Bab 5
“Betul ke ni Pudji...,”
“Betul... ,”
“Kau tak nyesal nanti?”
“La... nak kenapa pulak aku nak nyesal?”
“Seingat aku, dari hari tu lagi kau asyik cerita pasal
dia pada mak... mak pun selalu cakap yang kau suka kat dia. Habis tu tak kanlah
senang-senang je kau nak bagi aku?”
Mata Fauzi galak melatari wajah abangnya. Kalaulah
diikutkan hatinya mau saja dia menampar pipi abangnya itu. Sudah berapa kali
dia mengulangi perkataan itu sampaikan Fauzi rasakan yang egonya tercalar.
“Berapa kali aku nak cakap ni.... sudahlah.. kalau kau
tak nak tak payah... cakap je terus terang. Senang aku nak bagitau dia balik
yang kau tak nak...,” ugut Fauzi pada Faris. Kelihatan wajah Faris berkerut
mendangarkan ugutan itu.
“Ish... teruknya engkau ni ... tak kanlah tadi mak dah
cakap nak... lepas tu sekarang cakap tak nak pulak... yang engkau memandai
pergi cakap mak nak datang merisik tu kenapa? Langsung tak tunggu aku bagi
jawapan,” rungut Faris dengan kerut yang masih di dahi.
“Hah... tunggu jawapan dari engkau, alamatnya tahun depan
pun tak tau lagi ada jawapannya ke tidak. Dah berapa lama emak tanya engkau
soalan tu... sama je... tak ada jawapan... sebab tu mak tolong buatkan
keputusan..,”
Faris terdiam. Betul kata Fauzi itu dan dia sedikitpun
tidak mampu untuk menafikan semuanya. Kalaulah jawapan yang ditunggu pastinya
dia akan diam lagi sampai emak merepek lagi. Wajah Fauzi yang muda lima tahun
dari dirinya di pandang sinis. Terlihat di matanya seraut wajah yang menunjukkan kematangan dalam usia semuda itu.
Dia sendiri terlalu sibuk untuk memikirkan tentang sebuah perkahwinan. Atau
mungkin sengaja mengelakkannya supaya topik ini akhirnya dilupakan begitu
sahaja.
“Betulkan cakap aku ni?” sindir Fauzi. Ada rasa geram
singgah di hati. Sikap acuh tidak acuh Faris dengan keinginan emak dalam hal
ini membuatkan dia merasakan abangnya ini cukup tidak hormat pada emak. Sudah
berapa kali emak menyatakan hasratnya untuk menerima menantu, malah untuk mendapat
cucu, tapi Faris buat tak endah saja. Terlalu sibuk mengejar kerjayanya.
Sedangkan usianya makin bertambah. Teman-teman seusia dengannya sudah pun ada
yang beranak dua dan tiga. Namun dia masih sendirian mengusung kenangan.
“Tapi... tidak ke terburu-buru sangat ni... aku belum
kenal dia... dia pun belum kenal aku...,”
“Masa bertunang nilah kena berkenal-kenalan... apa
susahnya... ,” sambut Fauzi.
“Pudji..... ini zaman melleniumla... mana ada match making lagi dah...,”
“Jangan nak mengarut
bagai... ok.... kalau kau sendiri nak cari match engkau... alamat kempunanla mak nak timang cucu. Jadi,
sebelum itu yang jadi... biarlah aku yang matchkan untuk engkau...,”
“Suka hati engkaulah....,” akhirnya Faris berkata setelah
agak lama diam menyerap kata-kata Fauzi itu. Dia tidak mampu untuk nafikan
kebenarannya.
Matanya melirik kepada emak yang sedang duduk di ruang
tamu bersama Farisya yang sedang menulis sesuatu di atas kertas putih. Mesti
sedang menyediakan senarai panjang barang-barang yang akan dibeli nanti untuk
majlis merisik esok. Itu keputusan emak dan dia tidak mampu berkata apa-apa.
