Bab 11
Bas yang Fazila naiki berhenti perlahan-lahan di perhentian bas yang
paling hampir dengan kawasan perumahan Professor Ruquiyah. Perkataan hampir itu bagaikan
tidak bermakna kerana dia masih perlu berjalan selama hampir dua puluh minit untuk
sampai ke rumah prof. Dia tidak pernah
menyukat jarak perjalanan sebenar yang dia harus lalui, apapun dia masih perlu berpeluh
untuk sampai ke rumah teres mewah milik prof. Dalam suasana petang yang tidak
menentu cuacanya itu, terasa amat memenatkan sekali. Namun ini sahaja cara
untuk dia menambah pendapatan bagi menambah wang saku untuk menyara kehidupan
hariannya. Sekurang-kurangnya itu boleh dijadikan aktiviti riadah untuk menyihatkan tubuh badannya. Seboleh-bolehnya dia tidak
lagi mahu menyusahkan abah dan emak. Sudah cukup dia menyusahkan mereka selama
ini.
Rutin hariannya kini masih tetap sama. Pagi, dia ke kuliah, ataupun jika
waktu-waktu tiada kuliah, dia terus ke makmal untuk menjalankan kajiannya. Buat
masa ini dia masih lagi di peringkat mencari kaedah terbaik untuk dia cadangkan
di dalam kertas kerjanya untuk
melaksanakan projeknya nanti. Professor Ruquiyah mencadangkan supaya dia
mendapatkan sekurang-kurangnya seratus kertas kajian dari jurnal-jurnal yang
berkaitan dengan kajian yang akan dia laksanakan nanti. Untuk mencari seratus
kertas kajian bermakna dia perlu membaca dua ratus, atau mungkin lebih kertas kajian yang
berkaitan dengan kajian-kajian pengkaji yang terdahulu. Aduhai ... bukannya mudah
rupanya. Semuanya bergantung kepada kekuatan diri untuk melaksanakan semuanya
kerana di peringkat pengajian sarjana sebegini dia perlu bergerak sendiri.
Tiada lagi yang akan mengatur perjalanan
proses pengajiannya seperti yang berlaku di peringkat sarjana muda
dahulu. Penyelia seperti Professor Ruquiyah cuma menjadi penasihat sahaja
supaya dia tidak tersasar dalam menjalankan kajian berdasarkan objektif yang
telah dia sendiri tetapkan. Aduhai... penat dan mencabar sekali
rupa-rupanya....
Rutin petangnya pula dia akan ke rumah Professor Ruquiyah untuk bersama
Eisya dan Epul. Mengikut jadualnya dia perlu datang hanya tiga kali. Tetapi ada
waktunya dia memang dipanggil oleh anak-anak itu untuk belajar bersama mereka.
Dan prof sudah menjanjikan akan memberikan bayaran tambahan dari apa yang
dipersetujui di peringkat awal dia menjalankan tugasnya itu. Semua itu tidak
menjadi masalah kepadanya kerana dia masih boleh turut sama belajar bersama
kedua-duanya yang sudah dianggap seperti adiknya itu. Malah kehadiran Epul dan
Eisya sebenarnya meminjamkan kekuatan untuk dia terus belajar. Berada bersama
mereka seolah-olah dia berada bersama-sama sebahagian daripada adik-adiknya di
kampung.
Sepanjang sebulan ini dia sebenarnya hanya menjadi peneman kepada
kedua-duanya. Mereka adalah anak-anak yang bijak, yang tidak memerlukan guru tusyien sebenarnya, jadi dia cuma
bertindak sebagai peneman. Dan dalam tugas menemani anak-anak itu, dia
sebenarnya tidak terlalu terikat dengan jadual yang tertentu. Dia cuma perlu
mempastikan Epul dan Eisya menyiapkan kerja-kerja sekolah mereka sentiasa yang
berlambak. Jika ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, barulah dia
berperanan untuk membantu. Jika tidak, dia hanya menjadi pemerhati sahaja. Dan
jika tiada kerja sekolah yang perlu mereka selesaikan, barulah dia berperanan
untuk membantu dengan menyediakan aktiviti-aktiviti tambahan. Jadi waktu begitu
dia gunakan sepenuhnya untuk memilih dan membaca mana-mana jurnal yang
berkaitan dengan kajian untuk tesisnya.
