tak payah pergi
ye... nanti umi belikan mainan... Nabil duk kat rumah dengan kakak ye?”
“Tak nak... tak nak... Nabil
nak ikut. Kalau dok kat rumah, kakak marah...,” jerit Nabil tanda memberontak.
Dia mula menangis menunjukkan ragam yang seringkali membuat Mai rasa serba
salah.
“Nabil.... diamlah....,”
jerit Wawa demi untuk mententeramkan
adiknya itu.
Cepat-cepat Mai memberikan
isyarat kepada Shuhaida supaya membawa Wawa untuk menjauhi Nabil. Sikap anak
gadis itu sering tidak mampu untuk di duga. Dia sering meradang tiba-tiba
lantas memukul adiknya walaupun hanya atas sebab-sebab yang kecil. Mai tahu,
tindakan itu adalah kerana ada dendam di hati anak gadis itu padanya. Yang
menjadi mangsanya ialah Nabil kerana sikap anak kecil itu yang sering memenangkan
Mai dalam apa juga hal. Dan yang pastinya ini membuatkan Wawa semakin marah.
“Ok... ok.. tak apa... Nabil
boleh ikut. Tapi, kena makan ubat dulu tau. Lepas tu, tak boleh lasak sangat,
kena jalan dekat dengan umi atau Su Ida... boleh?” kata Mai akhirnya.
Nabil mengangguk perlahan. Saat
itu, apa sahaja syaratnya pasti akan dia sanggupkan. Asalkan dapat bersama
dengan uminya itu.