Malah dia langsung tidak dibenarkan untuk menghubungi Fazila bagi membincangkan
hal ini. Emak bimbang akan nanti keluar patah-patah kata yang akan membuat
Fazila menolak hasratnya itu. Sebentar tadi bukan main panjang lebar lagi emak
dan emak Fazila berbincang dalam telefon tentang majlis yang ringkas esok. Dan
jika kedua-dua pihak bersetuju, pertunangan akan terus dilangsungkan. Dan kini
emak mendesaknya untuk pergi mendapatkan
cincin untuk merisik dan juga untuk peminangan sekaligus. Jam baru pukul
8.30 malam, maka sempat lagi ke Poh Kong kata emak. Entah dari mana emak tahu
adanya Kedai Emas Poh Kong di KB Mall, salah satu pusat membeli-belah di Kota
Bharu ini, Faris pun tak pasti. Emak memang begitu, kalau itu yang dia
inginkan, maka akan diusahakannya hingga dia berjaya mendapatkannya. Sikap yang tertanam kemas dalam diri emak
sejak menjadi ibu tunggal selepas ditinggalkan tanpa pesan oleh ayah lebih dua
puluh tahun yang lalu.
****
Ketibaan rombongan dari pihak Faris disambut mesra oleh
seluruh ahli keluarga Fazila. Emak dan
abah telah menjemput semua emak saudaranya di kedua-dua belah pihak. Selain
dari itu, imam masjid di kawasan perumahan itu yang juga merupakan kawan rapat
ayah turut hadir sama. Di pihak lelaki pula, selain dari mereka sekeluarga,
turut hadir adalah ahli keluarga suami sepupu Makcik Hasmah yang tinggal di
Pasir Putih. Rupa-rupanya mereka ada saudara-mara di sini. Memang benarlah
rupa-rupanya pelawaan untuk Fazila menjadi tourist
guide mereka itu hanya satu alasan sahaja untuk mempertemukan Fazila dengan
Faris. Pandai sungguh Fauzi membuat cerita.
Upacara merisik berlangsung dengan pantas sekali.
Fazila yang berada di dapur, bersama
menyediakan juadah untuk hidangan para tetamu tidak sudah-sudah diusik Mak Su
Milah. Bila ada yang bertanya sejak bila
dan bagaimana hubungan mereka terjalin, Fazila jadi buntu. Apa yang mampu dia
katakan? Sedangkan dia sendiri tidak pasti bila hubungan ini mula terjalin.
Malah mereka juga tidak pernah berbicara secara berhadapan. Suara
Farispun dia sediri tidak pasti bagaimana bunyinya. Terlalu sibuk
melayan debar di hati waktu bersama menemanu Makcik Hasmah membeli-belah
semalam. Usikan Kak Rini pula buat wajah Fazila makin merona kerana malu.
“Itulah Mak Su..., semalam bukan main lagi masing-masing
buat hal sendiri. Langsung tak bercakap, kita langsung tak sangka rupanya dah
nak bertunang... pandai betul simpan rahsia,” usik Kak Rini sambil mencubit
lengan Fazila yang sedang duduk bersimpuh di sebelahnya. Sempat dia meletakkan
seketika pisau yang sedang dia gunakan untuk memotong mentimun untuk dijadikan
ulam bagi nasi kerabu sebentar nanti hanya kerana mau mencubit Fazila.
“Adoi... sakitla kak...,” rengek Fazila sambil menggosok
bekas cubitan kakak sepupunya itu.
“Itulah.... bukan main lagi ajak kita pergi... langsung
tak cakap dia dah nak bertunang..,”
“Manalah Ila tau kak...,”
“Ishhh.... tak kan la tak tau. Ni bukan benda
main-main... ,”
Terasa tersirap darah Fazila mendengarkan kata-kata kak
Rini itu. Secara sepontan hatinya terjerut hingga seketika terasa sesak
nafasnya. Memang dia tahu ini semua bukannya main-main. Jodoh memang ketentuan
tuhan, tapi bukankah dia sebagai seorang hamba tidak boleh memilih untuk
membuat keputusan? Atau, mungkin pilihan sudah tidak ada baginya?