Fazila tiba di lorong berhadapan dengan rumah Professor Ruquiyah ketika mendung mula bertukar menjadi
titis-titis hujan. Cepat-cepat dia berlari memasuki lorong itu. Tanpa memandang
ke kiri dan kanan, dia terus sahaja berlari memasuki pintu pagar yang memang
telah sedia terbuka untuk menanti kepulangan prof dan suaminya. Setiba saja dia
di muka pintu, terus sahaja pintu itu terbuka dan terjengul wajah itu di situ.
Dan sedetik itu juga darahnya bagaikan dipam laju. Debaran jantungnya tak bisa
dia kawal sehinggakan bagai tercungap-cungap dia rasakan. Benarkah apa yang dia
lihat di hadapan mata? Ataukah ini cuma khayalan semata? Khayalan yang sungguh
membahagiakan.
“Hei.... awak ni memang takutkan
air hujankan?”
Teguran sinis itu singgah di telinganya sehinggakan dia bagaikan tersedar
dari lamunan. Sejak wajah itu muncul di pandangan, dia sendiri tidak sedar
berapa lama dia terpaku di tempat dia berdiri. Gumam menggigit bibirnya hingga
tidak mampu melontarkan walaupun sepatah kata. Bibir Amir Hamzah yang
kemerah-merahan itu menguntum senyum. Buat dia makin terpaku memandang wajah
yang amat dia rindukan itu.
****
“Minumla Kak Ila.... best ni Eisya buat...,” kata–kata Saidatul Batrisya
mengejutkan Fazila dari lamunan. Tak habis-habis aku mengelamun... rungutnya
dalam hati terhadap sikap barunya itu.
Fazila menghirup perlahan jus tomato yang di hidangkan oleh Eisya. Jus
yang pekat dan berbuih terasa begitu sedap sekali.
“Eiii... bestnya... macam mana Eisya buat ni... ,” pujinya sambil
matanya kembali tertumpu pada gelas setinggi 10 cm itu. Dia tidak pernah merasa jus yang sesedap ini.
Pekat dan sangat bersari. Fazila tidak pernah tahu yang tomato boleh dibuat jus
yang begini enak rasanya.
“Lain rasanya kan kak dari jus tomato yang biasa minum kat kedai.
Selalunya dia orang letak sikit je buah tomato tu. Eisya bubuh banyak...
barulah best...,”
“Emmm betul... sedap... nanti ajarkan akak buat jus gini ye... bestnya,” pujinya lagi. Sememangnya dia
ikhlas memuji. Dan buat seketika dia menumpukan perhatiannya kepada Eisya.
Tidak seperti sebentar tadi, saat mindanya asyik melayan detik-detik indah
sewaktu bertatapan dengan sidia. Walau hanya dengan sebaris ayat, masih sidia
mampu menjentik ruang ingatannya hampir setiap detik. Amir Hamzah ... terlintas
nama itu di dalam hatinya.
Mereka meneruskan aktiviti pengajian masing-masing diselang-selikan
dengan perbualan-perbualan kecil. Namun sepanjang waktu itu Fazila jadi tidak
menentu. Bagaikan ternanti-nanti wajah itu menjengah di pintu bilik Eisya
tempat dia, Eisya dan Epul sedang sama-sama belajar. Kehadiran Amir Hamzah itu
kembali membawa debar yang menggetarkan perasan.
“Bukan takut hujanlah... tak nak basah... nanti habislah laptop dengan
kertas-kertas saya ni,” matanya melilau pada hujan yang mula turun membasahi
bumi.