“Alah... sebab bukan nak main-main la dia datang nak
meminang tu. Dah dia minang mesti sebab dia suka. Kalau tak tak kan la dia
masuk meminangkan?” kata Mak Su Milah.
Fazila hanya diam. Hatinya masih lagi terasa bimbang
meskipun kata-kata Mak Su Milah itu menjentik logik akal itu ke dalam
fikirannya.
“Tak lah Mak Su... kita ni kan perempuan, nak lah juga
kenal orang yang nak kita jadikan suami. Biar kenal dulu, kalau rasa ok,
barulah teruskan...,”
“La Rini... kenal-kenal la masa tempoh bertunang tu...,”
“Kalau masa tu nampak tak serasi macam mana....?”
“Serasikan la...,”
“Isshhh Mak Su ni... kalau tak suka dengan dia... macam
mana nak serasikan..,”
“Habis... kalau yang kita dah brcinta bertahun tu, kita
yakin ke boleh serasi. Kalau gitu tak adalah orang yang bercinta sebelum kawin
tu bercerai..,”
Kak Rini diam.
“Kita selalu kata nak kenal, nak serasi baru nak kahwin.
Tapi kita lupa, kita ni manusia... kita ni pun bukannya baik sangat. Ada jugak
lemahnya kat sana sini... bila dah macam tu, kenala belajar serasikan diri...
cuba ubah mana yang tak sesuai. Cuba terima kelemahan orang... kalau kita nak
orang terima kelemahan diri kita... itu sebenarnya serasi dalam hubungan suami
isteri...,” panjang lebar Mak Su Milah menasihati dua gadis yang berbeza
umurnya itu. Yang seorang, kerana maukan yang serasi hingga lewat usianya masih
belum lagi bertemu jodoh akibat terlalu memilih. Yang satu lagi, masih lagi
mentah untuk menilai sendiri tentang sebuah hubungan dalam perkahwinan.
Kak Rini juga terdiam, meskipun masih tidak berpuas hati
dengan jawapan yang diberikan oleh Mak Su Milah. cuba memikirkan sesuatu untuk
diperkatakan demi untuk menegakkan pandangannya. Semua yang ada di dapur rumah
terus yang sempit itu hanya diam memerhatikan mereka. Tidak mahu menimbulkan
suasana bising yang mungkin menganggu acara merisik di ruang tamu rumah.
Akhirnya semua mengalihkan perhatian mereka apabila emak
masuk ke dapur. Masing-masing teruja dengan apa yang akan diperkatakan olehnya.
Soalan yang ditanyakan membuatkan Fazila jadi bingung lagi.
“Macam mana ni Ila... setuju ke tak...,” tanya Puan
Norhayati sekali lagi bila Fazila masih tak mampu memberikan jawapannya.
“Eh... orang tu dah nak masuk meminang, masih belum
setuju lagi ke?” tanya Mak Su Milah. ada nada gurauan di situ sedangkan Mak Su
Milah sebenarnya sudah tahu duduk perkara sebenarnya tentang perhubungan yang
baru saja akan terjalin ini.
“Itulah Milah... Sejak semalam, tiada satu jawapan yang
dia bagi. Asal tanya je, dia diam... itu yang abah dia suruh tanya balik ni...,
dia orang nak terus masuk meminang ni...,”
“Alah... terima je Ila... nampak keluarganya macam orang
baik-baik. Lagipun kan abah Ila dah kenal lama. Tak kanlah abah Ila nak bagi
anak dia pada orang yang tak baik...,”
“Tapi mak su... mak dia mungkin baik, anaknya tak tentu
lagi..,” jawab Fazila setelah lama berdiam diri.
“Ila ... mak tak suka Ila cakap gitu... jangan dok fikir
perkara macam tu. Kalau nak, cakap nak, kalau tak nak, cakap tak nak..,” kata
emak dengan nada yang lebih tegas.