“Nasib baik awak sempat sampai kan? Kalau tidak memang lencun awak
petang ni...,” balas Amir Hamzah yang
masih lagi berdiri di muka pintu seolah-olah tidak mahu membenarkan Fazila
masuk ke rumah. Teragak-agak Fazila dibuatnya.
“Emmm.. boleh saya masuk?” pinta Fazila akhirnya.
Tanpa sepatah kata Amir Hamzah memberi laluan walaupun dia masih berdiri
di tengah-tengah gerbang pintu. Demi sahaja Fazila melintasinya, sesuatu yang
sungguh tidak dia sangka singgah di telinganya. Antara dengar dengan tidak
suara itu berbisik,
“Silakan... masuk saja terus ke pintu hati aku ni...,”
Dalam debar yang menguatkan lagi pecutan jantungnya Fazila hanya
menyambut kata-kata itu dengan diam. Mana mungkin dia berkata apa-apa sedangkan
dia sendiri tidak yakin samada kata-kata itu benar-benar diucapkan oleh Amir
Hamzah atau hanya sekadar angan-angan yang tercipta di mindanya semata-mata.
Dia memandang ke dalam mata Amir Hamzah. Berlagak berani walaupun
hatinya cukup gementar saat itu. Dia tidak pernah tahu yang dia boleh sebegini
gementar di hadapan lelaki. Dan sepintas lalu wajah Faris menjelma di hadapan
matanya. Membuatkan Fazila bagaikan tercungap dek rasa terkejut. Cepat-cepat
Fazila memalingkan mukanya dan melangkah masuk. Seribu rasa bersalah hinggap di
hatinya.
“Kak....,”
Lamunannya terhenti apabila Eisya menggoncang tubuhnya dengan kuat
sekali.
“Eiii... Kak Ila ni kuat berangan la... abang Epul... ,” rungut Eisya
pada abangnya.
“Mesti ingatkan boyfriend dia
tu..,” kata Epul sambil terus dengan kerja sekolah yang sedang dia siapkan. Tidak
begitu mengambil berat dengan kerenah Fazila dan adiknya. Dia perlu menumpukan
perhatiannya terhadap latihan matematik yang sedang dia buat, markah
peperiksaan pertengahan tahunnya telah jatuh dan papa dan mama telah memberi
amaran “tak boleh main iPad sampai Epul baiki balik keputusan ujian akan
datang”. Aduhhhh....
Fazila meletakkan kertas kajian yang sedang dia baca dan mencubit
kedua-dua belah pipi Eisya sambil pura-pura marah kepada gadis sunti tersebut,
“eee..... sibuknya dia...,”
“Eleh... orang panggil dua tiga kali tak dengar.... ingat boyfriend la tu...,” kata Eisya selepas
menjelirkan lidahnya kepada Fazila. Dia turut mencubit kedua-dua pipi Fazila
bagi membalas semula semua perlakuan Fazila terhadapnya. Akhirnya mereka ketawa
dalam gurauan yang menggeletek hati masing-masing. Epul hanya memandang dengan
penuh minat. Ada waktu terasa seperti mau dia bergurau dengan kak Fazila
seperti yang Eisya lakukan. Tetapi mesti kak Ila tidak suka. Dia sudah berada
di alam remaja dan mereka bukan muhrim. Kalaulah kak Ila ini kakaknya sendiri,
tentu seronok. Bolehlah dia bergurau dan bermesra-mesra dengan kak Ila.
Sehabis bergurau, Eisya mengubah kedudukannya pula. Dia kini sudah
terbaring di ribaan Fazila. Fazila terus meletakkan jurnal yang sedang
dibacanya dan menumpukan perhatiannya kepada Eisya.
“Kak Ila ...,” panggil Eisya.
“Iya dik... apa...?”
“Akak ada boyfriend ya?”
“Ehhh... kenapa pulak Eisya tanya macam tu...?”
“Akak selalu je termenung..
ingatkan boyfriend akak ye?”
“Ehhh... mana ada...,”
“Iya.... akak selalu gitu... ,”
“Tak adalah....,”
“Iya.... kan abang Epul...,”
“Haah...” sahut Epul mengiakan kata-kata adiknya.
“Selalu Eisya tengok akak senyum sorang-sorang... kadangtu... nampak
sedih...,”
Fazila diam.
“Eisya cakap kat Pak Uda.... dia kata akak ingatkan boyfriend akak...,”
“Eiii... memandai aje lah... akak mana ada boyfriend...,” wajah Fazila sudah mula memerah. Sungguh dia tidak
menyangka dia dijadikan bahan perbualan antara dua anak suadara dan bapa audara
itu.
“Tapi Sya tengok... kak Ila tak pernah gayut kat handphone kan?”
“Macam mana nak gayut. Kak Ila mana ada handphone...,” kata Epul pula.
Matanya terus berada pada buku latihan yang berada di hadapannya. Kak Ila sudah
beritahu bahawa dia perlu siapkan tiga set contoh soalan yang terdapat di dalam
buku latihan tersebut sebelum dia boleh berhenti. Jadi seboleh mungkin dia cuba
untuk menyiapkannya secepat mungkin. Kalau ada peluang nanti bolehlah dia
bermain dengan playstationnya sebelum
masuk tidur pukul 11.00 nanti.
“Malam ini mama dan papa balik lewat sikit... kak Ila tidur kat sini
ye?” kata Eisya.
“Eh... tak boleh... esok akak ada kerja. Awal pagi lagi kena pergi cek
alat kat lab, ... untuk kajian akak...,”
“Nanti pak Uda yang hantarkan ye... macam selalu tu?” tanya Eisya penuh
minat.
Fazila diam. Tidak tahu bagaimana untuk memberi respon kepada kenyataan
itu.
“Ala... Kak Ila jadi girlfriend Pak Udalah... kan senang...,”
ucap Eisya lagi.
Tersentak Fazila dengan kenyataan itu. Kenyataan yang membuatkan ada
debar bak gendang yang dipalu di perdu hatinya. Namun semua perasaan itu
disembunyikan diam di hatinya. Hanya ada cebir di bibir menjawab saranan itu.
Mana mungkin sedang dirinya sudah terikat dengan janji. Meskipun hatinya ingin
sekali, namun mana mungkin. Tak mungkin dia mampu untuk melakukan sesuatu yang
mampu buat abah dan emak terluka.
“Mesti nanti mama suka.... Eisya lagi suka... abang Epul pun suka...
abang kan,” bebel Eisya sendirian. Tangannya laju menulis di buku latihan yang
telah Fazila tugaskan untuk dia siapkan malam itu juga.
Fazila menarik nafas panjang sambil buat-buat tidak layan sahaja kepada kenyataan
itu. Malu pada diri sendiri. Dia yang sudah bertunangan, kini melayan debaran
demi debaran yang melibatkan lelaki lain. Sungguh dia tidak layak untuk
merasakan debaran itu. Namun masih lagi debaran itu mahu singgah di hatinya.
Untuk seketika ini biarlah dia menikmatinya. Nanti akan tiba masanya dia tidak
lagi dapat menikmati rasa itu.
****
Mata Fazila melilau mencari orang
yang dia perlu temui. Tengahari tadi Professor Ruquiyah meminta supaya dia
menunggu di tempat biasa. Dan seperti biasa dia sudah terpacak di situ sejak
awal lagi. Dia tidak mahu Professor Ruquiyah yang menunggunya pula. Tidak
sepatutnya begitu. Majikan menunggu pekerjanya.