Fazila mengeluh
perlahan. Semua mata memandang ke wajahnya menunggu jawapan. Hatinya kembali
berberbeda-beda. Untuk berkata tak mahu, hatinya bagaikan mahu. Untuk berkata
mahu, ah... dia malu sekali. Sungguh... dia masih lagi ragu-ragu. Terasa
seperti terlalu awal untuk menjalin hubungan sebegini. Baru sahaja semalam
bertemu, hari ini sudah datang merisik dan seterusnya akan bertunang. Tak masuk
dek akal betul rasanya.
“Ila... macamana?”
“Ila tak tau mak...,”
“La apa pulak tak tau, jawab aje nak ke tak, senang
cerita,”
“Tapi Ila tak kenal dia,”
“Dia kenal Ila. Mak dia kata Fauzi yang kenalkan Ila pada
dia. Dia memang nak bertunang dengan Ila. Lagipun ayahkan
kenal mak dia,”
“Tapi... Ila, tak sempat nak fikir mak...,”
“Apa lagi yang difikir... Mak berkenan dengan dia. Baik
orangnya, baik keluarganya. Kalau Ila setuju mereka nak terus meminang ni.
Cepatlah bagi keputusan. Kesian mereka dok tunggu tu. Mereka pun nak balik
lepas majlis ni. Janganlah nanti dia tertunggu-tunggu pulak. Kalau tak nak,
cakap aje tak nak”
“Ila... tak taulah mak...,”
“Kenapa ni Ila?” suara abah menyampuk perbualan dua
beranak itu. Mungkin lama menunggu emak keluar dengan keputusannya menyebabkan
abah turut sama ke dapur.
“Ila ni bang... tak tau nak bagi keputusan. Sebenarnya
suka agaknya. Itu yang tak tau nak cakap apa tu. Kalau tak dah tentu dari
semalam lagi dia cakap tak nak...,” kata emak.
“Hah... macamana Ila, kalau tak tau apa nak cakap, biar
abah ajelah yang cakap ye?”
Fazila hanya mampu memandang ke wajah abah. Memang abah
banyak mengambil peranan dalam membuat keputusan untuk dirinya terutamanya bila
dia berada dalam kebuntuan. Ketika menerima tawaran menyambung pelajaran dalam
bidang kejuruteraan dulu pun abah yang buat keputusan supaya dia menerima. Dia
memang tidak meminati jurusan itu dan tidak pernah berangan-angan untuk menjadi
seorang jurutera. Tapi, apa pilihan yang dia
ada? Abah mengatakan, jika dia menolak, berkemungkinan dia tidak akan
ada peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang lain. Mungkin ini yang
Allah tentukan untuknya. Atas dasar itulah maka Fazila menerima tawaran
pengajian itu walaupun tidak meminatinya.
“Biar abah bagi keputusannya ye Ila?” kata abah lembut.
Dalam serba salah Fazila hanya mampu mengangguk perlahan
sambil menundukkan muka. Namun dalam hatinya doa kepada yang maha kuasa
dipanjatkan demi meraih restu dari Ilahi.
“Ya Allah, aku bermohon padamu, biarlah keputusan yang
abah berikan ini baik untukku. Ku bermohon padamu, jika dia yang menjadi
jodohku, biarlah segalanya berlandaskan ketetapanmu. Biarlah hubungan ini
mendapat keredhaanmu. Selama ini aku cukup menjaga maruah diriku seperti yang
sering dipesan oleh emak dan abah. Cuba untuk tidak begitu mudah didekati oleh
lelaki-lelaki yang entah apa tanggapan mereka terhadapku. Cuba menjaga maruah
diri, tidak mudah menerima apa-apa hubungan yang memungkinkan aku melanggar
batasan adat dan agama. Hasilnya aku menjadi seorang yang cukup sukar didekati
lelaki. Bukan seorang yang mengatakan aku ini sombong dan bukan sedikit yang
mencemuhku dengan sikapku yang dikatakan jual mahal. Ya Allah, jadikan
keputusan abah ini sebagai titik mula untuk cintaku yang berlandaskan
ketaatanku kepada Mu. Jika ini takdirmu, jadikanlah dia lelaki soleh yang akan
membawaku ke jalan yang kau redhai. Amin, Ya Rabul Alamin....”