Dan bila kereta Suzuki Swift milik Amir Hamzah yang menghampirinya,
Fazila tiba-tiba jadi resah. Professor Ruquiyah tidak pula mnegatakan yang
lelaki ini yang akan menjemputnya. Selepas bicara yang terluah dari bibir Eisya
tentang dia dan lelaki ini semalam, dia cuba sedayanya untuk membuang semua keinginan
yang berpaut di hatinya. Dia tidak layak untuk itu semua. Dia sudah menjadi
tunangan orang. Seharusnya dia menyimpan rindu buat Faris, bukan buat lelaki
ini.
Bila tiba sahaja kereta itu di hadapannya, pintu kereta terus terbuka. Dengan
hati yang berbelah bagi, dia masuk ke dalam ruang tempat duduk penumpang di
bahagian hadapan. Ucap salam anak muda itu menyapa di telinganya. Sambil
menjawab salam, dia menghalakan pandangannya ke luar tingkap tanpa memandang ke
wajah Amir Hamzah. Terus matanya memandang keluar tanpa melihat apa yang ada
dalam arah yang dipandangnya.
Amir Hamzah juga diam. Mata anak muda itu hanya memerhatikan jalan di
hadapannya. Sesekali dia menjeling kepada Fazila. Setiap kali bersua, bagaikan
ada ketegangan antara mereka. Dia cukup
tidak suka dengan keadaan sebegitu. Namun dia diamkan sahaja gelodak jiwa yang sedang
dirasakan ketika itu.
Seperti biasa dari ekor matanya dia meneliti wajah gadis yang sederhana
menawan itu. Kalau bukan kerana sikapnya yang seolah-olah jual mahal, tentunya
dia tidak tertarik untuk mendekati gadis ini. Wajahnya biasa-biasa sahaja,
walaupun terselit kemanisan apabila dia tersenyum dan ketawa. Namun, sikap jual
mahal dan juga sedikit kemanisan yang ada itulah rupa-rupanya yang sering
menyapa pandangan matanya walapun di mana dia berada sejak kebelakangan ini.
Sehingga dia bagaikan tidak mampu untuk menafikan rasa sukanya kepada gadis
ini. Perasaan yang hadir perlahan-lahan di hatinya. Yang bagaikan tak mampu dia
sekat dari terus berkembang memenuhi segenap ruang hati.
Lima belas minit masa berlalu dalam sepi sehinggalah mereka sampai di
pintu pagar rumah Professor Ruquiyah. Masing-masing masih lagi diam tanpa kata.
Bila Amir Hamzah memberhentikan keretanya di situ, cepat-cepat Fazila membuka
pintu dan keluar. Dia perlu pergi jauh dari lelaki ini. Dia tidak mahu hatinya
terus remuk digodam dek sejuta perasaan yang hadir setiap kali mereka bersama.
Namun, langkahnya yang cuba dipercepatkan terhenti bila tangannya diraih oleh
Amir Hamzah. Perlakuan yang buat dia gamam seketika, hingga gumam jadinya.
Sedikitpun tidak mampu untuk menarik tangannya untu melepaskan diri dari
disentuh lelaki ini. Dia hanya mampu
memandang ke dalam mata yang kali ini memandang redup ke dalam matanya.
“Saya ada sesuatu untuk awak...,”
Mata Fazila melahirkan persoalan yang yang berbisik di hatinya. Saat ini
tiada suara yang mampu keluar dari bibirnya.
“Ini.... awak bukalah nanti... instruction
semuanya ada kat dalam. Saya nak awak gunakan sebaik saja awak buka
kotaknya...,” kata Amir Hamzah separuh memberi arahan.
Jemarinya melepaskan tangan Fazila lalu mengambil sesuatu dari tempat
duduk belakang. Tanpa banyak soal, beg kertas sederhana besar itu berpindah
tangan. Fazila masih gamam di pintu
pagar rumah Professor Ruquiyah apabila kereta Amir Hamzah berlalu
meninggalkannya yang masih gumam, tak
mampu berkata apa-apa.